Monday, August 16, 2010

‘Terjah lingkaran lapuk, teater setempat’

2010/08/12

KETIKA umat Islam seluruh dunia menyambut 1 Ramadan semalam, penulis kembang hati apabila melihat ada juga pengarang kreatif rakyat Malaysia yang sanggup mengorbankan masa, diri dan wang ringgit untuk menyumbang kepada masyarakat Palestin di Gaza.

Mohd Fudzail Mohd Nor atau lebih dikenali sebagai Fudzail yang kini bermastautin di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menjayakan Misi Ramadan di Gaza anjuran Majlis Perundangan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA).

Beliau dipertanggungjawabkan MAPIM dan SHURA untuk membentuk rangkaian hubungan dengan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memudahkan misi akan datang melaksanakan program yang bakal dirangka.

Lebih mengharukan apabila Fudzail menanggung sendiri segala kos perjalanan dan penginapan melalui jualan Kumpulan Cerpen Dotkamania dan Travelog Aotearoa untuk menyertai misi yang pasti penuh cabaran memandangkan ia berlangsung pada Ramadan.

Pemergiaan Fudzail secara tidak langsung memaparkan betapa beliau berjaya meleraikan diri daripada belitan lingkaran lapuk yang membelenggu sebahagian besar pengarang kreatif sehingga gagal berfikir dan bertindak di luar kebiasaan.

Pakar sistem maklumat ini juga seolah-olah menyahut cabaran yang penulis lemparkan dalam tulisan, Ramadan disambut, kemelut media, akal budi merdeka, bertarikh 27 Ogos tahun lalu dalam ruang pojok ini.

Dalam terbitan terbabit, penulis lontarkan pandangan bahawa sastera tidak boleh kekal dengan kegiatan yang hanya bertumpu pada wacana dan kajian semata, penulisan karya kreatif dan esei kritikan, tetapi perlu membuka jendelanya dengan pemikiran mahupun cara di luar kebiasaan!
Dengan cara ini kehadiran sastera akan tampak relevan dan boleh terus menyumbang kepada masyarakat tanpa mengira latar waktu mahupun tempat, bukannya seperti hari ini yang kerap dipenuhi dengan keluh-kesah segala macam kemelutnya, tanpa melihat jalan keluar!

Pengarang kreatif ini tidak bernaung di bawah persatuan penulis dan memastikan keputusannya membabitkan diri dalam dunia sastera bukan suatu kesilapan, sebaliknya mampu meletakkan dirinya untuk sama menyumbang kepada masyarakat antarabangsa, hatta dalam kerangka jihad!

Alangkah moleknya jika semua pengarang kreatif, persatuan penulis peringkat negeri mahupun kebangsaan, apalagi Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), turut mengambil sikap dan pendirian serupa dalam memberi nilai demi memartabatkan sastera negara.

Jika tidak mampu bergerak sendirian, setidak-tidaknya boleh bergabung dengan badan lain dan tidaklah orang sastera hanya menjadi pemerhati segala macam kegiatan yang mampu diadakan orang lain, tetapi tidak mereka!

Bagi yang menganggap lontaran idea ini terkeluar daripada kerangka sastera, setidak-tidaknya ‘pahala’ kemanusiaan dan jihad Islam, jauh lebih bermakna daripada sekadar mengembangkan sayap mendakap Melayu diaspora yang menjadi kebanggaan satu badan gabungan persatuan penulis!

Aspek sastera pendekatan Fudzail tetap ada kerana yang terbabit pengarang kreatif dan karyanya dimanfaatkan bagi menjana dana diperlukan untuk misi terbabit, serentak itu menyelesaikan masalah teks terperap di gudang Dawama.

Penulis akui benar sastera dipinggirkan, tetapi gerakan sastera tanah air tidak boleh bersifat sekadar sastera per se dan orang sastera boleh membuktikan bahawa mereka tetap relevan dalam era mana sekalipun dengan syarat berani menerjah keluar daripada lingkaran lapuk mereka.

Seperkara lagi, pengarang kreatif dan persatuan penulis peringkat negeri dan kebangsaan umpamanya boleh melihat kemungkinan menghidupkan semula teater keliling dengan membabitkan sama penyertaan remaja di lokasi sasaran, sambil mengadaptasi teks sastera ke pentas.

“Masih ada kelompok yang berminat kepada sastera di pentas, tetapi tiada kesempatan untuk menunjukkan bakat masing-masing kerana batasan lokasi, kewangan dan kesempatan. Pendekatan teater keliling boleh dijadikan model untuk bergerak dan mengasah bakat,” kata seorang teman diskusi.

Ini juga satu daripada cara memasyarakatkan semula sastera agar tidak hanya berlegar kepada satu kelompok, peringkat umur mahupun individu saja yang perlu diberi perhatian dan program seperti ini wajar mendapatkan pembabitan daripada beberapa kementerian.

Mengapa tidak dikemukakan kertas cadangan kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah bagi mendapat dana untuk membiayai program.

Jika teater keliling tidak mampu dilaksanakan kerana masalah masa dan tanggungjawab yang menghalang pergerakan keluar daerah, mengapa tidak diberi jenama baru sebagai teater setempat dengan kisah serupa dipentaskan berulang kali.

Program ini boleh dijadikan produk pelancongan dengan menjadikannya sebagai sebahagian daripada pengisian program enap desa yang sudah pun dihidupkan pada masa ini di bawah Kementerian Pelancongan.

Mengapa tidak lontaran idea ini diambil dan dipindahkan dalam bentuk kertas kerja bagi meyakinkan semua kementerian berkenaan kesesuaian program yang wajar dikongsi tiga kementerian terbabit, malahan Kementerian Pelancongan bagi membolehkan ia dilaksanakan.

No comments: