Saturday, June 05, 2010

Petikan dari 'Wainuiomata' - buku 1 Trilogi a0tear0a

"Belajar di New Zealand merupakan antara pendidikan terpenting dan memori terindah dalam hidup saya. Buku ini elok untuk teladan pembaca dan generasi muda. Bacalah untuk turut serta mengalami cerita kehidupan belajar di luar negara"
YB Datuk Ahmad Maslan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia".


Akan dipasarkan tidak lama lagi....terbitan Oasisbuku!

(sedutan dari Bab 14 - Mongrel Mob)

Tiba-tiba sekali lagi ketukan dan tendangan bertalu dari pintu.

Kesemua kami bingkas bangun, ada yang menuju ke dapur, rupa-rupanya ada yang mengambil pisau, termasuk sudu dan garfu. Bersiap sedia, ada juga yang rupanya termakan ‘propaganda’ aku mengenai keganasan kumpulan Mongrel Mob. Walau sekadar kesimpulan dari hearsay, berita yang belum sahih. Sahlah pagi itu, Hearsay dan berita bohong boleh menimbulkan kekacauan kalau diulang-ulang sebagai berita betul, seperti kata-kata keramat tukang propaganda Hitler, Joseph Goebbels yang diceritakan oleh Mr Scott; "Jika anda berbohong secara besar-besaran, dan mengulangi pembohongan itu berkali-kali, akhirnya orang akan boleh terpedaya untuk merpercayainya!”

Zulkifli perlahan ke pintu. Mengisyaratkan bersedia.

“Kita belasah sahaja mamat ini, OK?”

Kesemua sudah bersedia di posisi masing-masing.

Tendangan yang kuat memecahkan bawah pintu.

Zulkifli membuka pintu.

Seorang Māori berbadan besar, dengan tatu memenuhi muka yang bengis, mata merah, mulut berbau alkohol, tanpa berbaju dan badan juga bertatu, sekadar seluar pendek hitam yang comot dan koyak rabak.

Dan dia dengan bengis dan gaya mengancam, menghunus sebilah pisau belati yang bersaiz besar. Berkilat. Berkilauan dari cahaya lampu.

“Apa masalah kamu?”

Zulkifli bersuara dalam terkejut melihat pisau belati. Mukanya pucat, suaranya kedengaran gementar, tetapi mungkin sudah terlepas cakap besar sebentar tadi, terpaksa mengawal macho.

“Bising bangsat! Berapa kali aku beritahu, tolong diam, aku mahu tidur!”

Mukanya semakin bengis, menghunus pisau belati ke muka Zulkifli.

Dua tiga orang yang tahu bersilat, nampak terhenti dari membuka silat. Menanti arahan Zulkifli yang nampak gabra, tentu tidak sekali menyangka si jiran akan datang untuk menghunus pisau belati.

“OK! Relaks! Kami semua masuk tidur!”

“Kalau bising lagi, aku bunuh kamu semua!”

Zulkifli menutup pintu. Suasana sepi dan masing-masing segera mengemaskan ruang, untuk tidur. Satu tindakan bijak untuk mengelakkan insiden yang tidak diingini, baik tidur sahaja, lagipun sudah awal pagi. Lupakan sahaja permainan jin rami yang juga tidak membawa apa-apa faedah, selain keseronokan. Lebih baik solat tahajud.

Aku terus menggigil dalam selimut, trauma melihat pisau belati dan muka bengis bertatu Māori yang dalam fikiranku memang geng kumpulan Mongrel Mob. Trauma dalam membayangkan kalau si Māori yang mabuk itu terus menyerang sebaik pintu terbuka. Terus mengamuk dan menggila setelah dua kali amarannya tidak diendahkan.

Lebih dari itu, jauh di sudut hati, aku bertanya diri sendiri. Mungkinkah si Māori mabuk itu adalah utusan yang dihantar Tuhan ke rumah sewa Zulkifli, untuk kami menilai semula, berfaedah atau tidak, aktiviti main terup dan aktiviti menonton wayang maraton yang membuang masa dan tidak berfaedah untuk diri sendiri, agama, bangsa dan negara.

Bayangkan kalau Tuhan mengkehendaki si Māori itu dalam kemabukannya, terus menyerang kami dengan pisau belati besarnya. Satu tragidi yang boleh mengubah satu perjalanan seorang budak Melayu Felda Keratong di bumi Aotearoa, bumi bangsa Māori sebagai pribumi yang kehilangan sebuah negara atas nama demokrasi dan ketuanan British.

Ah! Aku tidak sanggup untuk membayangkannya. Lantas begitulah kehendak Tuhan, malam bulan Mac tahun 1983, siapa menyangka, dalam dengkuran kawan-kawan yang bersilih ganti, dengan pelbagai nada dan ada yang setinggi suara ‘pitch’ Kiri Te Kanawa, di sebuah rumah sewa usang di Newtown Wellington, aku bertaubat dibawah selimut hapak!


No comments: