Wednesday, March 17, 2010

New Zealand tidak suka Zainuddin Maidin

Saya baharu sahaja menghabiskan novel pertama dari trilogi 'Aotearoa', novel kembara awal 80han sebagai rakaman pengalaman pelbagai pelajar.

Projek persendirian yang tertangguh beberapa lama dan memuncak kembali setelah pulang dari lawatan terakhir di New Zealand selepas Hari Raya tahun lalu.

Harap trilogi ini akan berada di pasaran tidak lama lagi, kalau pihak penerbit meluluskan kerana mungkin ada banyak perkara yang mempunyai 'kejutan budaya.'

Dalam pada itu, dapatkan kumpulan cerpen 'Dotkomania' sama ada di kedai Buku DBP, atau beberapa kedai buku MPH atau secara online dari Dawama (sini).

Entah bagaimana dalam mencari bahan, saya terbaca artikel di bawah.


"New Zealand tidak suka saya"

SAYA suka New Zealand tetapi New Zealand tidak suka saya. Itulah pandangan yang saya buat apabila tiga dari empat kali kunjungan saya ke negara itu menghadapi peristiwa buruk dan pahit.

Kali pertama pada Disember 1988 menemui kemalangan jalan raya bersama keluarga di Dunedin di Selatan New Zeland, kali kedua pada November 1995 isteri saya diserang angin ahmar di Christchurch dan kali ketiga pada September 2002 didenda lebih kurang RM950 di lapangan terbang Auckland kerana seorang cucu "menyeludup" sisa burger McDonald yang tidak habis dimakan dan cable car tersangkut terawang-awang di taliannya di Queens Town kira kira sejam kerana rosak.

Cuma kunjungan kali kedua bersama seorang menantu saya pada Disember 1992 yang "selamat" kecuali kereta kami diekori oleh sebuah kereta yang muncul tengah malam di jalan sepi yang di kiri kanannya hutan dan tidak berpenghuni dalam perjalanan pulang dari Queens Town ke Chirstchurch. Kereta ini tiba tiba hilang.

Bagaimanapun sehingga hari ini keindahan New Zealand tetap melambai-lambai.

Lebih menyenangkan perasaan ialah kos perjalanan, makanan dan penginapan yang murah, jauh lebih murah jika dibandingkan dengan Singapura. Rumah rumah penginapannya bersih, kemas dengan dapur yang lengkap dengan alat memasak dan hidangan. Orang-orangnya pada keseluruhannya mempunyai budi bahasa yang tinggi seperti orang Inggeris di bandar-bandar kecil di England.

Bagaimanapun semua ini tidak akan dapat dirasakan kalau tidak merancang sendiri perjalanan dengan menyewa kereta, memandu dan mencari tempat penginapan.

Setelah isteri saya kena serangan angin ahmar kerana darah tinggi yang menyebabkan kami terpaksa tinggal lebih sebulan di Christchurch untuk rawatannya di hospital, saya membuat keputusan untuk tidak lagi ke New Zealand. Tetapi setelah mengenang nasib baik serangan ini berlaku di New Zealand yang memberikan rawatan pantas, sempurna dan murah maka kami sekeluarga mengambil keputusan berkunjung lagi ke negara itu pada tahun 1999.

Kami telah pun maklum tentang larangan keras membawa masuk sebarang makanan basah atau kering ke New Zealand tetapi kali ini seorang cucu yang tidak menghabiskan burger McDonald yang dibeli ketika singgah di lapangan terbang Singapura telah menyimpannya.

Setelah selesai semua pemeriksaan imigresen dan kastam di Lapangan Terbang Aukland, tiba tiba seekor anjing pengesan datang dan mencium makanan yang tergantung di tempat pegang kereta roda yang dinaiki oleh isteri saya yang menyebabkan saya ditahan dan menerima syarahan dari seorang pegawai kastam tentang undang-undang alam sekitar di New Zealand. Permohonan maaf saya tidak diterima. Saya menyatakan kami akan terlepas penerbangan sambungan ke Christchurch. Katanya "Jangan bimbang, bayar denda dahulu dan kami akan meminta kapal terbang menunggu awak semua".

Pertama sekali saya ke New Zealand bersama dengan keluarga pada 16 Disember 1988 tetapi hanya baru beberapa hari berada di sini, kereta yang saya pandu ketika hendak keluar dari bandar Dunedin menuju ke Queens Town telah berlanggar dengan sebuah kereta di suatu persimpangan jalan pada 23 Disember. Bagaimanapun tidak ada kecederaan yang berlaku dan kereta juga tidak rosak teruk.

Berikutan dengan itu perasaan untuk meneruskan perjalanan sudah tidak ada lagi dan saya mengambil keputusan membatalkan percutian tetapi saya menghadapi berbagai masalah kerana New Zealand berada dalam keadaan bercuti menjelang Krismas. Saya tidak boleh lagi menyewa kereta setelah menyerahkan semula kereta sewaan saya.

Saya merasa kesal hingga sekarang apabila terpaksa berbohong untuk menyewa kereta di tempat lain. Bila ditanya adakah saya pernah menemui kemalangan, saya menjawab tidak. Ini adalah kerana didesak oleh perasaan untuk pulang segera ke tanah air. Pembantu kedai kereta sewa ini segera mendapatkan maklumat dan memberitahu saya, "Kami orang New Zealand tidak suka orang berbohong".

Dengan keadaan hari semakin lewat petang, bandar semakin sepi, tidak ada sebuah teksi pun yang lalu. Saya dengan isteri, tiga orang anak dan seorang cucu yang masih kecil, tidak tahu ke mana hendak dituju. Tiba-tiba sebuah teksi berhenti di hadapan kami dan pemandunya keluar. Saya memberitahunya hendak ke stesen keretapi untuk ke Christchurch. Pemandu teksi ini memberitahu dia dalam percutian untuk menyambut Krismas dan datang untuk menghantar ubi kentang dari kebunnya sendiri ke rumah YMCA (Young Men Christian Association) berhampiran dengan tempat kami sedang menunggu. Bagaimanapun dia bersetuju untuk menghantar kami ke stesen kereta api.

Pemandu teksi ini memperkenalkan dirinya sebagai Bob Keenan dan menceritakan kepada kami bahawa beberapa tahun yang lalu di tempat yang sama di mana kami menunggu dan juga beberapa hari sebelum Krismas, teksinya telah disewa oleh sebuah keluarga dari Korea Selatan yang juga sesudah kereta mereka terlibat dengan kemalangan jalan raya.

Pertemuan

Pertemuan itu, katanya telah membawa kepada pertemuan semula antara dia dengan anak angkatnya di Korea Selatan yang ditinggalkannya selepas tamat Perang Korea pada 1953.

Bob telah meminta tolong orang Korea ini untuk mencari anaknya dengan memberikan nombor rantai leher tanda nama yang ditinggalkan kepada kepada anaknya itu. Rantai leher identiti peribadi itu mengandungi nombor servis biasanya dipakai oleh tentera dalam peperangan. Orang Korea ini sekembali ke tanah airnya telah mengiklankan di dalam akhbar yang kemudiannya dikenali oleh anaknya. Bob telah pergi ke Korea Selatan untuk menemuinya setelah berpisah sekian lama.

Bob membawa kami ke stesen kereta api tetapi sudah tidak ada tempat lagi dan dia mengesyorkan kepada kami supaya bermalam satu malam lagi di Dunedin kerana dia akan menguruskan penerbangan kami ke Aukland untuk sambungan penerbangan terus ke Kuala Lumpur. Bob meminta kami jangan bimbang kerana seorang anaknya berkerja di syarikat penerbangan.

Bob kemudiannya membawa kami ke sebuah motel penginapan dan esok paginya dia datang membawa tiket penerbangan dan membawa kami ke lapangan terbang Dunedin untuk ke Aukland.

Kami berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada 24 Disember sehari sebelum Krismas.

Empat tahun kemudian iaitu pada 27 Disember 1992 saya ke New Zealand lagi bersama seorang menantu saya dan mencari Bob tetapi saya terkejut melihatnya dari seorang yang tinggi dan tegap telah menjadi pendek dan tubuhnya condong sedikit ke kanan. Bob memberitahu bahwa dia telah terjatuh dari bumbung ketika membetulkan atap rumahnya yang menyebabkannya terlantar di hospital selama lapan bulan.

Bob membawa kami ke rumahnya yang kecil tetapi cantik di tepi tasik Dunedin. Isterinya berbangsa Jepun bernama Tomoko. Mereka dengan bangga menunjukkan sekeliling rumah yang ditanam dengan berbagai sayuran , ubi kentang dan bunga-bungaan.

Kunjungan kali kedua ke New Zealand ini selamat dari sebarang kejadian buruk. Kami menyewa dan memandu kereta sendiri dari Aukland ke Wellington dan kemudiannya menyeberangi Selat Cook ke Picton di Pulau Selatan. Meskipun hari sudah pukul 9 malam ketika di Picton tetapi keadaan masih cerah seperti pukul 6 petang di negara kita kerana musim panas. Kami mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan.

Dalam perjalanan menuju ke Crishtchurch jalan sunyi sepi tanpa kereta dan manusia. Antara satu rumah dengan rumah yang lain amat jauh dipisahkan oleh ladang ternakan lembu dan kambing. Kami belum pasti di mana akan bermalam. Terlihat seorang wanita berdiri di tepi sebuah jip di tepi jalan, kami berhenti untuk bertanya di mana kami boleh mendapat penginapan. Beliau berkata "Tidak mungkin ada" dan meminta kami mencuba Tophill Motel di atas bukit berhampiran. "Jika nasib baik awak mungkin dapat tempat kerana ramai orang berjalan di musim panas," katanya.

Wanita ini memberitahu bahawa dia sedang mencari seekor lembunya yang hilang kerana terpisah dari kumpulannya. Sebelum berpisah dia bertanya kami dari mana. Apabila kami memberitahunya dari Malaysia dengan segera dia menjadi begitu mesra dan menyatakan orang Malaysia sangat baik dari pengalamannya berada Malaysia.

Dia bertanya apakah kami ada sebarang makanan malam. "Tidak ada" jawab saya. "Kamu akan berlapar, tidak ada kedai makan di sini," katanya dan dan dia mengambil sebungkus roti dan seikat pisang dan memberikan kepada kami. "Untuk makan malam" katanya.

mengunjungi

Kami mengunjungi Top Hill Motel tetapi ramai orang bergelimpangan tidur di lantai lobi. Kami meneruskan perjalanan membelah malam yang gelap melalui jalan yang berhutan di kiri kanannya. Di suatu tempat tidak putus-putus beratus binatang seperti tupai atau musang melintas jalan. Kami terpaksa melanggarnya.

Tiba di sebuah bandar kecil kira-kira pukul 1 pagi, kami nampak sebuah hotel kecil masih terbuka tetapi tuanpunya sudah bersiap hendak pulang ke rumah. Kami memberitahunya kami memerlukan bilik penginapan dan dia memberikan kunci bilik tanpa meminta kami mendaftarkan diri. "Esok saja bayar" katanya. Saya pernah alami hal yang sama dalam lawatan ke Scotland dalam tahun 1975 di mana ketika itu kepercayaan antara manusia masih tinggi.

Enam tahun setelah kunjungan kali kedua ini, Bob Keenan menghantar sekeping kad Krismas yang mencatitkan "kami masih berada di Dunedin dan selalu mengingati anda semua. Anjing kecil kami masih sihat".

Saya teringat anak anjing yang kecil cantik inilah yang dahulunya dibawa bersama dalam teksinya yang telah menjadi masalah kepada kami sekeluarga kerana dia melompat ke hadapan dan ke belakang untuk bermain sedangkan kami tidak dapat menunjukkan kemesraan kepadanya malah takut untuk tersentuh dengannya.

Saya ingin menemui Bob Keenan lagi tetapi alamatnya sudah hilang dan tidak tertulis pada kad Krismasnya. Selalunya kita megenang dan ingin menemui kembali manusia yang baik.

No comments: