Wednesday, December 16, 2009

Islam mempengaruhi kehidupan masyarakat Russia

Artikel dibawah diangkat dari Berita Harian hari ini.

Islam bentuk kekuatan baru dalam hidup masyarakat Russia

Oleh Dr Victor Pogadaev


ISLAM di Russia bukan lagi dianggap ganjil dan sukar diamalkan secara terang-terangan, malah jumlah yang menganut agama Islam semakin bertambah.

Kebangkitan kerohanian secara meluas petanda Moscow jadi wilayah jihad tanpa pertumpahan darah

PENGERTIAN Islam Russia ialah sesuatu yang susah dibayangkan atau ungkapan yang tidak mencerminkan keadaan nyata. Setengah abad yang lalu ungkapan 'Muslimin Russia' amat ganjil. Islam dianggap agama orang berbangsa Tatar saja.

Penasihat wakil Presiden Russia di kawasan persekutuan Volga, Sergey Gradirovsky dalam beberapa wawancara terus terang menyatakan bahawa bumi Russia mempunyai sektor Islam sendiri dan sektor itu akan bertambah dan meluas.


Hal itu dinyatakan dalam konteks bahawa Islam adalah kekuatan hidup masyarakat Russia dan jika negara hendak tetap hidup, ia mesti mempertimbangkan kekuatan itu. Kebangkitan kerohanian Russia tidak semestinya dihubungi hanya dengan kebangkitan agama Kristian Ortodok.

Dasar seperti itu boleh memecahbelahkan Russia atas prinsip agama (seperti India pernah terpecah pada 1947) dan akan menggalakkan pengasingan orang Russia dalam skala rantau serta dunia.

Tidak ada perangkaan tepat mengenai jumlah rakyat etnik Russia yang menganut Islam, walaupun biasa disebut cuma sekitar 30,000 orang. Apakah itu banyak atau sedikit? Jika membandingkan jumlah itu dengan data Ensiklopedia Soviet (1977), maka jumlah 30,000 itu tiga kali ganda daripada jumlah suku bangsa kecil di Utara Russia seperti Chukcha atau Evenki.

Perlu dicatatkan di sini juga ialah Muslimin Russia biasanya orang muda dan cergas, manakala komunitinya tersebar luas pada pelbagai bandar raya Russia. Ada antaranya tokoh politik seperti Abdul-Wahed Niyazov (Vadim Medvedev) yang juga Ahli Parlimen dan pemimpin Kesatuan Patriot Russia. Begitu juga seniman seperti penyanyi terkenal Yulian (Jabrail) dan bekas pendeta Kristian seperti Ali (Vyacheslav) Polosin.

Kegiatan Muslimin berbangsa Russia dikelolakan Kesatuan Kebangsaan Muslimin Berbangsa Russia (KKMBR) dan gerakan 'Jalan Lurus'. Komuniti yang paling aktif dianggap komuniti di kawasan Karelia (bahagian utara Russia) yang wujud berkat kegiatan dakwah Abu Ahmat Mustafa (nama Russia � Oleg Starodubtsev). Menurut pendapat pemerhati, jumlah Muslim Russia akan meningkat secara pesat dan bagi kesimpulan itu ada beberapa alasannya.

Orang Russia sekarang bebas mengenali teks terjemahan kitab suci al-Quran antaranya terjemahan puitis (1991) yang dilakukan Iman (Valeria) Porokhova, seorang Muslimah berbangsa Russia yang menerima Islam atas pengaruh suaminya, rakyat Syria. Jika dulu, Muslimin bergaul di masjid dalam bahasa suku bangsanya masing-masing (waktu itu hampir tidak ada orang Islam berbangsa Russia), maka sekarang mereka bergaul dalam bahasa Russia. Lahir banyak media massa Islam dalam bahasa Russia, termasuk media elektronik yang sebahagiannya dimiliki Muslimin berbangsa Russia.

Di saluran televisyen kerajaan (Saluran ke-2) diperkenalkan program khusus mengenai kehidupan orang Muslimin di Russia bertajuk 'Muslimat'. Lambat laun hilang kekeliruan bahawa Islam di Russia ialah kepunyaan suku bangsa kecil saja ciri keperibadiannya. Sekarang untuk orang Russia menjadi Muslimin tidak bererti bahawa ia menjadi orang Chechen atau orang Tatar.

Menurut Sergey Gradirovsky, Islam Russia bukan mazhab atau aliran baru dan tentu bukan menyimpang daripada prinsip iman. Ini satu berita yang menggembirakan melalui pendapat pihak kakitangan pemerintahan Russia.

Jika pendapat mereka dikongsi oleh semua struktur pemerintahan Russia, maka Russia akan menjadi wilayah jihad tanpa pertumpahan darah kerana seperti diketahui tujuan jihad ialah bukan pembunuhan, tetapi penyebaran iman.

Mengapa orang berbangsa Russia menerima Islam? Pemerhati membuat kesimpulan berikut:

  • Rasionalisme � dengan lain perkataan kesederhanaan dogmatik Islam. Bertentangan dengan gereja ortodok yang menyelubungi kekaburan dogmatik dengan mistik, maka Islam memberi pengertian yang jelas mengenai Tuhan, kehidupan akhirat, punca kekejaman dunia.

    Sebenarnya masalah itu sudah diketengahkan pada awal kurun yang lalu oleh Leo Tolstoy (1828-1910), penulis Russia yang genius, pengarang novel War and Peace dan Anna Karenina, tokoh pemikir agung yang memberi sumbangan besar kepada dunia sastera dan sejarah Russia.

    Seorang wanita Russia yang berkahwin dengan seorang Muslim bernama Vekilov menulis kepada Leo Tolstoy bahawa anak lelakinya hendak menganut Islam dan meminta nasihatnya. Berikut adalah jawapan Leo Tolstoy kepada wanita terbabit:

    "Memang ada kelebihan Islam berbanding Kristian, saya amat bersimpati dengan orang yang menukarkan agama dan menjadi Muslim. Mungkin itu agak aneh, tetapi saya yang menjunjung tinggi nilai ajaran Kristian sejati, tidak mengesyaki lagi bahawa Islam dalam bentuk luarnya adalah lebih tinggi daripada gereja ortodok."

  • Keselesaan atau kesederhanaan ibadat � Islam tidak mengharuskan pengikutnya berpuasa terlalu banyak seperti di gereja ortodok: bermacam-macam puasa dalam kenyataan sering tidak boleh ditunaikan dan akibatnya ialah kemunafikan. Pada hal Islam menawarkan satu puasa saja pada siang hari sepanjang Ramadan. Upacara Islam lain seperti upacara perkahwinan atau pemakaman juga bersifat sederhana dan tidak membebankan pengikutnya.

    Dalam Islam, penganut boleh mengadakan pengakuan dosa langsung kepada Tuhan, mereka tidak memerlukan pengantara berupa birokrat gereja. Semangat birokrasi pada amnya asing untuk Islam. Meskipun itu, Ratu Russia Ekaterina II cuba menanamkan struktur birokrasi kepada Islam di Russia.

    Pada 1778, beliau menubuhkan Majlis Agama Islam (muftiat) untuk daerah Orenburg yang diketuai mufti yang makan gaji daripada kerajaan. Selepas mengalami beberapa transformasi, majlis itu sampai sekarang menjadi alat pengelolaan terhadap masyarakat Islam daripada pihak Kremlin. Pada amnya hierarki umat Islam berdasarkan kewibawaan tokoh Islam.

  • Sifat antisistem � Islam adalah alternatif serius kepada masyarakat pengguna. Tidak semua puas hati dengan hal bahawa satu-satunya bentuk budaya menjadi budaya pop komersial yang berdasarkan propaganda seks dan kekerasan. Tidak semua mahu menjadi alat untuk memperoleh dan menghabiskan wang yang sering menjadi bukan nafkah hidup, tetapi pelayan imej yang sesuai dengan status tertentu.

    Tidak semua mahu menerima keruntuhan akhlak apabila jenayah remaja, kecurangan suami isteri dan maksiat seakan-akan menjadi norma kehidupan. Masa tua, penduduk masyarakat pengguna ialah mengerikan. Di Barat, orang tua yang ditinggalkan anaknya duduk kesepian di rumah orang tua, di Russia nasibnya juga ialah kesepian.

    Sering kali mereka menjadi objek petualang. Islam adalah alternatif untuk segala-galanya itu. Selain itu, kitab suci al-Quran memungkinkan kita menyesuaikan aspek positif daripada semua bidang politik � pasaran tanpa spekulasi dan keadilan sosial tanpa kezaliman.

    Alasan tadi dikukuhkan perkataan beberapa orang Russia yang menganut Islam. Timbalan Ketua KKMBR ialah Taras (Abdul Kerim) Chernienko. Beliau berusia 30 tahun, menamatkan pengajian di dua universiti, ketua jabatan antarabangsa di sebuah bank.

    Pada awal 1990-an, beliau memberitahu ibu bapanya bahawa namanya menjadi Abdul. Taras dibesarkan dalam keluarga cendekiawan beragama Kristian, tetapi diajar mencari kebenaran sendiri.

    "Islam adalah agama ilmu dan akal. Segala-galanya dalam Islam berdasarkan pada maklumat yang boleh dipercayai atau pada hukum logik. Tentu setiap agama menyatakan hal yang tidak boleh dibuktikan � keberadaan Tuhan.

    Shamil Matveev dua tahun lalu mempunyai nama Russia, Vladimir. Sebelumnya selama 12 tahun beliau bergiat dalam gerakan hak asasi manusia. Ketika perang Chechen pertama (1994-1996) bermula, beliau ikut serta dalam tunjuk perasaan dan menaruh minat kepada Islam.

    "Saya mengerti, demikian Shamil, bahawa Islam bukan agama autoritarian seperti ramai berpendapat. Ia lebih liberal daripada Kristian. Misalnya imam dipilih dan tidak dilantik daripada atas. Dalam Islam, ada kanun undang-undang yang tegas. Bersamaan dengan itu pemimpin agama berdiri di atas pemerintahan berkuasa bukan di bawah".

    Penyanyi Yulian (Jebrail) yang masuk Islam pada 2005 berkata: "Selama seluruh kehidupan saya, saya menyiapkan diri untuk menerima Islam. Saya suka Islam dan ibadatnya dan bersedia menunaikannya secara tekun".

    Kesimpulannya ialah bahawa Islam Russia ialah gejala wajar dan positif. Sektor budaya Russia yang bersifat Islam dalam keadaan merosotnya sektor lain mempunyai peluang untuk menjadi satu kekuatan penting dan berpengaruh dalam perkembangan masyarakat Russia pada masa akan datang.

    Penulis ialah sarjana Russia yang kini berkhidmat sebagai Profesor Madya di Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya (UM)