Thursday, October 01, 2009

Dari Majalah Dewan Budaya - Latitud Aden


(Tengahari)

Hari itu, hari ketiga mereka belayar dari Sychelles. Ratusan km lagi untuk berpusing di Socotra apabila Kapten Gerrard menerima mesej dari Pusat Lapuran Lanun Global berpengkalan di Kuala Lumpur.

Mesej yang memberi amaran mengenai peningkatan kegiatan lanun dalam masa 24 jam lalu. Sebuah kapal minyak sedang di bedil dan diburu. Sebuah kapal Korea sudah dirampas tidak jauh dari lokasi. Biarpun ada kapal perang Amerika berada di kawasan sekitar pesisiran Somalia.

Ketika itu juga Kapten Gerrard mengumpulkan krew kapal. Memberi taklimat keadaan semasa dan beberapa perkara yang mungkin berlaku dalam pelayaran kali ini. Pilihan dan tindakan yang perlu dibuat.

“Biarpun ribuan kapal melalui Teluk Aden setiap tahun dan ini pelayaran kita yang ke 13, kita mesti sentiasa berjaga-jaga!”

Berkali-kali Kapten Gerrard mengingatkan krew seramai 24 orang. Dia berasal dari Perancis dan bahasa Inggerisnya tidak begitu fasih tetapi cukup untuk memberi maklumat sewajarnya. Manakala krew terdiri dari pelbagai warganegara, majoriti Filipina, India, Sri Lanka, Perancis, Nigeria dan Suhaimi satu-satunya tukang masak dari Malaysia.

Tidak semua krew adalah kelasi, kebanyakannya staf hotel yang mahukan pengalaman dan cabaran di samudera sambil makan angin. Kerana itu mereka bekerja secara bersantai.

“Kita akan sentiasa berkomunikasi dengan semua kapal lain dan kapal perang tentera yang berada sekitar Teluk Aden!” Suara kapten Gerrard sedikit sebanyak mengandungi kebimbangan dan krew tidak dapat mengelakkan diri dari dihinggap kerisauan.

Kapal ‘Syurga’ yang berukuran 300 kaki, dengan tiga layar sebagai percutian mewah ke Sychelles, Madagascar dan Lautan India untuk seramai maksimanya, 55 orang penumpang. Kebanyakannya hartawan dari negara-negara Eropah.

‘Syurga’ didaftarkan di Mata-Utu, tempat bebas cukai dan dipunyai oleh keluarga hartawan Lebanon dan berpengkalan di Marseilles.

Sebaik habis memberi taklimat, Kapten Gerrard membenarkan krew berehat seketika.

“Aku terasa ada sesuatu yang akan berlaku!” Perlahan Henry memberitahu Suhaimi sambil meneguk segelas lagi bir. Pemuda dari Cebu itu adalah rakan baik Suhaimi dalam kapal ‘Syurga’.

Walau krew kelihatan glamour dalam pelayaran kapal mewah, dengan wajah manis, sopan dan profesional malayah karenah penumpang, tetapi sebenarnya mereka menerima gaji tidak seberapa. Tempat penginapan pun agak sendat. Bercampur lelaki perempuan.

Keduanya berpandangan dalam menikmati angin bertiup lembut dari arah tenggara. Layar dinaikan. 16 ribu kaki persegi berwarna putih berkilauan yang menambahkan panorama indah di tengah lautan. Tetapi hanya sedikit menambah kelajuan kepada enjin kapal yang meluru dalam 13 knot.

Baru sahaja melepasi latitud Mogadishu dalam 900 km ke laut. Perjalanan yang menjimatkan pelayaran. Beberapa wanita sedang berehat di kolam renang. Ada yang tidak berpakaian. Manakala ramai lain dalam mini kasino dan bar yang tidak henti meneguk air setan pelbagai jenama.

Muzik rock kuat dan berdesing dari geladak bawah kapal. Ramai juga pasangan yang terhenjut-henjut menari. Merasakan kebebasan. Tidak semua pasangan itu suami isteri. Tiada siapa peduli. Mereka berada dalam ‘Syurga’ yang menghalalkan apa sahaja, malah sesama krew juga sudah ramai yang menjadi ‘suami isteri’ sepanjang pelayaran ulang alik.

Suhaimi menghisap rokok. Melihat jauh ke langit terbuka. Ada masa lagi untuk bersantai menikmati udara segar sebelum kembali ke dapur. Awan gemawan berlalu dibalik matahari. Cuaca yang indah musim bunga tetapi sukar untuk hati bertenang dalam cuba melawan bayangan yang mengasak.

Teringat kampung halaman. Teringat kedamaian satu zaman yang telah pergi. Telah jauh perjalanan dan pelayaran. Dari anak nelayan miskin yang tidak kenal pernah kemewahan, kemudian mendapat peluang sebagai tukang masak sebuah kapal mewah di lautan lepas. Mengelilingi dunia dan singgah merata pelabuhan sebagai krew yang glamour. Bebas fikiran dan pegangan sebagai manusia baru.

Tiba-tiba Kapten Gerrard meluru ke geladak atas. Dengan teropong. Suaranya memecahkan suasana.

“Jahanam! Mereka sudah datang!”

(Beberapa minit kemudian)

Sembilan orang naik dari tengah kapal dengan tali. Lengkap dengan Kalashnikov dan dengan pemacu roket. Selain peralatan komunikasi yang canggih.

Kapten Gerrard, krew dan penumpang yang berani cuba bergelut dengan menggunakan apa sahaja yang dicapai. Seorang krew cuba membuka pili bomba untuk dihamburkan kepada lanun, tetapi pancuran airnya terlalu perlahan. Tiada tembakan, sekadar jeritan supaya bertenang dan berhenti dari melawan.

Setelah bergelut selama empat minit, Kapten Gerrard mengarahkan krew dan penumpang untuk mengangkat tangan. Lebih baik menjadi tebusan dari menjadi mayat.

Ternyata gerombolan lanun yang sekadar berkaki ayam itu cukup berpengalaman untuk menangani tentangan krew yang semuanya amatur dalam pertempuran gerila. Mereka berpakaian lusuh dan nampak ada yang gementar. Mungkin juga masih baru atau dalam kemabukan khat.

Suhaimi tidak berasa selesa dan serba salah. Sebaik melihat sekumpulan bersenjata menaiki kapal, Suhaimi menjadi panik. Tidak sempat berbuat apa-apa walaupun menjalani latihan apabila berlaku kecemasan sudah dibuat berkali-kali.

Tidak semena-mena, dalam kelam-kabut, Suhaimi terkencing dalam seluar dan pitam seketika. Ketakutan yang mencepatkan degupan jantung ramai krew dan penumpang. Tetapi tiada pula yang terkena serangan jantung.

Ketua lanun yang hanya seorang berkasut dengan pistol di pinggang, nampak masih muda. Dia melihat setiap yang berbaris dan menyuruh wanita tidak berpakaian menutup aurat mereka atau terus ke bilik.

Manis wajahnya. Berambut kerinting. Berkumis dan sedikit berjanggut.

“Assalammualaikum!”

Hanya Suhaimi yang menjawab dalam suara penuh gementar.

“Hanya kamu orang Islam?”

Pertanyaan itu bagai halilintar yang membelah hati. Suhaimi mengangguk perlahan. Terasa malu pula untuk masih mengaku orang Islam dalam keadaan kehidupannya selama ini. Mungkin jawaban itu boleh menyelamatkan nyawanya dalam situasi yang penuh kemungkinan. Apa sahaja boleh berlaku apabila mereka lengkap bersenjata dan berpeluru.

“Hanya seorang sahaja krew orang Islam? Dan kamu tukang masak di kapal ini?”

Suhaimi mengangguk perlahan. Pakaiannya memperkenalkan identitinya.

“Nama saya adalah Abdul Hadi, jangan takut, kami tidak pernah membunuh sesiapa. Kami bukan teroris. Kami bukan Al Qaeda. Kami hanya penyelamat Somalia. Semua krew dan penumpang kapal ini bukan musuh kami. Kalian adalah sekadar perantara, yang kami mahukan adalah pembalasan dari lanun-lanun Barat yang telah merompak hasil dan merosakkan laut kami!”

Bahasa Inggeris Abdul Hadi cukup baik. Suaranya kuat dan bersemangat.

Semuanya diam. Ada yang menangis dalam berpelukan. Seakan nyawa berada dihujung Kalashnikov. Pengalaman pertama yang menggerunkan. Ditangkap sebagai tebusan oleh lanun Somali.

Abdul Hadi berjalan ke arah Suhaimi.

“Nanti kami bagi daging kambing Somalia ini dan masakkan hidangan makan malam untuk semua. Daging halal dan jangan guna mana-mana bahan yang tidak halal untuk masakan kamu!”

Suhaimi terkejut. Sekali lagi terpanah kalau tidak dibomkan hatinya dengan kata-kata yang menusuk. Sudah lebih sepuluh tahun dia menjadi tukang masak bertaraf antarabangsa yang tidak kenal halal dan haram. Semuanya boleh atas nama profesionalisme dan kehendak majikan serta pelanggan.

“Oh Ya! Kalau mahu sekali solat maghrib berjumaah dengan kami di geladak atas!”

Abdul Hadi membenarkan dia mandi sebelum memasak. Basah berpeluh laju dalam keadaan yang mencemaskan. Berbau hapak dan hancing.

Memang Suhaimi mesti mandi. Sudah lama dia tidak mandi hadas. Sejak dia tidak lagi peduli mengenai solat, puasa dan apa sahaja yang berkaitan ibadah. Sudah lupa juga perkara-perkara asas dalam fardhu ain. Yang wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Ayat-ayat untuk bacaan solat. Semuanya sudah jadi boleh sahaja.

Pertama kali sejak bertahun-tahun dalam pelayaran, Suhaimi menunaikan solat maghrib atas kapal. Menjadi makmum kepada sekumpulan lanun yang menjadikan dia sebagai tebusan. Gemersik mendengar ayat-ayat yang dibaca. Hiba dalam asyik. Sedikit sebanyak turut mengurangkan ketakutan.

(Pagi esoknya)

“Kau datang dari Malaysia bukan?” Abdul Hadi bertanya dengan penuh mesra. Dia baru keluar dari bilik Kapten Gerrard untuk rundingan mendapatkan wang tebusan yang masih berjalan. Wajahnya menampakkan keceriaan. Mungkin sudah menemui penyelesaian. Tuan punya ‘Syurga’ tentu lebih rela membayar wang tebusan dan kerugian lebih besar. Lagipun, wang itu boleh dituntut dari syarikat insuran.

Suhaimi mengangguk bangga walau masih mengantuk kerana tidak lena tidurnya. Setiap kali tertidur, dia bermimpi akan didera sebelum dibunuh oleh lanun. Tiap kali itu juga dia terbangun dan menangis. Bertaubat. Sungguh-sungguh bertaubat sehingga krew lain dalam bilik kecil itu tidak dapat tidur. Lucunya mereka yang mengaku atheis seperti Henry pun turut bertaubat.

“Saya pernah sekali berlabuh di Pelabuhan Klang. Tetapi tidak sempat melihat menara kembar tertinggi dunia. Memang negara yang hebat, rakyat yang peramah!”

Suhaimi semakin terasa tenang. Setenang Teluk Aden dalam gelora hati para tebusan. Abdul Hadi menunjukkan keramahan dan kemesraan, biarpun ahli kumpulannya tidak sebegitu. Mungkin mereka tidak fasih berbahasa Inggeris.

(Malamnya)

“Saya dulunya kelasi kapal. Mengikut kapal ke merata pelabuhan. Ada sekali dalam pelayaran melalui Teluk Aden, kapal itu membuang sisa-sisa toksid yang dibawa dari Eropah!”

Suhaimi terdiam mendengar Abdul Hadi memulakan sembang. Mereka baru sahaja bersolat isyak.

“Saya berhenti kerja dan menjadi pengawal pantai secara sukarela dalam satu kumpulan anak-anak Somali. Kami pulang untuk mempertahankan kedaulatan negara setelah kerajaan Somalia tidak ujud lagi sejak 1990. Dari kumpulan kecilan menghalau mana-mana kapal yang disyaki membuang toksid, bahan sisa nuklear dan menangkap ikan secara haram di perairan Somalia, kami menjadi kumpulan besar lanun profesional!”

Abdul Hadi terhenti. Melihat keliling. Semakin ramai krew dan penumpang yang berhimpun. Mendengar biografi seorang lanun.

“Kalian tahu dalam sejarah dunia, lanun adalah yang pertama berani untuk menentang kezaliman. Semua persepsi salah mengenai lanun adalah propaganda Barat. Lanun-lanun berasal dari kelasi yang ditindas majikan. Lanun-lanun juga yang banyak membebaskan para hamba abdi yang dibawa dari Afrika ke Amerika. Kami bukan teroris. Kami merompak mereka yang telah merompak kekayaan hasil bumi dan laut Somalia!”

Perbualan Abdul Hadi dan Suhaimi sudah bertukar ceramah diatas geladak tengah. Abdul Hadi membenarkan gambarnya diambil. Dia menjadi bintang. Bersama kerlipan bintang-bintang yang memenuhi langit saujana Teluk Aden. Diiringi angin lembut dalam cuaca nyaman.

Termasuk Kapten Gerrard yang nampak berminat mendengar. Sesuatu yang menambah pengetahuan. Dia kagum dengan cara Abdul Hadi berunding mengenai wang pampasan. Cukup tegas. Malah Abdul Hadi tahu banyak perkara mengenai perundangan serta strategi ketenteraan. Berjaya mematahkan percubaan tentera Perancis yang mahu menyerang kapal ‘Syurga’ dengan helah untuk menlengahkan pembayaran.

“Oleh kerana Somalia tidak mempunyai kerajaan dan sistem pertahanan, kapal-kapal dari Eropah bertahun-tahun mengeksploitasi hasil laut dan memusnahkan sumber pendapatan nelayan kami. Mencuri ikan-ikan perairan Somalia untuk hidangan restoran di London, Paris, Frankfurt dan sebagainya. Tiada peduli terhadap kebajikan dan kesempitan kami, hanya mengambil keuntungan dan tidak pernah mahu memberi bantuan kemanusiaan!”

Krew dan ramai penumpang, walau ramai masih bercampur tanggapan negatif, mula memahami situasi sebenar. Selama ini mereka hanya membaca media yang penuh dengan propaganda kerajaan Barat. Menyembunyikan kegiatan haram dan tidak bertamadun di Teluk Aden.

Memang Abdul Hadi bukan teroris, dia hanya lanun yang mahu menjadi wira. Mungkin caranya juga menyalahi undang-undang. Tetapi Somalia tiada kerajaan dan tiada undang-undang. Malah kapal-kapal yang melalui Teluk Aden juga tidak mengikut undang-undang maritim antarabangsa.

Dalam diam, Suhaimi sama terasa insaf dan baru celik hatinya diatas kapal ‘Syurga’ yang semakin menjadi madrasah sureal. Pelayaran kali yang ke 13 ini mengubah haluan kehidupan.

Seperti kata ustaz sekolahnya dahulu, hidayah itu dari Allah dan datangnya tidak kira tempat dan masa. Tidak juga kira dari siapa dan untuk siapa.

(Subuh berikutnya)

Kumpulan lanun Abdul Hadi telah lama pergi. Sebaik menerima wang tebusan yang dihantar melalui helikopter dari kapal tentera Perancis. Para krew dan penumpang sibuk berkemas. Kapal yang sama akan mengambil mereka sebelum diterbangkan ke Marseilles.

Suhaimi baru selesai solat. Termenung keseorangan di dapur. Kemudian teresak-esak. Segalanya menjadi adegan realiti yang bukan kebetulan. Bukan lagi realiti maya atau adegan mimpi lelaki bujang yang sudah berusia empatpuluhan.

Hati kecilnya berkata, mungkin doa dari aruah orang tuanya telah termakbul.

Dia bertekad mahu kembali ke pangkal jalan, jalan yang pernah menjadi laluan kehidupan seorang anak nelayan Laut China Selatan. Jalan yang lurus.

Dalam tergesa-gesa meredah malam dan Teluk Aden yang tiba-tiba bergelora, Abdul Hadi sempat menghulurkan segumpal matawang Euro dalam sakunya. Dengan bisikan yang masih bergema dan bertalu-talu mengisi ruang.

“Ambil sedekah ikhlas kami. Sebaiknya, segera pergi ke umrah dan pulanglah sebagai wira!”