Sunday, August 02, 2009

Pengalaman Paling Hampir Dengan ISA...Zulkifli Noordin

Sewaktu menjadi siswa di New Zealand, peringkat awalnya, sebagai remaja yang masih ditiupkan dengan semangat DEB yang diwar-warkan oleh BTN, saya rasa tidak begitu peduli dengan ISA dan lain-lain akta termasuk AUKU kerana tidak kena mengena dengan urusan seharian.

Sememangnya, begitu ignoran dan tidak mahu terlibat dengan apa sahaja yang berkaitan politik. Jarak yang jauh disamping lagu beracun 'anak kecil bermain api' mungkin masih kuat sebagai 'pendinding' yang dibekalkan oleh BTN sewaktu orientasi.

Begitupun, sebaik tindakan ganas kerajaan dalam tragedi Memali di mana pihak keselamatan membunuh Ibrahim Libya dengan kejam, semua itu memberi impak besar dalam ruang pemikiran. Saya kembali menyoal apakah perlu rakyat di sebuah kampung diperlakukan begitu? Walau agak terhad maklumat di kala itu, gambar-gambar yang saya lihat menambah keraguan terhadap tindakan kerajaan.

(Bertahun kemudian, saya menjadi rakan kepada adik arwah Ibrahim, yang juga kini arwah Ustaz Ismail Mahmud di TV3, arwah juga pernah ditahan dibawah ISA).

Saya menjadi kritikal kepada Mahathir walau terus tidak begitu ambil peduli mengenai politik, apalagi untuk menceburi politik sewaktu pulang ke tanahair. Politik itu membuang masa dan saya tidak banyak masa untuk dibuangkan. Ikut suka hati depa lah.

Sewaktu reformasi akhir 90han, kesedaran meluap timbul terhadap politik setelah terbangun dari tidur panjang apabila melihat kejelekan dan kebobrokan kerajaan di bawah Mahathir dan Umno, saya bergiat aktif.

Termasuk memberi ceramah di pentas PAS dan berkempen di kawasan pedalaman untuk Malaysia yang lebih baik, ke arah Malaysia tanpa kepimpinan korup Umno sebagai pemerintah.

Pada ketika reformasi, ancaman penangkapan dibawah ISA menjadi sesuatu yang rupanya terlalu hampir. Bukan kepada saya, tetapi sahabat baik sejak menjadi siswa di New Zealand, Zulkifli Noordin (yang kini YB).

Gambar dibawah diambil dalam tahun 1983, dari simpanan Noor Yahaya Hamzah.

Tidak mungkin saya lupakan detik-detik penahanan Zulkifli Noordin kerana mesej SMS terakhir yang saya terima memberitahu lokasi terakhir beliau. Untuk mengelakkan dikesan, beliau hanya menghantar SMS (walau mungkin teknologi boleh mengesan lokasi penghantar...) setiap berubah lokasi. Itu sahaja komunikasi selain percakapan biasa sekali-sekala.

Selepas itu tiada lagi kabar berita. Dari TV dan Internet disahkan Zulkifli Noordin ditahan dibawah ISA. Terus terputus hubungan untuk beberapa minggu berikutnya.

Baru-baru ini sempat kami berdua menjejak tempat beliau di tahan di bawah ISA....insiden yang berlaku lebih sepuluh tahun dahulu. Tentunya cerita dalam tahanan ISA menjadi pengalaman pahit buat mereka yang sudah terkena, apalagi buat ahli keluarga terdekat yang kehilangan sumber pendapatan dan terpisah tanpa mengetahui kedudukan sebenar.

ISA adalah ZALIM kerana penahanan tanpa bicara memberi kebebasan kepada pemerintah untuk melakukan apa sahaja. Cara menyoal tahanan dan penyiksaaan yang dilakukan diluar batasan agama dan kemanusiaan.

Berkali-kali ISA digunakan untuk tujuan politik semata-mata.

MANSUHKAN ISA dan BEBASKAN TAHANAN ISA yang tidak bersalah, hadapkan mereka ke mahkamah kalau ada bukti lengkap terhadap tuduhan ke atas mereka!

Gambar dibawah dari Asyraff Sharif....