Sunday, July 26, 2009

Cerpen - Transit

Dalam penerbangan pulang ke Dubai, terbaca cerpen sendiri, tersiar dalam majalah i bulan Julai 2009.

Transit

(Majalah i - Karangkraf bulan Julai 2009)

(1)

Sebuah lori simen rosak di lebuhraya Al Khail dan menyebabkan kesesakan trafik. Kesesakan trafik di Dubai sudah menjadi rutin. Dengan adanya sistem tol canggih di Jalan Sheikh Zayed, kesesakan semakin bertambah teruk di jalan-jalan pinggiran yang digunakan sebagai jalan alternatif. Ramai yang cuba mengelak dari membayar tol yang mahal.
Kesesakan trafik membuatkan Idham lewat untuk tiba di pejabat yang terletak di Zon Dagangan Bebas Jabel Ali. Kelewatan juga bukan perkara luar biasa dan kesesakan trafik menjadi alasan paling popular untuk datang lewat ke pejabat.
Tetapi kelewatan di hari pertama bulan Julai seakan satu kebetulan yang disengajakan.
“Siapa yang tukar nama di pintu bilik saya?”
Suara Idham agak kuat merentas ruang pejabat. Sudahlah dia sedikit lewat dan kini biliknya pula sudah bertukar tuan. Memang perkara ini cukup sensitif buat seseorang yang dalam keadaannya sekarang.
Terpinga-pinga Wayne yang segera keluar dari pejabat ‘baru’nya. Hari itu hari pertama Wayne yang kini menggantikan Idham sebagai pengarah perhubungan awam.
“Maaf, saya tidak pasti, bila saya tiba awal pagi tadi, terus dibawa ke bilik ini!” Wayne bercakap perlahan dalam cuba menteteramkan Idham. Memang Wayne tidak kena mengena dalam hal ini. Ada tangan-tangan ghaib dibelakang insiden ini.
Kemudian datang pengurus fasiliti, John yang nampak serba salah. Juga bukan yang disyaki sebagai punca tindakan. John tidak mungkin berbuat demikian tanpa arahan mereka yang lebih atas.
“Maaf, bos. Ada sedikit kesilapan!” John cuba menerangkan apa yang terjadi kepada Idham, tetapi Idham menyinga. Selama lima tahun juga, John yang kadang-kala memandang rendah kepada mereka yang datang dari bekas tanah jajahan negaranya, tidak pernah memanggil Idham sebagai ‘Bos’, selain nama sahaja.
“Bos? Siapa bos? Saya bukan lagi bos kamu!”
Lantang suara Idham dengan carutan, seakan mencurahkan apa yang terbuku. Memuntahkan sisa-sisa profesionalism yang tertinggal dalam diri.
Dia bukan lagi Idham yang pernah mempunyai kuasa penuh dalam divisyen selama lima tahun lalu. Kini dia tiada kuasa, hanya menumpang pejabatnya sendiri sementara memindahkan tugasan kepada Wayne.
Bukan perkara yang melucukan buat dia yang kini kehilangan kerja sebagai bos, kehilangan kuasa, kehilangan karier. Lebih menggelodak hati apabila penggantinya telah mengambil alih bukan sahaja jawatan, tetapi juga biliknya di kala dia masih mempunyai masa selama sebulan untuk menghabiskan tempoh kontrak!

(2)

Berpindah rumah bukan perkara mudah dan ringkas. Walau sekadar berkemas dan mengheret bagasi. Sukar apabila emosi dan memori sentimental menguasai suasana.
Idham sekeluarga memang keberatan sekali untuk berpindah. Apartment luas dengan empat bilik di tengah-tengah Bur Dubai sudah menjadi rumah pertama. Tetapi apartment itu milik syarikat, habis kontrak bermakna kena berpindah keluar. Segala perabut, peralatan dan perkakasan kepunyaan syarikat.
Pengganti beliau, Wayne dan keluarga pula akan berpindah masuk.
“Kalian balik ke Malaysia cuti musim panas, sementara Ayah cari kerja lain di Dubai, ada tiga bulan sebelum sekolah bermula!”
Setelah lima tahun bersekolah di Dubai dengan kawan-kawan sebaya yang sama membesar memang tidak mudah dilakukan. Terutama buat Johari, anak sulung berusia enam belas tahun yang sudah mempunyai seorang teman istimewa. Cinta monyet yang menambahkan keberatan perasaan remaja untuk berpindah.
Idham sekeluarga tidak bersedia untuk menghadapi perubahan mendadak sebegini. Tidak mudah juga dalam tergesa-gesa mencari kerjaya baru yang setimpal dengan apa yang didapati sekarang.
Pertumbuhan ekonomi Dubai memang sedang memuncak. Tetapi tidak mudah untuk mendapat ganjaran yang lebih baik kerana pasaran pekerja juga dilanda kemasukan ekspatriat yang semakin bertambah. Yang ramai datang bukan sahaja dari negara-negara dunia ketiga, malah negara maju dan membuatkan pasaran tidak menentu. Ramai seakan terdesak untuk menerima apa saja ganjaran, asalkan dapat bekerja dan tinggal di Dubai. Biarpun inflasi dan kos sara hidup juga terus meningkat.
“Bagaimana kalau Ayah tidak dapat kerja baru?”
Pertanyaan Anum, anak kedua itu juga bermain di fikiran Idham. Apakah pilihan yang ada?
Dia telah mencuba mencari kerja baru sejak sebulan lalu sama ada melalui online, rangkaian kenalan dan iklan akhbar, sejak diberitahu kontraknya tidak diperbaharui dan penggantinya telah dipilih. Seorang calun dari eropah yang dikatakan mempunyai kelayakan dan pengalaman global. Walau realitinya tidak banyak berbeda dengan Idham. Cuma mungkin berbeda warna kulit dan warna paspot.
Tugasnya selama lima tahun bertungkus-lumus memajukan syarikat sudah memadai, selesai, khalas dan syarikat berterima kasih dengan apa yang dicurahkan. Peranan Idham tiada dalam perancangan apabila pemegang saham baru mengambil alih syarikat.
Tiada apa yang boleh dibincangkan kerana dalam kontrak tertulis klausa sedemikian. Kejam atau tidak, itulah realiti korporat. Pemegang saham baru tidak wajib memikirkan dan peduli tentang nasib Idham dan keluarga. Tentunya pemegang saham tersebut mempunyai perancangan lain yang lebih baik untuk kebaikan syarikat tanpa Idham.
Makan malam terakhir di apartmen itu memang tidak menyelerakan. Masakan kegemaran yang dipesan dari restoran popular milik warga Kerala sejak lima tahun lalu juga tidak terasa lazat seperti selalu.
“Rasanya kita kena balik Malaysia dan tidak balik-balik ke Dubai lagi” Johari melontarkan kegusaran. Dia tidak menyentuh beriyani kambing kegemarannya.
Masing-masing berpandangan dalam kejanggalan. Ruang yang selama ini meriah dengan pelbagai peristiwa, karenah dan insiden sebuah keluarga ekspatriat tiba-tiba begitu asing.
Dan malam yang berlabuh seakan sama melabuhkan harapan di hamparan Teluk Arab.

(3)

Kaunter bank cawangan Karama begitu sibuk di hari terakhir sebelum hujung minggu. Apalagi akhir bulan dan Idham terpaksa beratur panjang.
Setelah keluar apartmen dan memulangkan komputer riba, tidak lagi dapat berurusan secara on-line. Idham tidak suka sekali untuk beratur dan menanti, baginya membuang masa. Sebab itu dia menunggu saat terakhir untuk menutup akaun sebaik urusan pembatalan visa kerja selesai.
Dalam melihat jarum jam di dinding bank yang seakan perlahan bergerak, tiba-tiba dia teringat seorang guru sekolahnya dahulu pernah menasihati.
“Setiap manusia tidak boleh lari dari menanti! Ibubapa menanti sembilan bulan sebelum kelahiran bayi. Bayi pula menanti bertahun-tahun untuk menjadi dewasa. Kemudian kita terus menanti dalam banyak perkara, menanti keputusan peperiksaan, menanti jawaban ke universiti, menanti konvokesyen, menanti tawaran kerja......!”
Dia juga terus menanti, menanti untuk berurusan di kaunter bank dan lebih dari itu, menanti tawaran kerja baru. Sesuatu yang semakin merimaskan. Berulang ke interviu dan berulang berharap. Setiap saat adalah harapan yang datang dan pergi. Masih berharap dalam penantian.
Penantian sesungguhnya satu penyeksaan. Dia tidak pernah mempunyai pengalaman menanti sebegini. Ssejak keluar dari universiti, kerja yang terus menanti beliau. Dia telah dua puluh lima tahun bekerja dan enam kali bertukar syarikat dan pangkat. CV dan biodata cukup hebat. Ada pengalaman dari syarikat gergasi tempatan ke multi-nasional. Dari eksekutif biasa ke peringkat pengarah. Dari asia tenggara ke eropah dan terakhir di timur tengah.
“Kamu mungkin terlebih kelayakan untuk jawatan yang ada!”
“Kami lebih berminat mereka yang berusia tidak melebih 45 tahun!”
“Pakej yang diminta melebih pakej yang ingin kami tawarkan!”
“Kami memerlukan calun yang fasih berbahasa Arab!”
“Jawatan ini untuk mereka yang datang dari negara Barat sahaja!”
“Calun-calun lain mempunyai MBA!”
Setiap alasan yang diberi mungkin sekadar alasan, tetapi realitinya, setelah hampir sebulan, Idham masih sahaja dalam terumbang-ambing. Bersama dilema yang memberi tekanan. Dengan usia yang semakin meningkat, menjadi penganggur bukanlah satu pilihan.Wang simpanan yang ada mungkin sekadar cukup untuk dua tiga tahun. Apalagi anak-anak akan masuk universiti. Perbelanjaan semakin besar dan hutang banglo kedua yang baru dibeli juga mengusut belanjawan.
“Maaf, semua kaunter terpaksa ditutup !”
Tiba-tiba seorang pengawal membuat pengumuman apabila Idham mula melangkah ke kaunter yang kosong.
“Sistem komputer kami mengalami sedikit gangguan kerana ada kerosakan dan tiada urusan bank boleh dilakukan. Kena datang minggu depan!”
Ketika itu Idham mahu sahaja menjerit dan mencekup baju pengawal. Tetapi sempat menahan diri dengan beristighfar. Salah satu kelemahannya ialah cepat bertindak melulu, mungkin itu sebab utama kontraknya tidak dilanjutkan. Kurang kesabaran walau dia sering mendengar yang kesabaran itu separuh dari iman.
Segera Idham ke kaunter walau pengawal cuba menahan dari meneruskan langkah.
Dia perlu menutup akaunnya hari itu, hari terakhir dia berada di Dubai.

(4)

“Bagaimana pengalaman transit di Colombo? Adakah merasa kebahagian di tengah-tengah kehijauan sewaktu pemanasan global begitu runcing?”
Hasan bertanya sambil menghirup teh segar dari ladang. Soalan yang sebetulnya masih menghambat kesedaran Idham. Mungkin satu takdir yang menentukan hala tuju kehidupan di luar ekspektasi. Kalau tidak kerana dia terlambat menutup akaun bank kerana kerosakan komputer, diikuti semua penerbangan ke Kuala Lumpur telah penuh dan terpaksa menukar penerbangan lain melalui Colombo, dia mungkin tidak akan pernah menjejaki bumi Sri Lanka.
Idham tersenyum memandang Hasan yang berbangga sebagai Melayu Sri Lanka. Salahsilah dari Tanah Melayu, generasi ke lima. Bercakap Melayu yang sudah bercampur-campur tetapi tetap berbanga dengan keturunannya yang dikatakan berjumlah 60,000 serata pulau Sri Lanka.
Mereka berkenalan sewaktu menanti penerbangan di terminal Dubai dan Hasan mengajak kawan baru yang seakan kehilangan arah ke pergunungan di Kandy. Sesuatu yang juga tidak mungkin terjadi sekiranya urutan peristiwa sejak kontrak kerjanya tidak ditamatkan.
“Memang benar yang kamu katakan, kebahagian itu adalah sesuatu yang subjektif, bergantung kepada pilihan dan citarasa individu atau masyarakat!” Idham berkata perlahan merenung saujana kehijauan ladang teh. Sesekali memandang henfon kalau-kalau ada panggilan mengenai tawaran kerja. Masih berharap sesuatu akan berlaku untuk mengubah penantian.
“Di Norway yang dianggap negara maju, rakyat di sana mempunyai ekspektasi yang rendah seperti di negara dunia ketiga, lalu mereka bahagia dan gembira dengan apa yang ada, walau cukai pendapatan yang tinggi tetapi kehidupan mereka terjaga. Manakala kamu tahu di Dubai, ekspektasi kebanyak ekspatriat adalah tinggi, kerana itu walau jauh lebih mewah dari negara sendiri dengan ratusan ribu bertaraf jutawan, mereka terus tidak merasa bahagia!”
Sambil melihat keliling ladang, Hasan memanggil beberapa pekerja berhampiran untuk makan tengahari bersama di kawasan luar rumah. Ladang teh kepunyaannya itu baru dibeli hasil dari berniaga perlatan telekomunikasi di Dubai. Satu pelaburan yang lebih bersifat nilai sentimental kerana moyang, datuk, nenek, ayah ibunya pernah menjadi pekerja di situ. Kini dia memiliki ladang yang panjang sejarahnya. Pekerja-pekerja adalah mereka yang pernah mengharung kehidupan bersama dan sebagai kawan-kawan.
“Kebajikan bermula dari rumah. Dengan modal yang ada, saya membeli ladang ini dari mereka yang pernah menjajah, yang pernah menindas dan kembalikan maruah kepada anak-anak tempatan. Apa lagi yang lebih baik, selain memberi kehidupan lebih baik buat keluarga dan kawan-kawan yang hidup matinya di sini, berjuang sebagai peladang teh!”
Suara Hasan begitu menusuk dan bergema dibawa angin ke lurah.
“Sri Lanka dan Malaysia mempunyai sejarah penjajahan yang hampir serupa tetapi Malaysia jauh lebih ke depan walau Sri Lanka lebih lama merdeka. Kekacauan etnik, sengketa politik dan tragedi alam yang berlanjutan juga menghantui kami, tetapi bukan alasan untuk tidak terus mencuba bagi kami yang minoriti!”
Mendengar kata-kata Hasan dan melihat wajah-wajah pekerja yang nampak bahagia dilayan sebegitu baik oleh Hasan, Idham sama merenung jauh dalam dirinya.
Sememangnya Idham merasa cukup bahagia dengan apa yang pernah ada. Bahagia bersama keluarga di perantauan. Ganjaran besar dengan segala kemudahan diberikan.
Boleh dianggap bahagia dengan pekerjaan kerana nilai ganjaran. Tetapi kebahagian itu ternyata superfisial, sekadar diukur dari segi pendapatan dan material, bukan dari segi rohani. Hubungan sesama rakan kerja sekadar hubungan rasmi pejabat. Tiada kemesraan.
Selama itu juga dia tidak pernah membalas budi pada mereka di tanahair yang mungkin telah mengorbankan apa sahaja sebelum dia berjaya sebagai graduan luar negara. Tidak juga selepas menjadi ekspatriat di beberapa benua, biar untuk bersedekah di masjid atau membayar zakat kepada pihak berkenaan. Malah keluarganya sendiri jarang di hubungi, takut-takut kalau diminta pertolongan.
Dia kini bertaraf penganggur, pertamakali sejak dua puluh lima tahun dan masih tercari-cari pekerjaan dengan ganjaran yang besar. Ganjaran yang selama ini menjadi sebahagian dari kehidupan ekspatriat di perantauan. Dia merasakan tidak mungkin bahagia dengan ganjaran yang kurang dari yang pernah diterima sebelumnya. Malah dia tidak mungkin mendapat ganjaran yang sama besar di tanahair dan tentunya tidak mungkin bahagia untuk pulang bekerja di tanahair sendiri.
“Peluang ada di mana-mana. Kita perlu menganjak pradigma dan melihat dari luar tempurung serta luar kepompong yang mungkin terlalu sempit, kolot dan bukan lagi zon selamat. Cabaran dan risiko sentiasa ada dalam kehidupan, jangan bimbang untuk berdepan dengan musibah, ada rahmat disebalik penggangguran sementara ini!”
Hasan meneruskan kata-kata sambil mengunyah nasi berlaukan ketam pedas. Pekerja-pekerjanya nampak berselera untuk makan dengan bos besar yang juga sebahagian dari ahli keluarga perladangan teh.
“Kamu kena ambil masa untuk mengkaji balik fokus kehidupan dan prioriti selanjutnya. Bagus untuk bercuti sebulan dua, bawa keluarga ke Sri Lanka, kalau tidak ada idea, mungkin ada rezeki baru di sini, seperti nenek moyang saya dahulu berhijrah kerana keadaan dan keadaan negatif bukan penghalang untuk perubahan!”
Idham menggangguk. Cadangan baik untuk membawa keluarga bercuti di Sri Lanka setelah hampir menjelajah seluruh negara maju, kata orang tak kenal maka tak cinta.
“Kalau berminat, dengan pertambahan pelancung dari timur tengah boleh juga kita jadi rakan kongsi untuk mengembangkan pelancungan-eko di pergunungan ini!”
Idham tersedak. Bukan kerana kepedasan lauk, tetapi kata-kata Hasan itu menembus tempurung mindanya yang mula dirangsang kesegaran angin pergunungan Sri Lanka. Merangsang setiap peraliran darah lelaki yang berusia lima puluh tahun.
Apakah ini mungkin satu destini buat seorang penganggur tua yang tiba-tiba terangsang kebahagian dari dalam, dan bukan lagi satu transit fizikal seorang ekspatriat?
- Tamat -