Monday, July 13, 2009

Kejayaan Orang Aceh dalam bisnes di Kuala Lumpur

Sepanjang bercuti, kerap juga saya mengunjungi kawasan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Jalan Masjid India (JMI) atas urusan peribadi, seperti bertemu kawan-kawan.

Sememangnya banyak juga perubahan di sekitar kawasan membeli-belah yang popular dan sibuk itu. Perubahan yang memberi inspirasi buat saya dalam mengenal liku-liku kehidupan di Kuala Lumpur.

Paling menarik apabila saya dibertahu yang banyak kedai-kedai di Jalan TAR, terutama kedai-kedai tekstil dan pakaian wanita (tudung, baju dll) berhampiran Coliseum ke mahkamah dikuasai oleh peniaga-peniaga Aceh.

Menarik kerana mereka berjaya bukan sahaja melebarkan empayar bisnes dalam persaingan hebat, malah memberi tamparan hebat kepada peniaga dari kalangan bangsa Cina dan India (Mamak).

Menurut seorang peguam, dia pernah membuat kontrak pembelian sebuah bangunan di Jalan TAR tersebut yang berharga RM13 juta. Dibeli oleh peniaga Aceh daripada peniaga Cina dengan TUNAI.

Hasil penjualan sesebuah kedai kecil/gerai boleh mencecah antara RM80 - RM100 ribu sebulan! Bisnes dari volume dan margin yang rendah. Permintaan dan pasaran masih tinggi.

Network peniaga Aceh selain cara mereka saling membantu mencepatkan mereka berkembang. Kedai-kedai tersebut mempunyai ruang-ruang kecil yang diberi kepada peniaga-peniaga kecil Aceh yang lain dan dari hasil perniagaan, peniaga-peniaga kecil itu berkembang di kawasan lain.

Tiada bantuan dari kerajaan dan bank. Semuanya hasil dari kerja kuat dan strategi bisnes yang boleh dibukukan sebagai panduan kepada peniaga-peniaga Melayu.

Malah saya sempat bertemu para pekerja, anak-anak Melayu yang makan gaji dengan peniaga-peniaga Aceh ini. Begitulah realiti semasa yang sepatutnya memberi dorongan dan inspirasi kepada anak-anak Melayu yang peluang perniagaan adalah terbuka selagi sanggup bersaing dan bekerja keras.

Lebih hebat, peniaga-peniaga Aceh ini juga sama memberi peluang kepada anak-anak muda Melayu untuk berniaga melalui 'skim' yang diberikan kepada orang-orang Aceh lain. Termasuk bantuan wang dan bekalan tekstil dsbnya.

Lantas, orang Melayu yang kini bising-bising menyalahkan peniaga-peniaga Aceh mesti belajar untuk bersaing dalam pasaran terbuka. Jangan berhasad dengki dan menjatuhkan orang Aceh yang mengambil peluang sebaiknya dalam dunia bisnes!

"Empayar Aceh di Malaysia, Warga Aceh kuasai bisnes"

Warga Aceh kuasai bisnes
Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Warga Indonesia terutama dari Aceh kini dikatakan hidup mewah melalui penguasaan perniagaan runcit dan kedai gunting rambut di merata ceruk, terutama di kawasan taman perumahan dan kampung di negara ini.

Walaupun pada awalnya hanya menumpang kedai milik rakyat tempatan, mereka yang bijak meresapi budaya masyarakat tempatan membina koloni menerusi perniagaan runcit sehingga akhirnya warga tempatan terpaksa gulung tikar kerana tidak dapat menyaingi pendatang itu.

Kewujudan koloni Aceh yang asalnya bertumpu di sekitar ibu negara, kini dikatakan menjalar ke seluruh negara sehingga kawasan terpencil di Pantai Timur, Utara dan Selatan Semenanjung.

Mereka dipercayai disokong pakatan sekaum yang berhijrah lebih awal ke negara ini.

Tinjauan Harian Metro ke beberapa kawasan di Gombak, terutama di Sungai Tua, Kampung Changkat, Taman Kamariah, Batu 5 Gombak serta sekitar Taman Kosas, Ampang dan Kampung Cheras Baru, mendapati kebanyakan kedai runcit didominasi masyarakat berkenaan.

Selain itu, kebanyakan kedai milik warga Aceh menyediakan kemudahan warung telefon (Wartel) untuk memudahkan pendatang asing membuat panggilan ke luar negara, sekali gus menarik lebih ramai pelanggan.

Kebanyakan penduduk tempatan yang ditemui keliru dengan status rakyat Aceh terbabit kerana kebanyakan mereka seolah-olah mahu terus menjadi warga Malaysia.

Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Din, berkata ada di kalangan rakyat Aceh memperoleh kad pengenalan sementara dan mendapat status penduduk tetap, manakala anak mereka yang dilahirkan di negara ini secara automatik mendapat kewarganegaraan.

Mereka juga kurang bergaul dengan penduduk setempat dan suka berkumpul sesama mereka di kedai kopi.

Walaupun setakat ini tidak berlaku perbalahan antara masyarakat tempatan dengan warga Aceh, perasaan curiga tetap timbul terutama apabila mereka berkumpul beramai-ramai dan berbual menggunakan bahasa tidak difahami.

Kebanyakan kedai di sini dimonopoli orang Aceh. Penduduk tempatan kini bergantung kepada mereka untuk mendapatkan barang keperluan harian, katanya ketika ditemui di Sungai Chua di sini, baru-baru ini.

Difahamkan, kebanyakan warga Aceh yang melarikan diri ke negara ini, diberi status pelarian oleh Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Orang Pelarian (UNHCR) berikutan pergolakan dan perang saudara di kampung halaman mereka membabitkan Gerakan Aceh Merdeka (GAM) dengan Tentera Nasional Indonesia (TNI).

Atas dasar perikemanusiaan, golongan ini akhirnya diterima menjadi pelarian UNHCR dan dibenarkan menetap di negara ini buat sementara.

Bagaimanapun, kini tiada tanda mereka akan kembali ke negara asal selepas berjaya dalam bidang perniagaan.

Pemborong sayur-sayuran, Samsuri Abdullah, 47, tidak menyalahkan warga Aceh untuk hidup mewah tetapi kesal dengan sikap segelintir penduduk tempatan yang menyewakan kedai kepada golongan terbabit semata-mata mahu mendapatkan keuntungan cepat.

Apa yang saya tahu, sewa yang dikenakan pemilik kedai biasanya berbeza dengan penduduk luar. Contohnya, bagi penduduk tempatan biasanya dikenakan sewa RM1,000 sebulan, tetapi bukan warganegara, cuma RM500 selain diberikan kontrak untuk tempoh 20 tahun.

Mereka (masyarakat Aceh) juga didapati lebih suka berniaga daripada menjadi buruh binaan mungkin sebab mereka mahu tinggal lama di negara ini, katanya.

Sanggup bayar mahal
Oleh: Zainal Zawawi Mohamed
zzawawi@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Kebanyakan warga Aceh yang dikatakan yang menjalankan perniagaan di sekitar ibu kota dikesan sanggup membayar sewa premis yang tinggi semata-mata untuk mendapatkan kedai untuk berniaga, termasuk lesennya.

Mereka menggunakan taktik berkongsi dengan mana-mana penduduk
tempatan untuk membuka kedai runcit bagi mencari modal sebelum mengambil alih perniagaan itu.

Semangat kedaerahan juga menyebabkan perniagaan yang dijalankan warga
Aceh ini berkembang kerana masyarakat itu hanya mengunjungi premis perniagaan yang dijalankan masyarakat mereka.

Tinjauan Harian Metro di sekitar Flet di Ukay Perdana mendapati, dua
blok flet berkenaan dipenuhi warga Aceh termasuk yang memiliki rumah sendiri.

Di bawah flet berkenaan terdapat kira-kira 10 premis perniagaan pelbagai jenis dan difahamkan hanya satu daripadanya masih menjadi milik rakyat negara ini. Beberapa penduduk memberitahu Harian Metro, warga Aceh itu sebelum ini tinggal di kawasan setinggan berhampiran dan mula bertapak di situ sejak lima tahun lalu apabila kediaman mereka dirobohkan.

Bagaimanapun, menurut mereka, warga Aceh yang pada mulanya hanya
sebilangan kecil dan menjadi rakan kongsi kepada peniaga tempatan termasuk bekerja dengan peniaga tempatan kini sudahmengambil alih dan menjalankan perniagaan sendiri.

Sembilan kedai yang diambil alih oleh warga Aceh di kawasan itu ialah
gerai makan, kedai telefon bimbit dan kedai runcit selepas peniaga tempatan dikatakan gagal menjalankan operasinya berikutan tidak mendapat sambutan.

Ada segelintir rakyat tempatan yang juga pemilik premis di kawasan
itu sanggup menaikkan sewa lebih tinggi semata-mata untuk warga Aceh kerana mereka sanggup membayarnya.

Tinjauan juga mendapati, warga Acheh tidak akan membeli barangan
keperluan atau makan di gerai rakyat tempatan dan hanya menumpu perhatian di gerai yang dikendalikan masyarakat mereka saja.

Setakat ini, warga Aceh sudah menguasai empat kawasan untuk menjalankan perniagaan antaranya ialah pasar Chow kit, Sekitar Ukay Perdana, Pandan Mewah dan kawasan Gombak.

Tinjauan juga mendapati warga Aceh paling gemar menjalankan perniagaan kedai runcit berbanding perniagaan lain.


Lain-lain yang berkaitan di sini.