Membaca artikel Potensi beli senjata China tulisan Herman Hamid, kita dapat mamahami yang kerajaan sedang merancang untuk membeli senjata dari China, sebuah negara komunis yang menyokong perjuangan Chin Peng.
Mungkin seseorang sedang berusaha untuk mendapat habuan komisen lumayan seperti Razak Baginda, dan siapakah 'penterjemah' yang di gunakan dalam perundingan? Herman memetik kata-kata penganalisis pertahanan bernama Datuk Muhammad Hamzah.....
Menarik bila Herman mengatakan, tidak menghairankan kerana hubungan dagang antara kerajaan Melayu silam dengan China terjalin beratus tahun lalu khususnya pada era Kesultanan Melayu Melaka.
Justeru ramai yang melihat, sudah sewajarnya hubungan dagang ini memasuki satu era baru dengan tidak lagi hanya terikat dengan produk tradisi sebaliknya mula mengimport kelengkapan pertahanan dari China.

Petikan:-
Antara keperluan semasa bagi Malaysia ketika ini ialah sistem pertahanan udara jarak sederhana melibatkan peluru berpandu anti pesawat untuk melindungi aset strategik negara seperti pangkalan udara.
China dalam hal ini menawarkan pakej sangat kompetitif berbanding tiga negara pengeluar lain melalui KS-1A MSAM mereka yang mampu melancarkan peluru berpandu sejauh 60 kilometer.
Katanya, harganya juga lebih murah kira-kira 20 peratus selain pakej penyelenggaraan yang rendah manakala negara pengeluar lain tidak mampu mencecah jarak sejauh itu.
''Sebenarnya persetujuan secara prinsipnya telah dilakukan antara Malaysia dan China pada tahun 2004 hasil lawatan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi ke China namun ia masih belum dimuktamadkan.
''Persetujuan itu akan melibatkan perpindahan teknologi untuk FN-6 yang telah dibeli Malaysia dan ia tawaran menarik berbanding negara pengeluar lain yang agak lokek dengan perpindahan teknologi,'' ujarnya.
Bagi Muhammad, pembelian senjata dari China adalah satu agenda baik untuk dipertimbangkan kerajaan atas pelbagai faktor sama ada teknikal, kewangan, perpindahan tekonologi, politik mahu pun strategik.
''Sebenarnya pegawai tertinggi pertahanan Malaysia telah didedahkan dengan industri pertahanan China sejak dua dekad lalu. Banyak lawatan dilakukan dan mereka melihat sendiri kemampuan senjata China dari siri ujian.
''Saya percaya selain KS-1A, Malaysia juga boleh mendapatkan aset lain yang masih diperlukan seperti jet latihan dan kapal laut yang pada saya ia cukup berbaloi dengan wang yang dibelanjakan,'' ujarnya.
Sejarah menunjukkan China berbeza dengan Barat yang sentiasa cuba menjadi kuasa imperialis untuk mengawal apa yang dilihat penting untuk mereka.
Malah rekod hubungan China dengan negara dunia ketiga, negara Islam serta Asia yang lain cukup menunjukkan satu suasana keselesaan untuk Malaysia meningkatkan pembelian aset pertahanan dari negara itu.
Maka pembelian kelengkapan pertahanan dari China adalah satu pilihan yang dilihat sebagai amat strategik untuk Malaysia selain efektif daripada segi kos.