Tuesday, December 01, 2009

Ego Sebutir Pasir

(Mingguan Malaysia 6 Disember 2009)

gurun sayup berkelipan
dari gerak sang pemimpi
melebar denyut nadi kapitalis
gah membina struktur dan ikon
sebagai perhiasan kemilau
peradaban kaca, batu-bata
megalomania menjerat ruang
bersama keringat pendatang
menghujan kemewahan
diantara nestapa yang bertimbun
sebagai sampah di lorong belakang
kehidupan kosmopolitan

gurun subur menghijau
tasik dan sungai merentas
ke laut pun tumbuh
pulau-pulau katarsis
perlambangan pembangunan fizikal
tiada perbandingan nilai
gah mencakar langit
dalam kehidupan superfisial
ilusi pun melakar sejarah

kilat menyambar gurun fatamorgana
tiba-tiba ego sebutir pasir
berderai terhempap ke bumi
walau sayap terbang tinggi
terkandas kaki di permukaan
di tarik lanskap realiti
graviti pasaran terbuka
yang tidak kenal darjat
dan tidak peduli maruah
pada estetika yang mencalar
warna-warna kabilah!

Fudzail
Dubai, UAE
1 Dis 2009

http://alltomjojje.se/wp-content/uploads/2009/07/burj-dubai-building.jpg

No comments: