Tuesday, September 29, 2009

Pelabuhan Lain

Wellington Harbor


Pada setiap persimpangan
terhimpun segala kemungkinan
timur barat utara selatan
sekadar satu dari pilihan
menjejak pahit manis perjalanan
merungkai hayat kehidupan

Memandang segar ke belakang
seribu peristiwa berbalam
hitam putih secantik lukisan
di paparan usia dan ruang
tiada kesalan, hanya kenangan
meniti suram tembok perasaan

Nun jauh indah di hadapan
anak-anak terus berlarian
mengejar kembara harapan
meriah mengisi kepelbagaian
doa teriring, bermainlah kalian
di muka bumi tanpa sempadan

Telah singgah di merata pelabuhan
masih berakar di kampung halaman
kebebasan menongkah pelayaran
bernafas merayakan kemerdekaan
jatuh bangun satu perjuangan
dalam saujana kesementaraan

Kita hanya perantau
tidak lagi mengejar neon berkilau
di gurun atau bukit bukau
pun timbul batu sebagai pulau
kerana realiti yang pasti
terus hidup sebelum mati!

Fudzail
Lambton Quay, Wellington
29 september

No comments: