Saturday, July 04, 2009

Menara Dari Jerangkung

Menara dari lumpur
bercampur minyak
kembarnya mencakar langit
perlambangan hebat
ego pembangunan jasmani
melebar semangat komersil
yang tepu dikitar semula
Malaysia boleh!

Menara dengan kerlipan neon
menongkah malam
sebagai jerangkung hitam
tahun-tahun megalomania
kemajuan dari sumber alam
yang tidak rata dan saksama
pengagihan nilai!

Menara tegak sebagai tugu
bagai pusara seribu slogan
rakaman sejarah superfisial
untuk generasi pribumi
menjadi saksi di kaki lima
kita sekadar majoriti
angka-angka tanpa erti
untuk statistik ekonomi
mainan elitis keparat

Dan di bawah menara
aku dan anak-anak
menjadi pelancung yang terlupa
tanahair ini rupanya
sekadar tempat bercuti
sesekali menginsafi
tentang nasib dan rezeki
bukan dari janji-janji
manifesto satu parti
yang berulang kali
mengkhianati dan memungkiri!

Fudzail
KLCC,
Khamis 1 Julai 2009

No comments: