Thursday, April 16, 2009

RTM - milik dan untuk rakyat Malaysia!


BERBANDING dengan stesen lain, Radio Televisyen Malaysia (RTM) memainkan peranan yang sangat penting sebagai `suara kerajaan' dan menyampaikan informasi kepada masyarakat selaras dengan fungsinya sebagai stesen nasional.

Datuk Tiger

Mungkin belum terlewat untuk mengucapkan selamat bertugas sebagai kepada Ketua Pengarah RTM yang baru. Sebagai salah seorang yang pernah bersama di TV3 satu ketika dahulu, perlantikan ini memang dibanggakan.


Ada banyak perkara mengenai RTM yang sejak dahulu lagi tidak pernah mencapai prestasi memuaskan. Dengan kehadiran syarikat penyiaran swasta seperti TV3 dan Astro, RTM menjadi pilihan terakhir dalam banyak program untuk penonton.


Saya telah meninggalkan tanahair sejak tahun 2000 dan jarang sekali berkesempatan untuk menonton apa-apa siaran TV dan radio Malaysia walaupun pulang bercuti. Bukan sahaja kerana tiada masa, tetapi sudah menyampah dan muak dengan propaganda murahan berlebihan, terlalu komersil serta kejumudan pemikiran bawah tempurung mereka yang mengendalikannya.


Begitupun, selama berada di Dubai saya pernah terlibat dengan penubuhan Dubai Media City, serta pemindahan stesen penyiaran besar Arab, Middle East Broadcasting Corporation (MBC) dari London ke Dubai, selain penubuhan Samacom, teleport atau stesen bumi untuk khidmat satelit kebanyakan stesen penyiaran di Dubai Media City, termasuk CNN dan Reuters.


Pengalaman ini membuka ruang minda mengenai keterbukaan media dan kesungguhan kerajaan Dubai dalam mengubah persepsi media tempatan yang selama ini sekadar ejen propaganda seperti RTM yang masih berjenama begitu sehingga kini.


Selain itu, saya melihat transformasi hebat sebuah stesen TV kerajaan Dubai, dubaitv dari sebuah stesen kampung seperti RTM kepada bertaraf antarabangsa, walau masih tidak sepenuhnya bebas dari propaganda, tetapi cuba me’rakyat’kan program mengikut acuan kosmopolitan Dubai.

Kerana itu, Datuk semestinya menjadikan RTM sebagai ‘suara rakyat marhaen’ bukan ‘suara kerajaan BN’ seperti yang Datuk perkatakan dalam akhbar Metro.


Kita mungkin berlainan fahaman politik, sesuatu yang biasa dalam demokrasi. Tetapi paling utamanya, RTM adalah milik rakyat Malaysia, bukan kerajaan BN atau UMNO semata-mata. Tidak seperti Media Prima dan Utusan yang dikuasai oleh UMNO sepenuhnya, RTM hakikatnya dimiliki oleh setiap rakyat Malaysia, biarpun kalau satu hari nanti ‘kerajaan’ hari ini bertukar tangan.


Peruntukan perbelanjaan, pembelian peralatan canggih termasuk gaji saraan, elaun petugas RTM adalah dari kantung rakyat Malaysia tidak kira fahaman politik mereka. Pendapatan melalui cukai kerajaan menanggung kos operasi RTM seperti agensi ‘rakyat’ yang lain.


Tentunya Datuk mempunyai misi dan visi untuk mengubah RTM ke arah yang lebih baik untuk rakyat Malaysia, bukan untuk kerajaan BN semata-mata. Kalau PM baru sendiri membawa mesej ‘rakyat didahulu’kan dalam misi Satu Malaysia, maka RTM sendiri juga, yang menjadi milik rakyat mesti mendahulukan rakyat, bukan terus menerus mendahulukan propaganda kerajaan BN yang tidak semestinya mendahulukan kepentingan rakyat!


Itu sahaja luahan pertama saya kerana pihak Menteri serta Datuk tentu lebih berkuasa untuk membawa arah RTM, yakni UBAH atau REBAH, sama ada masih ditakuk pemikiran jumud atau mahu bertaraf BBC yang seimbang dalam lapuran.


Selain peringatan ikhlas termasuk kepada diri sendiri, di hari kebangkitan nanti (bukan sekadar 'Bangkitlah Melayu' seperti kata Utusan semalam), setiap orang akan dipersoalkan dengan tanggungjawab yang diberikan, maka, apakah ‘suara kerajaan’ (baca: propaganda) yang Datuk perjuangkan itu akan mempunyai nilai di sisiNYA?


RTM untuk rakyat Malaysia!


Fudzail,
Dubai, UAE

4 comments:

MikeLing said...

Dear Fuz,
I can't speak about the other channel. But watching Astro AEC and listening to Ai FM, we got the feeling that the control has been loosen a bit. The viewer/listener interacting action are much vocal now and the braodcaster didn't censor their view much.

malaysia baru said...

Tapi menteri penerangan yg baru garang sungguh...bloggers kena, PAS pun kena...

Bila tersepit, rakyat akan bangun...

MariaFaizal said...

I'd really like to give benefit of the doubt to Datuk Tiger.

However, i'd say any changes that Datuk has in mind, that is NOT parallel with UMNO-owned TV Stations, he'll b out in no time!

Say NO to UMNO! Say NO to BN! Say NO to Utusan Meloya!

A said...

kami kat malaysia pun yang ada masa pun tak tengok tv langsung,thanks to dunia tanpa sempadan