Sunday, January 25, 2009

Pengalaman makan sate ular

Dari Mingguan Malaysia

INDONESIA memang terkenal dengan perubatan tradisional yang bukan sahaja melibatkan pelbagai rempah ratus, tetapi juga banyak amalan mistiknya. Berjalan-jalan di sekitar kota raya Jakarta pasti kelihatan banyak gerai-gerai menjual pelbagai ubat sama ada tradisional atau moden bagi menguatkan tenaga batin, selain pelbagai khidmat urut untuk faedah yang sama.
Bagaimanapun seorang rakan mengesyorkan saya mencuba sate daging ular tedung yang bukan sahaja dapat melancarkan perjalanan darah, tetapi turut meningkatkan kemampuan seksual.
Demi mendapatkan bahan berita, penulis bersetuju berkunjung ke kawasan Mangga Besar di Jakarta yang dikatakan mempunyai beberapa buah gerai yang menjual sate ular tedung. Pada gambaran penulis pastinya sate berkenaan telah siap dipanggang dan tentunya kelihatan seperti sate ayam sahaja.
Gerai sate berkenaan hanya dibuka pada sebelah malam. Dari jauh telah kelihatan kain rentang "Sate Kobra" dengan gambar ular tedung yang sedang mengembangkan kepalanya. Sebaik kereta berhenti bersebelahan dengan gerai berkenaan dan perasaan geli, lagi menyeramkan terus menguasai diri penulis. Mahu tidaknya terdapat sebuah sangkar yang dipenuhi dengan ular tedung. Penulis terus memberanikan diri menyapa peniaga berkenaan yang memperkenalkan dirinya sebagai Ricky Hermanto.
Penulis bersama rakan terus memesan dua ekor ular untuk dibuat sate kobra iaitu seekor ular dijual pada harga RM15 siap dicampur ramuan dan dibuat sate.
Ricky mengambil penyepit yang diperbuat daripada buluh untuk menyepit kepala ular tedung yang sedang kembang.
Dia yang mempelajari kemahiran itu daripada bapanya terus memenggal kepala ular itu dan darahnya diletakkan ke dalam sebuah cawan. Kulit ular kemudiannya disiat dan perutnya dibelah bagi mendapatkan hempedu dan sum-sum tulang. Hempedu dan sum-sum tulang itu turut dicampur bersama-sama dengan darah ular berkenaan. Selepas itu ramuan tersebut dicampur dengan madu lebah dan arak kemaluan buaya. Daging ular kemudiannya dipotong kecil-kecil dan digaul dengan rempah sebelum dicucuk dengan lidi serta dibakar.
Sehingga semuanya selesai, kepala ular tadi masih lagi bergerak-gerak dan sejak mula lagi penulis memang tidak merancang memakan ramuan tersebut kerana tekak terasa mual. Bagaimanapun setelah lama merenung ke dalam cawan berisi darah ular itu dan demi memastikan kebenaran khasiat yang didakwa peniaga berkenaan, penulis menarik nafas dalam dan sekali teguk sahaja habis darah ular itu ditelan.
Selepas itu tekak terus terasa hanyir dan penulis segera meminta air masak dan air limau untuk diminum bagi membuang rasa hanyir tersebut. Sampai di rumah, penulis terus meminum kopi pekat kerana masih terasa hanyir, namun semuanya sia-sia kerana rasa tersebut berterusan sehingga pagi esok. Bagaimanapun khasiatnya memang benar seperti yang dikatakan oleh peniaga. Badan terasa panas, tekak terasa lapang, pernafasan terasa cukup puas dan bagi yang belum mempunyai teman hidup eloklah tidak mencuba ramuan tersebut kerana kesannya cukup cepat.

1 comment:

KR said...

Makan sate ular tu ok lagi. Kalau Arab, terkenal dengan biawak pasir atau popular dengan nama 'Dhab' kat Malaysia ni suatu masa dulu..

Tang minum hempedu dan sum-sum tulang campur darah ular campur madu lebah campur arak kemaluan buaya tu yang tak sanggup tu. Confirm hanyir.

Arak kemaluan buaya? Tak pasti apa yang dimaksudkan penulis..

Tapi Indonesia memang terkenal dengan mistik. Ramai kenalan yang berkunjung ke sana kasitau. Contoh, buka mangga kunci pakai tepuk tangan jer. Ada orang kaya kat sana duit notes Malaysia rm50 penuh satu bilik. Dia dapat 5 keping notes, bawa balik Malaysia, check dengan Bank Negara. Memang duit tu duit yang sah.

Indonesia memang mistik.


KR
http://sembangkereta.blogspot.com/