Thursday, December 25, 2008

Bila Goyang Kaki Lebih Mendebarkan

Seorang kawan yang bekerja dengan syarikat yang sama tetapi berlainan subsidiari, si Fulan menelefon dan bercerita panjang mengenai situasi di pejabatnya ketika ini. Tiada banyak kerja dan bos besarnya pula setiap hari berada dalam pejabat. Tidak seperti sebelum krisis ekonomi dan kewangan dunia, bos besarnya paling jarang masuk ke pejabat. Jalan merata dunia.


Si Fulan sendiri sebaik balik dari bercuti raya haji hanya menyedari yang jabatannya sebelum ini tidak lagi wujud. Kesemua staf kecuali si Fulan ditamatkan perkhidmatan. Hanya dalam 50% dari jumlah staf keseluruhan syarikat yang tinggal.

Si Fulan ditukarkan ke pejabat bos besar. Lebih menyiksakan kerana bos besar pula kini terperap di pejabat dengan mengadap skrin setiap hari. Sama seperti si Fulan yang buat-buat sibuk, padahal main game, menonton youtube atau chatting. Tiada kerja kerana projek banyak yang ditangguhkan dan dibatalkan. Goyang kaki.

Si bos besar ada memanggil semua staf yang selamat dari tsunami pembuangan kerja dengan mengatakan situasi masih dalam ketidakpastian. Masih huru-hara. Kemungkinan staf yang selamat untuk dibuang kerja adalah bila-bila masa. Sesiapa yang didapati menurun prestasi atau tidak bekerja mungkin dalam senarai segera untuk menerima notis pemberhentian.

Ironinya, memang tiada kerja untuk dibuat....


Begitupun buat saya pula, alhamdulillah, kerja semakin bertimbun. Diberikan tanggungjawab baru dan lebih mencabar terutama dalam hal-hal yang sebelum ini tidak pernah saya lakukan. Menyelenggarakan kontrak dengan semua konsultan dan kontraktor memang rumit tetapi memberi suntikan segar kerana saya terpaksa belajar banyak perkara yang dulunya asing.

Saya juga dilantik untuk mengendalikan dan melaksanakan proses 'sustainable engineering', selain melaksanakan GIS. Sustainability adalah terlalu hijau tetapi kini menjadi polisi syarikat yang menjadi tema. Begitupun, semuanya tidak pasti. Masih dalam huru-hara dengan merudumnya bursa saham Dubai dan Abu Dhabi. Kalau sudah sampai masanya, tetap kena buang juga.


Saya teringat sewaktu berkhidmat dengan Dubai Internet City. CEO ketika itu, Hamid memberi satu tugas untuk membuat kajian dari segi teknikal dan komersil dalam pembinaan stesen satelit bumi.

Saya memberitahu Hamid, "Saya tidak pernah melakukan tugas ini...bolehkah kamu mempercayai saya?"

Jawab Hamid mudah, "Saya juga tidak pernah terlibat, jadi sama-sama kita belajar!"

Ya, seronok bila belajar dibayar gaji dan lebih seronok apabila projek tersebut berjaya dilancarkan.