Friday, December 12, 2008

Istana PM, Duit Zakat dan Siswa/i Agama Yang Dipinggirkan


Kerajaan BN membelanjakan RM16,000 sehari untuk istana PM dan TPM. Satu perbelanjaan yang besar sebagai sebahagian dari faedah menjadi PM dan TPM. Seakan raja dimana wang rakyat sebanyak RM6 juta setahun digunakan untuk keluarga dua ahli politik yang tidak memerlukan semua itu. Mereka sudah kaya raya dengan duit rakyat.

Apakah mereka yang berkuasa ini yang sebenarnya berkhidmat kepada rakyat tidak mempunyai perasaan bersalah? Apakah mereka tidak sedar yang wang sebegini besar jumlah merupakan pembaziran dan boleh digunakan untuk membiayai ramai pelajar di peringkat universiti?
Sebelum itu, lapuran mengenai wang zakat yang beratus juta dikumpul tetapi tidak digunakan juga memberi gambaran ada sesuatu yang tidak kena dalam pengurusan zakat. Apakah tiada mereka yang layak untuk diberikan, seperti siswa/i agama yang belajar di Mesir yang datang dengan poket sendiri dan keluarga yang tidak kaya seperti keluarga PM dan TPM atau menteri serta ahli parlimen BN yang lain?

Memang ada bantuan yang disalurkan oleh kerajaan negeri kepada para pelajar yang bakal menjadi ulamak, ustaz dan agamawan ini. Tetapi masih banyak yang perlu diperbaiki dan dipertingkat demi memberika peluang yang lebih adil dan banyak kepada generasi yang mahu berjuang sebagai agamawan untuk menikmati pembelajaran yang lebih baik.
Ramai kalangan pegawai yang menjaga hal-ehwal agama negeri misalnya, memberi pinjaman kepada anak-anak sendiri, kaum keluarga dan kawan-kawan. Bukan mengikut kriteria kelayakan dan layanan yang sama untuk semua pemohon.

Siswa/i agama memang diperlukan oleh negara sebagai aset. Ada negeri yang mengambil berat siswa/i mereka. Manakala ada negeri yang seakan menganaktirikan siswa/i ini dengan memberi kemudahan sekadar cukup atau kurang memuaskan. Ada yang menghantar pegawai untuk berkhidmat menjaga siswa/i negeri tetapi tidak boleh bercakap Arab, Inggeris dan menggunakan komputer, tetapi mewah kerana berniaga dengan menggunakan tenaga siswa/i.

Sewaktu di Kahirah, saya mendengar banyak keluhan siswa/i yang terpaksa berkorban bukan sahaja dengan pengajian yang mencabar, malah untuk mendapat bantuan pengajian dan kehidupan. Mereka yang tidak mendapat pinjaman dari kerajaan negeri terpaksa mengemis bantuan dari pelbagai pihak, malangnya, seperti MARA yang menganggap bakal ulamak ini bukan sebagai profesional dan tidak layak untuk dipetimbangkan!

Bila ada yang berani bersuara menyatakan ketidak puasan hati, mereka dianggap pembangkang. Seperti kata salah seorang siswa, kalau sentiasa dituduh pembangkang, seakan doa pula dan ramai siswa/i ini akan pulang sebagai pembangkang!
Yuran universiti Al Azhar serta kos kehidupan di Kaherah tidak mahal. Bayangkan untuk membayar sehari PM dan TPM di istana mereka, empat siswa/i boleh membayar yuran setahun!

Begitu juga dengan kutipan duit zakat yang mencecah ratusan juta diperingkat pusat tetapi sekadar menjadi statistik. Menteri yang bertanggungjawab mungkin tidak menyedari keluhan siswa/i bidang agama kita di Mesir. Terlalu sibuk dengan politik wang untuk bertanding pemilihan parti.
Lebih menyedihkan, siswa/i perubatan yang dihantar keMesir bukan sahaja mewah dengan biasiswa yang dibayar dalam USD, malah diberi perhatian yang lebih. Kedatangan siswa/i perubatan ini sedikit sebanyak lebih menyusahkan siswa/i agama, seperti mereka sanggup membayar sewa yang tinggi dan menyebabkan siswa/i agama sama dianggap kaya oleh orang Mesir.

Menurut ceritanya, asrama AlAzhar yang percuma untuk semua siswa/i tidak diberi kepada siswa/i Malaysia kerana mantan PM sebelum ini berkata yang siswa/i Malaysia kaya raya dan tidak perlukan asrama percuma itu.

Diharapkan ada ahli parlimen dan Adun PR yang akan menjadi pembela siswa/i agama kita di Mesir dalam mencari keadilan serta memudahkan pengajian serta kehidupan mereka sebagai bakal agamawan yang mengimbangi pembangunan negara!