Sunday, December 07, 2008

Bercakap Dengan Firaun

Untuk catatan perjalanan kami di Mesir, baca blog anak saya di Faidhi's.


telah ribuan tahun
saujana peradaban nil
mewajah keajaiban kuno
menyubur kering gurun
dan melebar sejarah
pada yang insaf
tentang kesementaraan


kau yang terlentang
awet, kaku dan telanjang
menjadi bahan pameran waktu
untuk kemanusiaan sejagat
melihat sisa kegemilangan
mengkaji peristiwa dan tragedi
warna-warna warisan silam
sebagai memori anak-anak jalanan
liar di lorong-lorong kota
mencari sesuap nasi
dibawah kebobrokan junta
yang menjajah demokrasi


kau masih bernafas
bersama kehidupan semasa
membawa rezeki mencurah
pada sebuah negara tua
yang dipenuhi ruang terlampau
antara kemiskinan dan kekayaan
antara kekufuran dan keimanan
mencatat peta kemodenan
dengan simbiosis kemunduran

kau adalah mesir yang berdenyut
dan terus hanyut
melengkapi kontradiksi
dibalutan kepompong realiti
setelah kekaguman punah
diratah gawat kesesakan
di luar muzium
membawa tanggapan sureal
pelancung dalam transit!

Fudzail
Muzium Mesir
Kaherah
5 Dis 2008