Saturday, July 26, 2008

Bila PAS berpakat dengan UMNO

Tidak dapat dinafikan yang situasi politik semasa sedikit sebanyak membuatkan ramai, termasuk saya terkeliru dan dalam 'disillusioned'. Masih dalam keghairahan untuk menumbangkan UMNO/BN kekadang terlupa yang PR juga adalah haiwan politik yang perjuangan terbesar adalah untuk survival diri sendiri, peduli apa pada rakyat yang telah mengundi berdasarkan kepada 'trust' yakni keyakinan kepada mereka yang kini bergelar YB.

PAS mempunyai sebab musabab untuk bermuzakarah dengan UMNO atas nama ketuanan Melayu dan ketuanan Islam. Mereka telah mula berpakat secara rasmi dan kemungkinan untuk PAS keluar dari PR bukan lagi satu persoalan, hanya bila waktunya sahaja.

Kita pisahkan dua faktor, satu UMNO yang mencari bantuan pernafasan dalam keadaan lemah dengan segala pergolakan dalaman dan pasca PRU-12 yang menjadikan UMNO pembangkang di lima negeri. UMNO perlukan PAS untuk mempertahankan kuasa dan segala fail-fail rasuah, penyelewengan, jenayah yang menjadi sebahagian dari rekod cemerlang, gemilang, terbilang umnoputera.

Faktor kedua, adalah faktor PAS sendiri kurang menyerlah dibawah PR. Berkongsi katil dengan PKR yang masih kabur hala tujunya selain badan tubuh Anwar Ibrahim dan DAP yang memang anti-Islam (terutama senior seperti Kit Siang dan Karpal Singh) membuatkan PAS kehilangan sengat dan pengikut TOTOK yang terus mahukan keujudan negara Islam.

Pengundi telah memberi petunjuk dalam PRU-12 untuk melihat perubahan besar dalam lanskap politik negara. Setelah muak dan jengkel, benci dan meluat dengan keangkuhan UMNO/BN yang bermaharajalela berkuasa, keputusan PRU-12 memberi nafas segar buat mereka, termasuk saya yang bersemangat untuk melihat Malaysia bergerak ke arah lebih baik.

Tetapi setelah berpakat selama beberapa bulan, sudah nampak puak-puak dalam PAS kurang senang dengan keadaan semasa. Apalagi agak jelas pimpinan tertinggi PAS nampak percaya yang Anwar memang terlibat dalam kes liwat terbaru.

'Marriage of convenience' yang berpaksikan pada Anwar boleh saja bercerai-berai apalagi kalau kes liwat ini berterusan dan menyebabkan Anwar ke penjara sekali lagi. DAP juga lebih senang menjadi pembangkang di parlimen manakala PKR akan terus caca-merba dengan pelbagai ideologi.

Sewaktu demo PROTES di Kelana Jaya, tiada pimpinan tertinggi PAS yang muncul, kecuali Setiausaha Agung. Begitu juga selain TG Nik Aziz, tidak kelihatan Presiden dan Timbalan Presiden PAS berada di sisi Anwar dalam menghadapi kes liwat.

Kepimpinan PAS tentunya mempunya sebab musabab besar untuk berpakat dengan UMNO terutama dalam melihat untung rugi percaturan politik terutama masa depan dan survival PAS sendiri.

Buat ramai yang masih terkeliru seperti saya, mungkin lebih baik melupakan sahaja untuk melihat perubahan dalam negara. Bila PAS berpakat dan tidur sekatil dengan UMNO, usah diharap apa yang diperjuangkan seperti menghapuskan ISA. akta-akta drakonian, kebebasan media, rasuah, penyelewengan akan selesai kerana masih bertunjangkan ketuanan yang tidak semestinya islamik.

Nampaknya, lebih baik sahaja berhijrah keluar dari menjadi hamba kepada 'haiwan politik' yang pada asasnya, sama sahaja selagi ahli politik memperjuangkan perut dan survival diri sebagai lebih penting dari segala yang lain!