Sunday, July 20, 2008

Bila Hisham Rais, Dr. Asri dan Dr. Nordin Kardi Berforum


Jumaat 18 Julai, saya sempat bertemu dengan Tok Guru Dato' Nik Aziz, MB Kelantan di majlis perasmian Badan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) di Kelana Jaya. Kebetulan majlis berlangsung di Dewan Seri Delima, berhampiran rumah saya.

Sewaktu saya tiba dalam 8.30 malam, dewan masih lengang. Datang kemudian dalam 9.30 juga masih lengang dan kedatangan Tok Guru disambut oleh hadirin yang tidak seberapa jumlahnya. Hanya setelah majlis berlangsung, baru nampak ramai yang memasuki dewan.

Tok Guru memberi ceramah mengenai budaya dan sastera mengikut perspektif Islam sebagaimana dilakukan selama beliau memerintah Kelantan. Secara kesimpulannya, semua bebas melakukan aktiviti budaya dan sastera asalkan tidak bercanggah dengan Islam.

Kemudian esoknya, saya menghadiri Seminar Penulis Pasca PRU 12, dengan tema "Penulis: Mengepalai atau mengekori?" serta forum: "Penulis - Pagar Yang Makan Padi?" yang berlangsung di Muzium Alam Shah, Shah Alam, Selangor.

Seminar dirasmikan oleh Exco kerajaan Selangor, Puan Rodziah. Sambutan adalah menyedihkan tetapi ini satu permulaan yang baik kerana budaya ilmu dan bertaraf intelektual ini sudah lama tenggelam dalam arus hiburan melulu.

Saya teruja mengikuti seminar ini dengan melihat nama-nama panel, SN S. Othman Kelantan (tetapi tidak hadir kerana dimasukkan hospital dan diganti oleh Sutung Umar RS), SS Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Mufti Perlis), Hishamudin Rais, Tan Sri Dato' Dr. Nordin Kardi (Naib Canselor UUM), Ainon Mohd, Anbakri (setiausaha TG Nik Aziz), Dr. Chong Fah Hing dan teman lama, sdr Amir Muhamad (kolumnis dan pembikin filem).

Tema 'Mengepalai atau Mengekori' sebenarnya tidak begitu dikupas oleh panel seminar.

Cuma saya tertarik untuk bertemu secara personal panel seperti Hisham Rais, Dr. Asri, Tan Sri Nordin Kardi yang baru glamour setelah muncul dalam Debat di TV, Puan Ainon yang saya ikuti kuliah Universiti Terbuka PTS, Dinsman (pengerusi PAKSI) dan teman lama yang kali terakhir bertemu hampir 10 tahun lalu, Amir Muhamad.

Dr. Asri adalah yang terbaik hari itu kerana kehadiran beliau memberi ruang baru untuk perspektif mengikut acuan Islam. Beliau sempat menyelitkan mengenai sikap suka menyelar atau mempersukukan individu mengikut fahaman politik. Beliau sendiri dituduh sebagai orang UMNO kerana memberi pandangan berbeda dengan PAS mengenai konsep negara Islam.

Saya teruja mendengar beliau secara langsung setelah membaca tulisan-tulisan beliau. Kebetulan Dr. Asri satu sekolah dengan isteri saya dan sebelum ini mempunyai persepsi berbeda mengenai beliau.

Perbedaan pendapat bukanlah satu masalah sekiranya kita bersikap terbuka, selagi pendapat masih terangkum dalam syariah Islam dan tidak menyalahi perintah Allah SWT.

Tahniah pada Dr. Asri yang kini sama bergiat dalam sastera dan budaya, sesuatu yang kurang dilakukan oleh ulamak lain.

Manakala Hisham Rais dengan 'sekolah' beliau yang merayakan perbedaan dan kepelbagaian menambah kemeriahan. Pendekatan dari sekolah pemikiran Hisham mungkin begitu liberal dan saya tidak bersetuju dalam beberapa hal, pun beliau mempunyai pendapat yang boleh menambah ilmu untuk difikirkan.

Anbakri yang bergading dengan Dr. Asri mempunyai gaya tersendiri dalam penyampaian. Saya kurang menerima gaya tersendiri itu tetapi ada beberapa perkara yang disebutkan beliau yang boleh diterima.

Kemuncak bagi saya ialah dapat makan semeja dengan Dr. Nordin Kardi dan berbual panjang. Beliau sempoi sahaja orangnya dan sembang-sembang menjuruskan kepada urusan rasmi untuk tindakan selanjutnya.

Saya tidak sempat mendengar beliau sewaktu forum sepenuhnya, tetapi dari perbualan kami, beliau ada menyebut mengenai menerima pelbagai kutukan setelah muncul dalam debat sebelum itu.

Saya memperkenalkan diri kepada Sdr. Dinsman yang turut mengikuti blog dan tulisan-tulisan saya selama ini. Terimakasih.

Puan Ainon yang dikenali sebagai SifuPTS pula, sekali lagi, saya tidak memperkenalkan diri kepadanya, nampak sibuk sebagai Timbalan Pengerusi PAKSI dan pembentangan beliau dalam forum memberi maklumat berguna mengenai industri penerbitan buku di Malaysia.

Industri yang dianggap sebagai anak tiri ini ternyata tidak termasuk dalam mana-mana inisiatif kerajaan semasa, baik berbentuk dana mahupun bantuan kewangan lain.

Statistik mengenai penjualan buku-buku Melayu yang bertambah secara menegak memberi semangat untuk menulis buku. Sudah dua tahun saya cuba menulis dan masih gagal untuk mendisplinkan diri walau sudah pernah mengikuti kursus anjuran SifuPTS.

Baca entri Puan Ainon di sini.

TAHNIAH dan SYABAS kepada PAKSI kerana anjuran seminar dan forum yang memberi ruang baru kepada penggiat budaya dan sastera.

Secara terbuka, walau tidak pernah menganggotai mana-mana persatuan penulis, sudah sampai masanya kita mempunyai wadah lebih baik, berbanding dengan GAPENA yang seperti BN, sudah tidak relevan lagi untuk memajukan budaya dan sastera negara!