Wednesday, June 04, 2008

Lebuhraya Dubai-Abu Dhabi

(Berita Minggu - 29 Jun 2008)
kilauan dari gurun terbentang
bukan lagi saujana fatamorgana
inilah kehidupan baru
perlambangan akhir zaman
hijau dan biru merentas lanskap
batu-bata dan kaca menongkah langit
tumbuh dari limpahan emas hitam
yang menjana gempita kebangkitan
pelarian wadi kontang


perjalanan hayat terus memburu
mimpi dari kembara rezeki
meliar sepanjang lebuhraya
Dubai - Abu Dhabi
warna pembangunan merantai jarak
bersama wajah-wajah pendatang
mengaburi tanah ekspatriat
mencerna ekspektasi dari realiti
bertarung dengan emosi
demi survival diri
dalam gelombang globalisasi
merubah destini pribumi


masih sahaja nada bergetaran
disebalik harmoni yang tersurat
putih jubah dan hitam abaya
perpaduan serumpun bangsa
perbalahan antara kabilah
persaingan antara emiriah
yang memungkinkan sebidang gurun
tiba-tiba bergemerlapan
dan menjalar inspirasi
di merata bumi!


Fudzail
Dubai-Abu Dhabi
Rabu 4 Jun 2008