Monday, April 21, 2008

MSC Pun Tenggelam Dalam Koridor

Nampaknya salah satu cetusan mega Dr. M yang bernama MSC seakan tidak ujud lagi dalam kerangka pembangunan negara. Tidak pasti sejauh mana tahap kejayaan MSC ketika ini dibawah Pak Lah yang sibuk dengan pelbagai koridor dan selepas pilihanraya ke 12, tanpa disedari mengujudkan KORIDOR 5 negeri Pakatan Rakyat.

Sudah berapa banyak wang rakyat yang dileburkan dalam MSC? Ketika ini MSC dibawah MDEC (bertukar nama dari MDC).

Sewaktu di Dubai Internet City (DIC) tahun 2000, saya teringat pernah menerima kunjungan dari aruah Tan Sri pengerusi MDC ketika itu. CEO DIC meminta saya mengiringinya dalam mesyuarat pertama.

Dari mesyuarat itu, setelah pusing sana sini, aruah Tan Sri tersebut bersama seorang pengurus kanan (wanita) akhirnya mahu menawarkan MDC sebagai konsultan kepada DIC.

CEO berpaling kepada saya yang mencemik kerana salah satu sebab saya bekerja di DIC adalah hasil tulisan, "Learning From Malaysia's MISTAKES" (in developing MSC). Artikel yang berdasarkan pengalaman saya memohon status MSC untuk TV3.

Begitupun saya membantu MDC untuk menangani MOU dengan DIC sewaktu Dr. M datang melawat. MOU itu saya tulis 100% dengan memasukkan unsur-unsur berat sebelah kepada MDC. Malangnya, orang kita memang kaki MOU, selepas MOU, tiada apa yang berlaku!

Sebelas tahun lalu, saya pernah bersemangat menulis mengenai MSC yang muncul di halaman editorial Berita Harian. Membaca kembali artikel pertama siri memuji MSC ini sedikit melucukan...manusia boleh berubah terutama apabila sudah cukup maklumat untuk membuat keputusan.

Berita Harian - Khamis, 20.11.97

Patriotisme dalam pelaksanaan MSC
BANYAK sudah diperkatakan mengenai MSC dan sudah hampir semua lapisan masyarakat mengetahui sedikit sebanyak mengenainya. Dari kempen memasyarakatkan IT sehingga kepada pelbagai seminar mengenainya yang berterusan menyemarakkan MSC sebagai agenda utama semua pihak. Pengurus IT TV3, MOHD FUDZAIL MOHD NOR membicarakan soal MSC itu dari sudut mewujudkan jiwa patriotik.

IKHTIAR mewujudkan Koridor Raya Multimedia (MSC) dianggap berani dan ke depan. Peralihan penekanan dari pertanian ke industri, dari pembekal sumber mentah kepada pengeluar barangan siap, MSC membawa kita melangkau ke satu era yang berteraskan kepada multimedia. Ia satu usaha patriotik dalam meneruskan pengisian kemerdekaan dan pembinaan ke arah kegemilangan dalam pelbagai bidang.
Begitupun, ketika semuanya masih baru bermula, kita harus juga sama merenung sejauh manakah teknologi boleh menjadi alat patriotik dan bukan sekadar satu penerusan penjajahan yang menjadikan kita tidak lebih daripada tempat percubaan.
Terlalu bergantung kepada luar akan memberikan kesan negatif dalam jangka waktu yang panjang. Kebanyakan negara yang berkurangan sumber teknologi sendiri semakin terjerat dengan negara pengeluar dan selalunya turut mempengaruhi keadaan politik dan budaya. Contohnya terlalu banyak dan kita sendiri turut mengalaminya. Patriotik tidak lagi sekadar perlambangan untuk menyemarakkan semangat kecintaan pada negara, tetapi lebih merupakan pelaksanaan yang bersifat buatan Malaysia sepenuhnya oleh rakyat Malaysia untuk pasaran Malaysia dan global.
Tidak keterlaluan jika dikatakan Proton sukar dikaitkan dengan patriotik kerana seperti yang diketahui semua orang, enjin, reka bentuk asal dan bahagian tertentunya masih lagi dibuat di Jepun. Kita juga tidak boleh menjadikan kereta Lotus sebagai lambang patriotik dengan sebab yang kita semua tahu.
Malah pada hari ini beberapa bangunan tertentu yang menjadi mercu tanda bukan sahaja tidak dari hasil daya kreatif rakyat tempatan malah dibangunkan juga oleh pakar dan buruh asing.
Dalam bidang sukan misalnya, kegagalan negara dalam bola sepak Sukan SEA Jakarta baru-baru ini menunjukkan betapa kita bersikap patriotik dan menganggap kekalahan dengan Laos sebagai menjatuhkan maruah negara. Kita juga cukup terhina apabila Perdana Menteri kita dipersendakan oleh media atau pemimpin Barat.
Malah kerana semangat patriotiklah kita mencapai kemerdekaan dan membangunkan negara ke arah kemajuan pada hari ini. Bendera, lagu dan pakaian kebangsaan sudah menjadi lambang patriotik tradisi.
Hakikatnya, kita masih belum mempunyai produk yang bertaraf dunia. Menurut Menteri Kewangan sewaktu membentangkan belanjawan baru-baru ini, ramai rakyat tempatan yang masih menganggap barangan tempatan adalah 'kodi' yakni tidak bermutu. Persepsi yang seakan menjadi satu kepercayaan dari generasi ke generasi ini memang tidak mengejutkan. Barat berjaya mempengaruhi minda kita bahawa yang datang dari Barat itu semuanya bermutu dan mempunyai kelas.
Keikhlasan pihak yang bertanggungjawab dalam memasarkan barangan tempatan juga adalah diragui. Kita dapat melihat bagaimana patriotisme bangsa Jepun dan Korea memberi pulangan ekonomi kepada negara mereka. Siapa lagi yang harus memberi sokongan jika tidak rakyat tempatan.
Memang tidak semua barangan tempatan itu bermutu. Seperti juga tidak semua barangan buatan luar negara itu bermutu. Nilai bukanlah ditentukan oleh jenama dan buatan mana, tetapi pada barangan atau produk itu sendiri.
Apabila MSC kini menjadi sebahagian daripada perbendaharaan kata rakyat Malaysia, bersamanya perlu ada semangat patriotik yang intipatinya pula menjadi pemangkin ke arah sebuah negara maju hasil daya usaha bersama. Bukan sekadar kita menjadi pencetus idea dan pengguna sedangkan isi dan strukturnya adalah daripada orang lain.
MSC adalah peluang dan saluran terbaik untuk menjadi tapak kepada hasil yang boleh membawa semangat patriotik yang lebih kukuh. Memang kita masih memerlukan bantuan luar. Malah adalah mustahil untuk mendapatkan 100 peratus sumber tempatan. Tetapi ianya tidak bermakna kita tidak boleh melakukannya sekiranya kita bersatu mengumpulkan semua pakar tempatan dalam satu kumpulan.
Sumber perkakasan dan perisian asas memang semuanya adalah bahan import yang sukar untuk kita sendiri menghasilkannya dalam waktu terdekat ini. Tetapi aplikasi yang tertentu, terutama kerajaan elektronik mestilah dibangunkan sepenuhnya oleh rakyat tempatan.
Kita boleh melahirkan produk tempatan yang bertaraf dunia sekiranya kita menerima sokongan padu daripada semua pihak. Perisian komputer untuk MSC misalnya boleh menerima pasaran global sekiranya berhasil.
MSC akan turut membangunkan dua buah kota bestari yakni Cyberjaya dan Putrajaya. Bolehkah kita menganggap Cyberjaya bercorak antarabangsa, manakala Putrajaya adalah sepenuhnya bersifat dan berjiwa Malaysia. Adalah patriotik namanya apabila Putrajaya sebagai pusat pentadbiran baru negara, dari pembangunan hartanah, infrastruktur, bangunan sehingga aplikasi-aplikasi perdana di bawah sasaran MSC, adalah sepenuhnya hasil daya usaha rakyat Malaysia.
Putrajaya sebagai 'showcase' yang menjadi lambang kemajuan rakyat tempatan setelah kita mengisi kemerdekaan adalah milik rakyat seluruhnya. Seratus peratus buatan Malaysia.
Melaungkan slogan "Malaysia Boleh" dan "Beli barangan buatan Malaysia" bukan sekadar bermusim atau kempen tertentu. Kita tidak mahu sebuah projek yang sebesar serta sepenting ini dan bakal menjadi asas kepada corak pentadbiran baru negara tidak lebih daripada kulit semata-mata yang sekadar menampakkan buatan Malaysia.
Aplikasi-aplikasi perdana terutama kerajaan elektronik yang mengandungi modul-modul perintis seperti sistem sumber manusia, penghantaran elektronik, pembelian elektronik, pejabat generik dan sistem monitoring projek akan digunakan oleh seluruh rakyat Malaysia sepenuhnya menjelang tahun 2000.
Kerajaan elektronik misalnya bakal menjadi alat komunikasi dua hala antara rakyat dan kerajaan yang mengurangkan karenah birokrasi. Malah menjadikan kerajaan lebih telus untuk didekati rakyat.
Semua aplikasi ini juga menggunakan teknolgi terkini dan memerlukan pembangunan perisian. Kepakaran tempatan yang sedia ada sebenarnya sudah memadai untuk memenuhi keperluan ini. Peluang dan kepercayaan adalah perlu bersama semangat patriotik untuk kita berbangga dengan produk tempatan. Kebimbangan ini lahir kerana CFRP (yang ditulis sepenuhnya dalam bahasa Inggeris tanpa versi bahasa Melayu) terbuka untuk semua, bukan sahaja menerima cadangan dari syarikat tempatan, malah luar negeri yang sudah lama bertapak dan mempunyai segala sumber yang perlu.
Kelebihan itu seakan membuka ruang pada mereka yang tidak mempunyai semangat patriotik kepada Malaysia, sekadar tempat berniaga dan membuat untung. Dan rakyat tempatan akan hanya menjadi pengguna semata-mata, kerana kemungkinan besar pelabur akan mengambil ramai sumber tenaga IT dari luar yang lebih murah, seperti India atau Filipina.
Ianya sudah berlaku dalam beberapa sektor industri sebelum ini. Kita hanya mendapat faedah jangka pendek daripada pelabur yang kini mula mencari tapak baru yang lebih kompetitif di negara lain. Kebimbangan ini juga bukan disebabkan oleh semangat patriotik membuta tuli dan sempit. Teknologi akan menjadi komoditi di alaf mendatang dan MSC adalah berasaskan teknologi maklumat, sesuatu yang ingin kita kuasai. Malah hak cipta intelektual dalam bentuk perisian aplikasi ini penting sebagai komoditi.
Sebagai pemangkin ke arah itu, MSC tidak boleh lari daripada menjadi sumber patriotik rakyat Malaysia yang berteraskan teknologi. Generasi kemudian tentu mendapat faedah besar apabila generasi hari ini menyediakan tapak kukuh untuk mereka mengembangkan MSC seterusnya.
Kita ingin ramai rakyat tempatan berjaya seperti Bill Gates atau memiliki syarikat IT seperti Microsoft, Oracle atau Sun suatu hari nanti. Seperti mana kita turut rasa patriotik dengan Petronas dan dua tiga yang lain. Patriotik kerana ia sepenuhnya dibangun dan ditadbir oleh rakyat tempatan.
Kita bukan mengatakan harus menutup pintu pada syarikat IT luar dari melabur kerana ruang MSC adalah terlalu besar dan tidak mungkin sepenuhnya dibangunkan oleh rakyat tempatan. Cyberjaya adalah untuk mereka melebarkan R&D atau operasi mereka di dunia sebelah sini.
Malah Perdana Menteri tidak jemu-jemu dan berjaya menarik ramai pelabur asing sama ada syarikat gergasi atau tidak ke Cyberjaya. Usaha ini bakal menjanjikan suasana kompetitif dan seterusnya menggalakkan usaha sama 'menang menang' dengan pelabur tempatan.
Syarikat tempatan pula jangan pula mengambil kesempatan dengan menjual nama semata-mata dan mengambil bahagian sekadar di kulit, bukan isinya. MoU yang ditandatangani bukan sekadar hiasan dan publisiti murahan, tetapi perkongsian teknologi dan kepakaran yang menguntungkan negara.
Jika penyelewengan terus berlaku dalam perlaksanaan MSC, betapalah segala perancangan hari ini akan menjadi satu pengkhianatan terbesar pada generasi Malaysia mendatang. Terutama pada Bumiputera yang sudah kehilangan keistimewaan di bumi Cyberjaya.
Kesimpulannya dengan usaha ke arah meramaikan kelas menengah, sikap tidak terlalu bergantung pada luar, merealisasikan Wawasan 2020 dan mengukuhkan semangat patriotik Malaysia, adalah diharapkan pada mereka yang bertanggungjawab dengan pelaksanaan MSC di semua peringkat untuk sama menjadi patriotik dengan teknologi dan kebolehan anak-anak tempatan.
Siapa lagi kalau bukan kita sendiri yang boleh mengubah nasib kita dan generasi baru Malaysia di negara tercinta ini.