Sunday, April 13, 2008

BABI SIAPA dan SIAPA BABI?




Babi memang cukup sensitif bagi umat Melayu Islam. Telah tertanam dalam minda dan emosi yang apa sahaja berkaitan dengan babi adalah HARAM, JIJIK, KOTOR dan HINA. Sejak dari kecil orang Melayu sudah diajar untuk membenci BABI dan dikatakan salah satu perkataan asal Bahasa Melayu ialah BABI.

Jangan sekali memaki dengan ungkapan babi yang popular untuk menghina, boleh sahaja menimbulkan pergaduhan besar.

Pengalaman saya dekat dengan babi ialah sewaktu tinggal dengan keluarga angkat di Wainuiomata New Zealand sewaktu belajar di Tingkatan Tujuh. Tidak dapat dibayangkan perasaan apabila mengetahui keluarga angkat tersebut memelihara seekor anjing besar. Lebih mencemaskan yang antara menu setiap hari, terutama sarapan ialah bacon and eggs. Mereka tidak memelihara babi dan tidak pernah pula nampak kandang babi sepanjang lima tahun di New Zealand.

Kebimbangan dan kecemasan itu sedikit sebanyak terlerai apabila gurubesar dan ayah angkat menerangkan yang mereka memahami halal dan haram, serta soal solat, puasa dan lain-lain berkaitan ibadah dalam Islam, kerana mereka adalah orang kuat pertubuhan FREEMASON!

Freemason menjadi kebimbangan ke tiga. Persepsi mengenai Freemason memang mencemaskan. Bimbang akan terjerumus ke dalam kancah Freemason tetapi saya banyak belajar mengenai misi dan aktiviti Freemason dari kedua mereka. Malah pernah ke lodge tempat mereka berkumpul. Tentunya datang sebagai tetamu dan pemerhati kerana teruja mahu tahu.

Selain menyertai ayah dan ibu angkat ke beberapa aktiviti sosial seperti jualan dan sukan boling padang dengan para ahli Freemason lain yang agak besar jumlahnya di New Zealand.

Mereka ada terlepas cakap dengan menyebut mengenai beberapa pemimpin Malaysia ketika itu juga menganggotai FREEMASON. Tetapi itu cerita untuk lain kali. Saya tidak pernah menjadi ahli.

Selama setahun itu, ibu angkat tidak menghidangkan bacon and egg kepada kami (saya berdua). Hanya weetbix dan susu panas setiap pagi. Mulanya mahu termuntah untuk makan weetbix, tetapi terus menyukainya sampai kini.

Ibu angkat membekalkan kami tomato, epal, buah kiwi atau limau dengan sandwich keju atau telur atau sardin untuk makan tengahari di sekolah.

Untuk mengelakkan dari prasangka, tiada kami bertanya sama ada ibu angkat memasak makanan malam dengan peralatan yang sama untuk masakan lauk daging babi mereka. Makan sekali dengan mereka setiap malam dengan lauk babi diatas sama meja memang meloyakan.

Kerana itu setiap dari hari Khamis ke Ahad malam atau setiap kesempatan, kami akan keluar untuk mencari makan di rumah senior (seperti rumah YB Zulkifli Noordin yang menuntut di Universiti Victoria Wellington) atau pegawai MSD di Wellington.

Tetapi hampir setiap hari saya terpaksa menyamak kerana setiap pulang dari sekolah si anjing kesayangan keluarga angkat akan memeluk dan mencium pipi. Selalu juga kena bawa anjing ini berjalan-jalan.

Itu pengalaman lalu berkaitan babi, anjing dan Freemason.

Kenangan lama yang menggamit apabila membaca tentang ladang babi yang mahu di usahakan secara lebih baik dan tersusun di Selangor. Tidak heran media perdana memainkan isu dan polemik dengan sensasi, memang sesuatu yang ditunggu-tunggu untuk memberi gambaran buruk terhadap Pakatan Rakyat.


Sekali lagi, BABI adalah sensitif untuk umat Melayu dan media perdana yang sebelum ini cuba menyembunyikan isu babi dan JE di Melaka, kini tidak cukup ruang untuk menjatuhkan imej PR di Selangor.

Tidak pasti salah strategi di pihak PR sendiri atau ada rahmat yang akan membuka lebih banyak pekung BN. Yang pasti, pihak UMNO dan pencacai akan memainkan isu ini sepenuhnya walau banyak perkara baik dalam perlaksanaan. Itulah budaya dan sikap orang yang kalah dan masih belum menerima hakikat kekalahan secara gentlemen.

Di Dubai ini agak sedikit kurang sensitiviti mengenai babi dalam kehidupan kosmopolitan. Banyak hypermarket menyediakan ruang khas untuk ‘Kedai Babi’ dengan amaran – Hanya Untuk Bukan Muslim. Tidak seperti di Malaysia, hotel-hotel besar Dubai juga menyediakan babi dalam menu.

Sewaktu menjadi ahli kelab golf dan rekreasi ‘ Country Club’ Dubai, saya pernah menimbulkan isu babi ini kepada pihak pengurusan dan ketua tukang masak, seorang British.

Beliau dengan penuh hormat memberi penerangan yang Perbandaran Dubai mempunyai prosedur dan pengawasan yang cukup rapi untuk setiap premis yang dibenarkan menyediakan babi dalam menu.

Semuanya mesti diasingkan dengan peralatan berbeda. Kalau ada aduan yang diterima mengenai kebersihan dan percampuran didapati benar, bila-bila masa premis boleh ditutup. Ketua tukang masak itu sendiri mahu saya masuk ke bahagian dapur kelab untuk memastikan apa yang diperkatakannya benar.

Tetapi oleh kerana minda dan emosi cukup sensitif dengan BABI, maka kami tetap was-was. Begitupun, Dubai tentunya tidak seperti Indonesia dimana sate dan daging babi kelihatan terjual di tepi jalan atau food court dengan terbuka.

Secara kesimpulannya, isu babi di Selangor ini boleh dilihat dengan lebih luas dan terbuka. Dengan merangkum segala tindak tanduk mereka yang sebelum ini memerintah dengan angkuh, pertanyaan saya ialah sebelum 8 April, babi siapa yang berpuluh tahun memusnahkan alam sekitar dan SIAPA BABI yang kini mengambil kesempatan menjadi hero walau sudah menjelajah dunia untuk melawat kandang babi mat salleh?

Mereka ini lebih hina dari babi, makhluk Allah SWT yang tidak bersalah apa-apa!