Thursday, April 10, 2008

Sekolah Pemikiran Pak Lah

Nordin Kardi yang mengaku seorang intelek dan dikatakan keintelektualannya telah di hina oleh Raja Petra mungkin boleh memikirkan penubuhan sesuatu yang hampir sama dengan Institut Pemikiran Tun Mahathir atau IPDM.
Institut itu terletak di UUM, kawasan parlimen Tun Mahathir sebelum pencen dan menjadi pengkritik wahid Pak Lah.

Menurut laman web IPDM,
Idea untuk menubuhkan institut ini telah dicetuskan oleh para perwakilan semasa Persidangan Agung UMNO yang ke-54 pada 19 Jun 2003. Lanjutan daripada itu, satu badan perundingan (think tank) telah dibentuk yang ahli-ahlinya terdiri daripada tokoh-tokoh kenamaan dan pelbagai idea telah dicetus oleh badan ini melalui sumbang saran pada 28 Ogos 2003.

Fungsi utama IPDM adalah menjadi pusat rujukan utama terhadap idea, wawasan dan pemikiran
Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ke-4. IPDM juga bertanggungjawab untuk meneliti dan menganalisis struktur percambahan idea yang boleh diguna pakai oleh generasi kini dan masa depan. Di samping itu, penubuhan institut ini juga adalah satu usaha untuk menghargai sumbangan dan kepimpinan tokoh-tokoh negara.

Sebagai mengenang jasa baik Pak Lah meletakkan beliau sebagai VC di UUM, Nordin boleh dengan segera menubuhkan Sekolah (Rendah) Pemikiran Pak Lah (SPPL).

Selama menjadi Perdana Menteri, Pak Lah telah banyak menyumbangkan jasa kepada rakyat Malaysia sama ada dalam jaga atau tidur. Sama ada Pak Lah sedar atau tidak, jasa paling besar ialah memastikan BN tewas di lima negeri selain Wilayah Persekutuan dan hilang 2/3 majoriti.

Semua ini adalah sejarah besar untuk generasi akan datang menilai pemikiran dan kepimpinan Pak Lah. Seperti IPDM, keujudan SPPL untuk meneliti dan menganalisis struktur percambahan idea Pak Lah yang boleh dijadikan bahan ketawa oleh generasi kini dan masa depan.

Dari mazhab Hadhari, pelbagai slogan (Cemerlang, Gemilang, Terbilang, bekerja dengan saya bukan untuk saya, I'm the Prime Minister dsbnya) hingga variasi koridor yang bernilai trilion, Pak Lah tidak kurang idea. Sama ada berjaya atau sekadar gimik, itu bukan perkara penting, yang penting siapa kata Pak Lah tidak ada idea?

Juga pembinaan masjid kristal dan jambatan kedua Pulau Pinang. Jangan lupa idea untuk meluruskan sungai bagi mengelakkan banjir di Johor.

Tidak kira sama ada idea-idea tersebut dari budak-budak Tingkat 4, anak atau menantu kesayangan. Pak Lah mengaku itu semua adalah cetusan idea beliau.

Biarlah sekolah itu sekadar taraf sekolah rendah, asalkan tiada siapa melupakan jasa-jasa Pak Lah dalam membenamkan BN, kalau tidak menjadi pembangkang di Parlimen dalam masa terdekat ini.

Bagaimana Nordin Kardi? Pak Lah perlukan kamu!