Monday, April 07, 2008

Siapa Khianati UMNO? Pemimpin atau Ahli?

Kali pertama saya bertemu Pak Lah adalah dalam tahun 1983 di sebuah restoran Cina di Wellington. Masa itu Pak Lah mengikut Dr. M untuk lawatan ke New Zealand dan saya masih menuntut di sebuah sekolah pinggiran Wellington.
Dalam suasana yang meriah, Pak Lah yang menjadi Menteri Penerangan kelihatan terpinggir kerana Dr. M menjadi perhatian ramai. Lantas saya sempat menegur beliau, bersalam dan terus bertanya, "Saya dengar Datuk adalah bakal PM Malaysia!"
Pak Lah rasanya pura-pura terkejut tetapi nampak bangga dan dengan malu-malu menjawab.
"Ish, mana ada! Mana kamu tahu?"
Saya tidak ingat perbualan lanjut tetapi 20 tahun kemudian dia benar-benar menjadi PM. Saya masih menyimpan gambar-gambar kenangan bersama Pak Lah dalam koleksi.
Seterusnya, sewaktu bersiar dengan mendiang MGG Pillai dalam era reformasi, kami sempat makan tengahari di gerai ikan bakar belakang Masjid Negara.
Mendiang mengajak saya singgah di rumah Pak Lah di kawasan berhampiran. MGG Pillai selalu mengaku yang Pak Lah adalah kawan baik sejak lama. Waktu itu Pak Lah bukan lagi Timbalan PM tetapi disebut-sebut sebagai salah seorang calun. Mahu juga saya mengulang perbualan yang sama. Tetapi Pak Lah tiada di rumah.
Akhir sekali sewaktu Pak Lah membuat lawatan rasmi ke Dubai sebaik menjadi PM, saya tiada pula mendapat apa-apa jemputan untuk hadir walau salah seorang yang menjadi 'tukang bawak beg'nya adalah kenalan baik dan sempat datang ke rumah di Dubai. Kenalan ini menyuruh saya terus sahaja pergi ke hotel tempat Pak Lah menumpang untuk bertemu sendiri tanpa kawalan atau kedutaan menyibuk.
Apabila ditanya kepada pihak berkenaan kenapa saya, sebagai salah seorang yang senior di Dubai, tidak mendapat jemputan untuk makan malam bersama Pak Lah, ada yang berbisik, "Masalah keselamatan."
Hajatnya mahu mengucapkan tahniah kerana sudah menjadi PM. Tetapi apabila di cop sebagai pembangkang, usah haraplah untuk tersenarai sebagai jemputan.
Menurut salah seorang sahabat yang kini menjadi salah seorang 'penasihat' atau 'orang' Pak Lah, yang pernah sama melarikan diri ke luar negara dalam era reformasi, Pak Lah memang 'soft', maksudnya bukan 'lembik'. Kalau bertemu tidak lekang menyebut petikan surah dan hadis-hadis dalam mengingatkan tentang keduniaan.
Lantas sahabat yang kini mungkin bergelar bilionair itu ada berkata, "Apa ke jadah Anwar mahu membalun Pak Lah? Pak Lah bukan Mahathir yang menjatuhkan dia dan tidak kena mengena pun dengan kes bawa tilam dll. Lagipun Pak Lah juga alim! Lebih baik Anwar masuk UMNO dan hentam Najib"
Kami berbeda pendapat. Itu pendapat dia dan mungkin ada kepentingan peribadi.
Saya tidak berkesempatan untuk kenal Pak Lah secara dekat tetapi secara jauh juga dapat menilai yang Pak Lah bukan material PM yang baik. Memang nampak kelembikan. Tiada karisma dan aura. Kalau berucap secara langsung di TV pun cukup lembik dan melenakan.
Terasa memualkan sekali membaca akhbar hari ini mengenai tuduhan Pak Lah kepada ahli UMNO sendiri yang sabotaj lantas menyebabkan kekalahan BN/UMNO.
Lebih memualkan apabila Pak Lah terus mempertahankan menantu kesayangan.
Khairy tidak campuri MT UMNO, Kabinet
KUALA LUMPUR 6 April - Datuk Seri
Abdullah Ahmad Badawi hari ini sekali lagi menafikan campur tangan menantunya, Khairy Jamaluddin dalam pentadbiran parti dan kerajaan.
Perdana Menteri turut menyangkal dakwaan bahawa anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan Jemaah Menteri merupakan barisan pak turut atau Yes man.
''Kononnya zaman saya ini tidak ada kebebasan, semuanya orang takut. Tetapi depa kata saya ni lembik... tapi orang takut kat si lembik ni. Seolah-olah semua yang ada dalam MT ini dan dalam Kabinet, bodoh belaka... Khairy seorang yang pandai, yang menentukan segala-galanya."
''Ini semua tuduhan yang tidak ada batasan, terus hentam begitu sahaja,'' tegasnya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat kepada lebih 1,000 ahli daripada kumpulan penerangan parti itu di PWTC di sini.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan beberapa pemimpin UMNO serta pembangkang sebelum ini sering menuduh Khairy yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO campur tangan dalam keputusan-keputusan kerajaan termasuk menentukan senarai calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada pilihan raya umum lalu.

Kalau Presiden parti Melayu terbesar di dunia menuduh ahli mengkhianati parti sendiri, persoalan besar dan asas yang perlu dijawab ialah, KENAPA mereka sanggup berbuat demikian?
Bukankah mungkin salah satu sebabnya kerana pemimpin UMNO sendiri yang mengkhianati parti dan ahli? Seterusnya mengkhianati bangsa yang diwakilinya.
Pak Lah terlalu lembik mindanya untuk mencerna dan keluar dari state of denial. Atau masih dalam mimpi panjang bersama isteri baru, anak dan menantu serta kroni untuk terus menghuni Dreamland of Putrajaya.
Tetapi kesimpulannya, UMNO itu dipenuhi KHIANAT, dulu, kini dan selamanya!