Tuesday, April 01, 2008

Surat Mufti Perlis ke TV3


Berikut merupakan kenyataan mufti perlis Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin yang telah difakskan ke TV3


Surat berleter-head Jabatan Mufti Perlis ke TV3.


27hb. Mac 2008


Penerbit Buletin Utama TV3,
Sri Pentas
No.3 Persiaran Bandar Utama,
47800 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan


Assalamualaikum wbt
Tuan,


KEPERLUAN BERITA YANG SAHIH LAGI BERSIH DARI SEBARANG PROVOKASI


Islam menuntut agar setiap insan bersifat adil dalam semua perkara. Kebencian, tidak puas hati dan permusuhan ke atas seseorang, atau sesuatu golongan tidaklah membolehkan kita membuat laporan yang tidak adil terhadap mereka. Firman Allah dalam Surah al-Maidah:8:(maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadapsesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan".


Dalam suasana negara sedang mengharungi kerencaman aliran politik dan pemikiran pada mutakhir ini, saya mengharapkan agar sumber-sumber berita sama ada TV, atau internet, akhbar dan seumpamanya bersifat adil dalam menyiarkan sesuatu berita. Sampaikanlah berita yang benar sekalipun mengenai pihak yang berbeza aliran dengan kita. Jauhi unsur-unsurprasangka dan provokatif. Janganlah kita mengulas secara negatif setiap berita pihak yang kita tidak bersetuju dengannya. Biarlah rakyat yang matang membuat penilaian setelah mendapat maklumat yang sahih. Jika tidak, para penyiar akan menjadi sumber fasik yang membawa berita bohong, atau melaga-lagakan antara manusia.


Sifat amanah dan telus dalam penyiaran berita adalah dituntut oleh agama dan menjadikan penyiarnya itu lebih berwibawa, dihormati dan mendapatkepercayaan umum.


Sekian,


DR. MOHD ASRI BIN ZAINUL ABIDIN

Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

Refleksi

Waktu meminjam ruang
menganjak peredaran musim
sepanjang perjalanan hayat
menjadi imej-imej kehidupan
warna-warna yang melontar
jejak gelombang perasaan
memenuhi potret hari

Waktu merentas refleksi
mengimbau bayangan memori
kembara menjadi sentimental
saujana rindu mengimbau
pelarian terus membina mimpi
dari berkat pengorbanan ayah ibu
seindah kristal di padang pasir

waktu mengundang kesempatan
datang dan pergi, jauh dan dekat
merantai paksi putaran alam
sepanjang nafas dan langkah
mengalir suci dalam darah
kasih sayang yang subur mekar
sebagai warisan rahmat
rezeki dari kurnian Ilahi!