Wednesday, February 06, 2008

Demam Pilihanraya di Malaysia, Demam Lantikan di Dubai

The emperor's new clothes cabinet team
Spekulasi mengenai tarikh pembubaran parlimen di ikuti dengan tarikh hari pengundian di Malaysia sudah hampir ke kemuncak. Dari kedai kopi ke blog, pelbagai ramalan dan tilikan mengisi ruang.
Kempen yang bernilai puluhan bilion dalam bentuk pelbagai koridor, kontrak pembinaan/pemulihan segera sudah diumumkan dari PM ke wakil rakyat yang seolah-olah baru menang loteri dengan peruntukan yang begitu banyak.
Setiap jentera kerajaan disalahgunakan sewenangnya kerana anggapannya sudah menjadi milik mak bapak mereka.
Media arus perdana yang dimilik parti pemerintah juga telah meningkatkan kegilaan ke taraf haprak dalam memperhebatkan propaganda sebelah pihak, seolah-olah hanya satu parti sahaja yang bertanding. Seperti biasa, pembangkang hanya sekadar tempelan dan bahan kutukan yang memualkan. Itulah kebebasan media di Malaysia kerana itu kita mempunyai Menteri Penerangan yang bertaraf badut diperingkat antarabangsa.
Begitupun tidak mustahil dalam perkembangan ketika ini, media alternatif seperti Malaysia Today, Malaysiakini, klpos dan blog akan sama mempengaruhi arah sokongan pengundi dengan maklumat yang lebih telus dan terbuka.
Memang politik tidak boleh dipisahkan dari warga Malaysia. Politik itu seakan agama yang menjadi anutan kerana politik menguasai hampir setiap ruang, termasuk dalam masjid dan kuil. Apalagi dalam parti politik yang hidup mati kerana politik berasaskan kefahaman demokrasi terpimpin dan para politikus berjuang demi survival perut atas dasar politik matlamat menghalalkan cara.
Pihak pembangkang juga tidak kurang mempunyai watak-watak yang sukar difahami. Masih ada masalah dalam penentuan kerusi yang memberi gambaran agak negatif. Pembangkang yang tidak bersatu menjadi sebab utama parti pemerintah sentiasa yakin untuk terus memanipulasikan rakyat.
ONE OPPOSITION OR NO OPPOSITION.

Apakah pilihan yang terbaik untuk rakyat yang boleh mengundi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, taraf jenayah meningkat dan inflasi yang melebihi statistik rasmi berkali ganda?
Penyelewengan dan rasuah sudah menjadi barah teruk yang bakal melumpuhkan, kalau tidak menjahanamkan semuanya. Janji dalam manifesto lalu pun memerlukan berpuluh tahun lagi untuk direalisasikan dan PM merayu untuk mandat baru. Kuasa itu madat yang membawa bencana kalau ketagihan.
Bilangan pengundi bertambah tetapi apakah pengundi hantu dan pengundi pos yang akan menentukan kepimpinan negara sepenggal lagi?

Tentunya mereka yang sedang dalam senarai dipilih semula, dibuang atau dimasukkan sebagai calun juga sedang sibuk melobi untuk memastikan nama tidak tercicir. Dikatakan sudah ada yang sah akan bertanding dan ada yang sah akan digugurkan.

Turut sibuk ialah para penyokong yang mengharapkan durian runtuh sekiranya bos terpilih dan menang. Juga para bomoh dan dukun yang bekerja keras untuk memastikan nama-nama tertentu naik seperti nombor ekor. Tidak lupa tentunya pihak anggota keselamatan dan SPR yang mungkin memastikan bukan sahaja pelancaran pilihanraya malah segala strategi yang diatur tidak mengundang bala buat kepimpinan.

Memo BERSIH hanya dibuat tempat kesat kaki walaupun titik dakwat atas kuku dan peti undi lutsinar digunakan kerana SPR belum BERSIH sepenuhnya, terutama dengan kepala yang sudah busuk.
SPR sepatutnya sama bertanding untuk menjadi pilihanraya lebih telus, terbuka dan bebas!

Sheikh Mohammad Al Maktoum dengan dua puteranya.


Buat kami yang tinggal di Dubai, memang terasa demam, bukan sahaja cuaca yang terus dingin sehingga suhu turun kebawah 10 darjah. Mungkin dua kali demam. Dengan demam pilihanraya dan demam perlantikan putera mahkota Dubai dan Naib Emir Dubai yang baru.

Sheikh Hamdan, Putera Mahkota Dubai


Shaikh Mohammad Bin Rashid Al Maktoum, Naib President and Perdana Menteri UAE merangkap Emir Dubai, pada 3 Februari 2008 telah melantik dua anaknya, Shaikh Hamdan Bin Mohammad Bin Rashid Al Maktoum, 26 tahun sebagai Putera Mahkota Dubai and Shaikh Maktoum Bin Mohammad Bin Rashid Al Maktoum, 25 tahun sebagai naib Emir Dubai.



Sheikh Maktoum, Naib Emir Dubai yang baru


Selain mengekalkan abangnya sendiri, Shaikh Hamdan Bin Rashid Al Maktoum sebagai seorang lagi naib Emir Dubai.

Perlantikan dua anak muda yang masih dua puluhan ini memang sudah dijangkakan.

Apakah senario yang sama berlaku di Malaysia dalam pilihanraya kali ini?

Apakah mereka yang berusia 30han akan menguasai senarai calun dan ramai yang veteran akan jadi sekadar catatan sejarah? Selepas ini kita melihat barisan kabinet orang muda?

Begitupun perlantikan kedua anak Sheikh Mohammad ini diikuti dengan pembebasan seramai 216 banduan dari penjara Dubai sebagai kesyukuran. Tentunya menjadi hadiah bernilai buat banduan dan keluarga yang bertuah.

Tidak mungkin senario ini berlaku di Malaysia, saya pasti tidak mungkin PM yang menang besar akan membebaskan tahanan ISA yang malang kerana terus ditahan sebagai mangsa politik tanpa dibicarakan di mahkamah terbuka!