Sunday, February 03, 2008

Di Tangan Kita


bilamana ruang dipenuhi suara-suara
menerbang janji-janji ke pelusuk jiwa
biarkan, biarkan bahasa semanis gula
meratah fikir matang yang meneroka
bukan lagi dengan imej-imej selesa
tetapi dengan gerhana realiti semasa
sesedar kita telah lama terperangkap
dalam fatamorgana indah bersalut asap
dari terang masa depan menjadi gelap
ternyata kita berulang membuat silap
memanda jaga sudah lama terlelap
anak beranak dan kroni gila menyonglap
maka jarak cabaran semakin kecundang
tertinggal jejak global jauh ke belakang


akan dikerumuni wajah-wajah merayu
membawa bayangan manifesto kelabu
tengok-tengok dalam gamat bersembunyi hantu
awas minda dipancing nafsu
jangan, jangan biarkan limpahan saguhati
menjadi candu seribu langkah destini
kerana kita sudah terlebih budi memberi
dan mereka terlebih kenyang mencuri
AMARAN, pangkah tidak sekali pada dacing
yang sudah kronik terlalu hancing
jangan terjerat oleh propaganda
perubahan bukan pilihan kedua
dan biarkan mereka menjadi hamba
tidak lima tahun sekali kita menjadi raja
dulu, kini dan selamanya
di tangan kita, itulah KUASA!


Fudzail
Jebel Ali