Thursday, January 31, 2008

Cerpen 'Lapu-lapu' muncul dalam Dewan Sastera Feb 2008


(Dewan Sastera Februari 2008)


Sudah dua minggu kami dalam sel Muraqabat. Empat manusia terperangkap dalam satu ruang kecil sebuah sel bukanlah sesuatu yang istimewa. Tentunya tidak glamour seperti empat angkasawan berkongsi dalam sebuah kapal Soyuz menuju ke angkasa lepas.
Tetapi takdir telah menentukan yang kami bertemu dalam keadaan yang tidak pernah diduga. Berlainan sebab musabab dan berbeda status kesalahan untuk sementara menumpang salah sebuah sel orang kena tuduh.
Kami masih menanti dengan penuh pengharapan. Menanti untuk dihadapkan ke mahkamah. Pihak pendakwaraya mengambil masa yang panjang dengan kes yang banyak dalam musim perayaan. Kalau sudah jatuh hukuman dan dihantar ke penjara besar, barangkali kami telah mendapat pengampunan sempena hari raya haji lalu dan tahun baru Hijrah nanti. Sudah bebas untuk bersama keluarga dan meneruskan kerja.
Pejam celik kami masih dalam sel Muraqabat. Walau sudah tidak dapat menahan sabar, masih menaruh harapan yang sama. Memang penantian adalah satu penyeksaan. Lebih terseksa apabila setiap dinding dan siling seakan mempunyai mata dan telinga. Seakan memandang dan mendengar setiap gerak geri dengan penuh pemerhatian. Kadang bersuara melantun pengumuman untuk mereka yang akan dibawa ke mahkamah atau ada peguam yang menanti.
“Apa menu hari ini?” Alex bertanya dengan senyuman. Pemuda Filipino yang buncit dan botak itu memang kuat makannya, telah lapar kembali walau baru sahaja makan pagi. Masuk ke dalam sel Muraqabat kerana hutang sepuluh kad kredit yang mencapai dua ratus ribu dirham. Ditahan dalam cuba memboloskan diri melalui jalan darat ke Oman.
Alex keluarkan duit untuk dihantar ke keluarga di Filipina sebagai pelaburan dalam skim cepat kaya yang menjanjikan pulangan segera. Mahu cepat kaya untuk pulang bersama keluarga yang dikasihi di Cebu. Untuk membuka bisnes dan masuk politik.
Rupa-rupanya Alex menjadi salah seorang dari ribuan mangsa skandal penipuan mega. Mangsa kepada seorang tokoh korporat yang juga ahli politik yang kini menghilang bersama puluhan jutaan wang peso. Hilang entah ke pulau mana di antara ribuan pulau.
“Beriyani ikan agaknya!” Jawab Duardo, warga Sepanyol yang sudah berusia lima puluh tahun tetapi maseh awet muda. Rambut masih selebat Julio Iglesias. Duardo ditahan kerana disyakki membawa wang panas dari Rusia untuk dihalalkan secara proses pembersihan yang teratur. Gerak-gerinya rupa-rupanya telah diperhatikan Interpol dan ditahan sebelum sempat keluar lapangan terbang Dubai buat kali ke enam.
Saya selalunya cuba berbual mengenai liga bolasepak Sepanyol kerana anak saya meminati pasukan Barcelona. Tetapi Duardo bukan kaki bola, sekadar kaki judi bertaruh keputusan perlawanan bola. Duardo hanya kenal nama-nama pemain sepanyol seperti Carlos Poyel, Raul, Fabregas, Iker Casillas dan kadang bertukar dengan nama-nama pemain lain yang bermain di Liga.
Mendengar beriyani ikan disebut, Hashim, kawan senegara dan sebangsa itu segera tersenyum. Hashim yang dulu pernah menjadi bos, sebelum dia dibuang kerja, melarikan diri dan kini sudah dua minggu menjadi rakan dalam tahanan. Dia juga paling senior antara kami dalam sel Muraqabat. Macam tok penghulu yang sedikit sebanyak memberitahu politik dalaman sel. Siapa yang perlu dielakkan dan siapa yang boleh dibuat kawan. Termasuk tips untuk membeli rokok dan kad telefon.
“Ikan kerapu memang sedap!”
Hashim memang suka makan ikan. Dari ceritanya, dia ditahan oleh polis dilapangan terbang Dubai sebaik masuk ke kaunter imigresen. Transit di Dubai setelah katanya mengerjakan haji. Singgah untuk urusan bisnes sebagai konsultan membawa pelabur dari UAE ke Malaysia. Projek-projek yang berbilion nilainya.
Dia tidak menyangka rupa-rupanya ada lapuran polis dan kes pecah amanah yang disebut dimahkamah menanti kedatangannya. Hashim mendakwa dia dianiaya oleh syarikat lamanya, yang juga syarikat saya bekerja. Sanggup bersumpah yang dia tidak bersalah dengan menjunjung Quran kalau perlu di mahkamah.
“Kerapu itu hammour ke?” Tanya Alex.
Saya mengangguk. Sejak berada dalam sel, makan bukan masalah. Makanan arab dan makanan asia bersilih ganti. Sebagaimana para tahanan yang juga bersilih ganti, walau ada yang sudah berbulan menanti tarikh perbicaraan.
Selain makan, aktiviti untuk memunafaatkan masa adalah terhad. Membaca surat, membaca buku, membaca quran kalau rajin, menulis surat, main catur, main dam, tengok TV yang hanya ada dua siaran yang selalu menjadi perebutan dan menunggu hari lawatan isteri serta kawan-kawan. Paling banyak kami berborak, kadang berhujah dan kadang mendiamkan diri untuk berfikir tentang nasib diri dari musibah yang merungsingkan jiwa. Sambil rontaan batin yang berpuasa sesekali menembusi siling dan dinding.
Terutama nasib saya yang ditahan hanya kerana menandatangani sekeping cek syarikat yang tendang. Saya dihantar ke Dubai oleh sebuah syarikat pembinaan Malaysia sebagai pengarah operasi.
Sewaktu pembekal menunaikan cek setelah tempoh pembekalan tamat, akaun syarikat masih belum menerima wang dari Kuala Lumpur. Syarikat pembekal tersebut membuat lapuran polis tanpa sempat kami berunding.
Apabila saya mahu berangkat ke Kuala Lumpur untuk menyelesaikan pelbagai tuntutan dari pembekal dan pembayaran gaji pekerja yang tertunggak, saya ditahan oleh pihak imigresen UAE kerana nama telah disenaraihitamkan. Polis cawangan khas segera dipanggil untuk soal siasat. Hari malang sebelum hari raya haji itu, saya tidak masuk ke pesawat yang menanti, tetapi masuk ke sel Muraqabat yang sentiasa menjadi hotel percuma.
Begitulah undang-undang negara Arab ini, setiap penandatangan cek yang ditendang akan didakwa atas kes jenayah walau bukan cek sendiri. Masuk dalam penjara dulu sebelum apa-apa rundingan.
Oleh kerana nilai cek tendang yang melebihi 1 juta Dirham, saya tidak dibenarkan ikat jamin. Syarikat juga nampaknya agak perlahan untuk membantu terutama lewat dalam mendapatkan khidmat guaman. Dengan keadaan kewangan syarikat yang semakin meruncing, memang sukar untuk menentukan nasib diri. Maka saya berhari raya haji dalam sel Muraqabat bersama mereka yang asing dan tidak dikenali.
Tiba-tiba Alex bangun sambil berkata dengan kuat beberapa kali.
“Lapu-Lapu!”
Kami tersintak. Memandang Alex yang jarang ceria dan selalu melalut mengenai kehidupan dunia yang tidak adil. Mengenai nasib orang susah dan miskin sepertinya terus terbelenggu. Merungut yang orang kaya terus kaya raya dalam merampas hak-hak orang miskin.
Alex tidak henti menyalahkan kepimpinan negara yang korup dan dikuasai segolongan elit. Rakyat terus dihimpit sengsara walau Marcos telah lama menjadi mayat yang diawet. Walau susulan demokrasi dengan pilihanraya yang kelihatan telus, terbuka, bersih menukar ganti pemimpin yang rupa-rupanya lebih kurang sahaja taraf korupnya. Membuatkan lebih ramai warga Filipina merantau ke serata muka bumi untuk melarikan diri dari kemiskinan. Melarikan diri dari kesengsaraan berterusan.
“Hammour itu ikan lapu-lapu dan Lapu-lapu adalah seorang pahlawan nasional Filipina yang ulung!”
Kami terdiam. Di hari Jumaat memang hari untuk bermalasan. Tiada lain yang boleh dilakukan. Menonton TV di ruang luar bersama yang lain lebih membosankan. Siaran arab tidak difahami. Manakala siaran Inggeris pula hanya filem-filem lama yang diulang tayang.
Sudah beberapa kali pergaduhan berlaku apabila ramai berebut-rebut mahu menonton siaran kegemaran masing-masing. Lebih hebat dari bergaduh berebutkan kesempatan menggunakan telefon untuk malam-malam tertentu. Mungkin bergaduh sebagai escapism semata-mata. Melepaskan kejemuan. Melepaskan monotonous.
Apalagi kalau melibatkan samseng dan mafia dari warga ekspatriat tertentu. Mafia India dan mafia Pakistan yang menjadi majoriti, seperti di luar sana mereka adalah majoriti yang menguasai perdagangan dan pekerjaan.
Tetapi yang pastinya, bukan semua orang kena tuduh itu jahat dan melakukan apa yang didakwa. Tentunya juga bukan semua yang mendakwa tidak bersalah itu memang bersih dari dakwaan. Mahkamah juga kekadang bukan penentu keadilan sepenuhnya. Hakim mungkin boleh dijual beli mengikut harga maruah.
Begitupun, saya pasti yang saya tidak bersalah. Dan keluarga dan kawan-kawan diluar berusaha untuk membebaskan, termasuk melalui sebuah blog. Usaha untuk memberi tekanan kepada lembaga pengarah dan pengurusan syarikat yang nampak mementingkan diri. Cakap tidak serupa bikin. Lebih memikirkan mengenai survival diri dari para pekerja yang telah bertungkus lumus untuk memajukan syarikat.
Ruang sel Muraqabat sepi seketika mendengar Alex menjerit. Terdengar suara-suara dari sel lain. Bagi yang muslim, menanti solat Jumaat dalam beberapa jam lagi. Yang bukan muslim pula tentunya menanti makan tengahari.
Hashim ketawa terkekeh-kekeh. Duardo ketawa kecil. Saya pula cuba memahami reaksi spontan Alex.
“Lapu-Lapu adalah pahlawan Filipina yang telah membunuh Ferdinand Magellan dan menggagalkan orang Sepanyol dari menakluki kepulauan kami!”
Duardo tersintak. Hashim bertambah hilainya. Saya pula bertambah berminat untuk mendengar Alex merapu kerana sejarah memang sesuatu yang diminati sejak kecil.
“Ikan Lapu-lapu?”
Memang selalu juga kalau di pasar Dubai atau Sharjah terdengar penjual ikan menyebutnya. Kebanyakan penjual menyangka saya salah seorang dari warga ekspatriat Filipino. Malah Alex sendiri menyangka saya dan Hashim sebagai salah seorang rakan ‘kabayan’ sewaktu pertama kali bertemu. Sesuatu yang sudah menjadi sebahagian dari rencah dan sambal kehidupan di Dubai apabila orang Filipino lebih ramai jumlahnya. Sesuatu yang menyakitkan hati kerana orang Malaysia tentunya jauh lebih kelas dari orang Filipino. Kebanyakan mereka adalah pekerja bawahan.
“Lapu-Lapu juga adalah nama seorang datu di pulau Mactan. Setelah pulau lain di takluk dan dikristiankan oleh Magellan, salah satu yang tinggal ialah Mactan....!”
Alex terhenti. Memandang Duardo yang seakan terkedu. Mungkin Duardo tidak pernah ambil kisah dan tidak peduli tentang sejarah. Tentang kezaliman penaklukan Sepanyol di kepulauan Filipina. Mungkin juga ignoran mengenai sejarah Sepanyol yang pernah di perintah Islam selama 500 tahun.
Tetapi ada satu perkataan yang menarik perhatian saya. Perkataan ‘datu’.
Saya menoleh kepada Hashim.
“Datu itu rasanya Datuk!”
Berubah muka Hashim menjadi merah. Dalam minat mendengar sejarah Filipina, saya terlupa seketika yang Hashim pernah meletakkan gelaran Datuk di depan namanya sewaktu menjadi bos dahulu. Ramai dikalangan warga Malaysia di Dubai yang memanggilnya Datuk Ir. Hashim. Sebelum terbongkar yang dia rupanya Datuk palsu. Walau dia mendakwa sebaik bertemu dalam sel Muraqabat yang dia memang mendapat pingat kebesaran sebuah negeri yang membawa gelaran Datuk, cuma dia belum mengambilnya kerana tidak mempunyai cukup wang untuk membayar orang tengah.
Hashim dulu selalu bercerita tentang hubungan rapatnya dengan para Sheikh di UAE dan orang politik ternama di Malaysia. Malah pernah mendakwa yang seorang Sheikh menawarkan Hashim salah seorang anaknya sebagai isteri. Dari cerita Hashim, memang dia cukup hebat apalagi sebagai seorang bekas ketua pemuda negeri. Tetapi Hashim yang hebat itu rupanya sekadar manusia yang penuh kepalsuan.
Lebih menggemparkan yang rupa-rupanya juga Hashim bukan siswazah kejuruteraan yang melayakkan gelaran Ir. Sebaik terbongkar siapa sebenarnya Datuk Ir. Hashim, dia menghilangkan diri dan pihak syarikat mendapati dia telah banyak melakukan pecah amanah. Lapuran polis dibuat dan dia didakwa tanpa kehadirannya di mahkamah.
Nampak Hashim menjadi serba-salah. Menjadi sensitif mendengar perkataan Datuk. Saya masih teragak-agak mahu memanggilnya Haji Hashim, tidak pasti dia benar-benar naik haji ke Makkah. Mana mungkin boleh keluar dari Jeddah dengan menggunakan paspot hijau haji dan pulang dengan paspot biasa. Mungkin dia naik haji di London atau Paris. Malas untuk bertanya lanjut dalam keadaan sama-sama kena tahan dan setelah tahu siapa sebenar Hashim. Biarkan sahaja dia tenggelam dan lemas dalam dunia kepalsuannya.
Saya menoleh ke arah Alex yang terus bercerita dengan penuh semangat.
“Datu itu apa maksudnya?”
“Datu itu gelaran untuk ketua! Semua ketua masa itu bergelar datu!”
“Lapu-Lapu ini orang apa?”
“Saya rasa dia keturunan Melayu seperti kamu dan beragama Islam!”
“Jadi wira kebangsaan Filipina yang pertama itu Melayu dan Muslim?”
“Kami semua dulu rasanya rumpun Melayu dan beragama Islam sebelum disepanyolkan dan dikristiankan!”
Saya ketawa bukan kerana lucu cerita sejarah yang memilukan itu tetapi cara Alex bercakap Inggeris dalam telo Filipino. Alex mencemik ke arah Duardo yang nampak cuba memahami apabila Alex bercakap laju. Bahasa Inggeris Duardo juga tidak sefasih saya dan Hashim. Sebetulnya, kami bercakap Inggeris mengikut telo masing-masing dan memang kadang melucukan. Itu belum lagi berbual dengan warga dari Afrika yang lebih pekat telonya. Kami sudah biasa dengan telo warga India, Pakistan dan Arab berbahasa Inggeris.
“Islam pernah memerintah Sepanyol sebelum Magelan di bunuh Lapu-Lapu, sebelum Sepanyol menakluk dan mengkristiankan Melayu di Filipina. Mungkin sebagai membalas dendam dengan bertindak ganas dan kejam terhadap orang Islam!”
Saya menambah. Dalam terus berfikir tentang kaitan antara Sepanyol, Filipina, Islam, rumpun Melayu di nusantara. Yang saya ingat hanyalah mengenai Jose Rizal sebagai wira. Tidak Lapu-Lapu. Jose Rizal dikatakan boleh bertutur dalam 22 bahasa. Seorang genius yang mempunyai banyak bakat dan kebolehan. Antaranya sebagai arkitek, artis, ahli perniagaan, kartunis, wartawan, ahli ekonomi, pendidik, petani saintifik, pakar sejarah, pereka, ahli musik.
Tiba-tiba sel yang semakin membosankan ini meruntuhkan sedikit tembok prejudis terhadap orang Kabayan. Persepsi mengenai warga ekspatriat Filipino yang datang dari sebuah negara yang miskin. Yang porak peronda akibat diktator bernama Ferdinand Marcos, proksi Amerika. Siapa boleh lupa Imelda Marcos dengan koleksi kasutnya.
Begitupun, kemungkinan keruntuhan bangsa Filipina bermula dari kezaliman Sepanyol ratusan tahun lalu. Mereka dicandukan dan dilemahkan dari menjadi penentang penjajahan. Akibat yang terus memanjang dari generasi ke generasi.
Sel Muraqabat menemukan saya dengan sejarah dari perspektif berbeda melalui Alex. Alex bukan Datu Lapu-Lapu. Bukan Jose Rizal. Jauh sekali bukan Ferdinand Marcos. Alex hanya seorang pemuda Filipina yang berbekalkan ijazah dalam kejururawatan untuk mencari rezeki di bumi UAE. Desakan hidup, penderitaan dari kemiskinan dan impian besar menjerumuskan dia ke dalam perlumbaan untuk cepat kaya melalui jalan mudah.
“Sejarah adalah untuk dikaji agar kesilapan yang sama tidak berulang. Bukankah begitu Hashim?” Saya cuba membawa Hashim ke dalam perbualan yang semakin memberi anjakan minda dan pradigma dalam kekusutan emosi. Memberi kesegaran dalam ruang kecil yang dindingnya terus mendengar dan memandang. Sesekali bersuara. Sesekali berdehem.
Hashim tersintak. Mengangguk-angguk dan kemudian merenung ke siling. Siling yang juga terus memandang dan mendengar.
“Bagaimana Duardo? Apakah yang boleh kita belajar dari sejarah Sepanyol di Filipina?”
Duardo menggaru kepala. Juga mengangguk-angguk. Mengelakkan untuk memberi apa-apa jawaban.
“Apa yang saya pelajari, nenek moyang kami dahulu pernah beragama Islam dan mungkin bercakap satu bahasa dengan kamu!”
Alex bercakap dengan penuh semangat seperti pemidato di lorong-lorong belakang Manila. Kemudian tersedu perlahan-lahan sambil memandang ke arah Duardo.
“Kami lebih kuat kristiannya kini dari yang mereka mengkristiankan kami. Nama-nama kami semuanya berbaur Sepanyol kecuali yang Islam di selatan. Nama negara pun diambil dari raja Sepanyol. Identiti yang bercampur-baur. Negara kami pula menjadi miskin walau kekayaan alam melimpah ruah. Pemimpin kami tidak boleh diharapkan. Lapu-Lapu yang gagah berani hanya tinggal monumen!”
Saya memandang ke arah dinding yang mungkin asyik menonton dan mendengar sebabak lagi adegan soap opera dalam realiti TV sel Muraqabat. Dinding yang telah menjadi sebahagian dari set kehidupan disebalik tembok tinggi di tengah-tengah bandaraya Dubai.
Dalam pada itu entah kenapa saya teringat kepada Enrique Iglisias. Penyanyi popular anak Julios Iglesias yang beribukan seorang wanita Filipino. Nama Enrique juga nama kepada Panglima Awang, yang juga dikenali sebagai Henry the Black, Henrich, Ariberto Espinosa yang didakwa konon-kononnya orang pertama yang mengelilingi dunia setelah Magellan dibunuh Lapu-Lapu. Mitos keunggulan bangsa yang diselaputi dongengan.
“Apakah kamu mahu menuntut ganti rugi dari kerajaan Sepanyol dengan segala yang telah berlaku? Berapa trillion Euro? Atau kamu mahu minta menjadi warganegara Sepanyol? Mudah untuk bekerja di negara-negara Eropah!”
Tiba-tiba Duardo bangkit dan bersuara tinggi. Nampak serius. Tetapi nadanya agak sinis. Seakan jengkel. Seakan muak dengan sejarah yang mengubah warna geografi merata bumi. Seperti pemanasan global yang mengubah cuaca dan iklim planet.
Mungkin juga Duardo mahu melepaskan geram pada birokrasi perundangan Dubai. Walau agak canggih dengan teknologi tetapi masih terperangkap dengan mentaliti dunia ketiga.
“Atau ubah sahaja nama kamu dari Alex kepada Lapu-Lapu, masuk Islam dan berjuang dengan Osama bin Laden untuk mengebom Sepanyol. Memusnahkan apa sahaja peradaban Barat!”
Hashim tiba-tiba ketawa melihat reaksi Duardo. Agak kuat hilaiannya. Bergegar sel Muraqabat. Macam orang yang tidak siuman atau mabuk.
Alex terpinga-pinga. Begitu juga Duardo yang tidak pasti dengan keadaan.
Terdengar dari TV sebuah lagu klasik yang seakan mengambarkan suasana dalam sel Muraqabat. Lagu kumpulan Eagles dengan lirik berhantu, “You can checkout any time you like, But you can never leave!”
Petikan gitar solo dari irama kumpulan Eagles yang menusuk itu diganggu oleh suara Hashim yang dalam ketawa mengilai berkata kepada kami, “Walau apa pun yang berlaku ratusan tahun dahulu, saya harap menu makan tengahari ini ialah beriyani Lapu-Lapu!”
- Tamat -

Dh3bn sixth creek-crossing - world's longest Arch bridge



A 12-lane sixth crossing of Dubai Creek is to be built at a cost of Dh3 billion, the Roads and Transport Authority has announced.

The crossing will be the world’s longest arch bridge and will cover a distance of 1.6 kilometres, linking Al Jaddaf in Bur Dubai with a road separating The Lagoon and Dubai Festival City The design has been endorsed by His Highness Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Vice-President and Prime Minister of the UAE and Ruler of Dubai.


The bridge, with a 205m-high, 607-metre long arch, will be able to carry more than 20,000 vehicles per hour in each direction. The Green Line of Dubai Metro will run across the centre of the upcoming bridge and a Metro and water transport station will also be constructed on the crossing.


The contract for the project was awarded to American firm FXFOWLE. It won the tender following an open invitation. Construction begins in March and the project will be completed in six different phases over four years. It includes the construction of a 12km road networks and 22 intersections leading on and off of the span.