Sunday, January 20, 2008

Apakah Yang Boleh Dipelajari Dari Kepakaran Pembinaan Malaysia?

Projek 'Universe', baru diumumkan 20 Jan 2008 di Dubai




Kolum ‘Dubai Online 2.0’ oleh Fudzail
No.37

Apakah Yang Boleh Dipelajari Dari Kepakaran Pembinaan Malaysia?

Seperti yang dilapurkan Bernama, Rafidah Aziz menyarankan kepada kerajaan dan korporat Oman untuk mengeksploitasi kepakaran Malaysia dalam bidang pembinaan.

Rafidah menyatakan bahawa kejayaan ‘kepakaran Malaysia’ di Asia Barat termasuk kompleks rekreasi Green Acres di Muscat, pembangunan dan pembinaan hotel dan kediaman mewah di Palm Jumeirah dan pembinaan bangunan pejabat di Dubai.

Selain dari litar F1 di Bahrain, terowong di Lapangan Terbang Antarabangsa Doha dan Hospital Sheikh Nasie Ahmad Al Thani di Qatar.

Rafidah juga menyebut pembinaan Janakuasa bebas Shoaiba dan kampus universiti Al Faisal di Saudi Arabia.

Sebenarnya, banyak syarikat pembinaan Malaysia memang mempunyai kepakaran dan pengalaman untuk bersaing dengan syarikat tempatan dan antarabangsa yang lain. Sesuatu yang tidak boleh disangkal kerana keupayaan anak-anak Malaysia dalam pelbagai bidang memang cukup diterima baik.


Projek Meydan di Dubai



Projek Pulau Al Reem di Abu Dhabi diterajui oleh konsortium syarikat pembinaan Malaysia. Manakala projek kota lumba kuda Dubai, Meydan bukan sahaja direkabentuk malah di terajui juga oleh syarikat pengurusan projek dan pembinaan Malaysia. Selain projek mega lain di Saudi Arabia yang melibatkan usahasama antara syarikat Malaysia dengan syarikat tempatan.

Projek Reem Island di Abu Dhabi

Ada juga syarikat lanskap dari Malaysia yang terlibat dalam pembinaan Burj Dubai serta projek lain di Qatar. Syarikat ini dilapurkan sedang mengalami masalah kewangan dan tertunggak bayaran gaji pekerja beberapa kali.

Masalah dan cabaran memang ujud di mana-mana. Begitu juga syarikat bermasalah diantara yang berjaya juga adalah sesuatu yang normal, apalagi kalau staf dan pengurusan yang bermasalah.

Dengan pembangunan pesat di negara Teluk yang dinilai melebihi USD1.5 trilion dan kekurangan pakar dalam pelbagai bidang, terutama sekarang ini dalam sektor pembinaan, syarikat dan profesional Malaysia memang mempunyai ruang luas untuk meneroka.

Mereka yang terlibat dengan sektor pembinaan memang tahu peluang yang banyak untuk mendapat kontrak. Wang bukan lagi masalah dengan cairan tunai dari harga petrol, tetapi menurut sumber rasmi, mendapatkan kepakaran menjadi halangan yang membantutkan atau melambatkan projek.

Tidak kurang yang ditipu oleh mereka yang nampak ada dikalangan syarikat Malaysia yang agak desperado untuk mendapatkan kontrak. Malah tipu menipu juga bukan sesuatu yang luar biasa, baik di UAE, mahupun di Malaysia. Selain itu, know-who juga memainkan peranan penting dalam bisnes di mana-mana, kecuali keupayaan dan kemampuan syarikat yang sudah bertaraf global.

Gambar dari http://klikcrazy.blogspot.com/


Seorang kawan yang mengetuai sebuah syarikat pembinaan Malaysia di Dubai mengakui, salah satu tarikan utama untuk memberi kontrak kepada syarikat pembinaan Malaysia ialah kerana sikap kita yang tidak begitu ‘keras’ dengan pihak pemaju. Lebih mudah bertolak ansur.

Pengalaman saya sendiri di pihak pemaju, memang agak sukar ketika ini untuk mendapatkan kontraktor berwibawa kerana kebanyakan yang ternama, mapan dan berpengalaman juga tidak mampu lagi untuk menerima projek baru. Mereka bukan sahaja menolak pelawaan tender, malah kalau membida pun menaikkan harga untuk memastikan tidak terpilih.

Rundingan secara langsung juga menjadi pilihan kerana dalam suasana pasaran sekarang, lebih baik bekerja dengan the devil yang dikenali.

Lantas dengan jurang yang ada, selain Korea dan Jepun, syarikat pembinaan baru dari China, India, eropah, Australia, Afrika Selatan malah Thailand mendapat kepercayaan. Seterusnya, kontraktor dari Malaysia juga kini termasuk senarai untuk diberi pertimbangan, walau sebuah syarikat pembinaan berkaitan dengan UMNO pernah menghitamkan rekod jenama Malaysia.

Dengan pengumuman pelbagai koridor ekonomi dengan nilai projek beratus bilion di Malaysia, tidak pasti syarikat pembinaan Malaysia yang bukan kroni akan sama mendapat habuan. Pada yang lain, lebih baik bersaing di rantau ini dan ramai yang telah berjaya.

Seperti di India yang sedang menerima pelaburan hebat dalam pelbagai projek hartanah, menjadikan negara-negara Teluk kehilangan pekerja yang balik negeri. Ratusan ribu graduan serta buruh dari India yang selama ini membekalkan tenaga pekerja kini menikmati gaji dan pakej yang lebih baik di negara sendiri.

Walaupun tidak perlu, tetapi kerajaan Malaysia melalui agensi seperti CIDB atau yang lain, memang boleh memainkan peranan untuk membuka ruang lebih luas kepada syarikat pembinaan Malaysia yang berwibawa untuk menembusi pasaran di sini.

Syarikat-syarikat yang sederhana besarnya juga boleh mengujudkan konsortium. Bukan sekadar untuk kontrak pembinaan, tetapi lain-lain yang berkaitan. Antara prospek besar ialah dalam sektor pengurusan fasiliti dan penyelenggaraaan.

Sebahagian pasukan remaja bola Malaysia di Dubai, Malaysian Tigers.

Persoalannya, apakah yang boleh dipelajari dari kepakaran pembinaan Malaysia?

Apakah dari segi pengalaman kontrak projek mega, kualiti kerja, kualiti pembinaan, kecekapan dan profesionalism staf, etika kerja dan kerja menepati jadual?

Apakah yang unik dan menjadi kekuatan pemain sektor pembinaan kita?

Selepas hujan lebat yang menyebabkan banjir dan bangunan kebocoran, kepakaran dalam menangani masalah begini nampak terserlah. Tetapi bukan Malaysia sahaja yang mempunyai kepakaran tersebut.

Salah satu rungutan buat ramai pembeli, kualiti pembinaan di Dubai misalnya masih ditahap rendah. Ini mungkin disebabkan oleh jadual pembinaan yang tidak munasabah. Beberapa pemaju ternama telah mula memperbaiki masalah ini dengan merangka jadual yang lebih sesuai disamping mencari kontraktor yang berwibawa.

Sebaliknya juga, Malaysia, terutama syarikat pembinaan juga boleh mempelajari kepakaran pembinaan dari persaingan hebat di rantau ini. Terutama dari syarikat tempatan sendiri yang bukan sahaja mempunyai kepakaran setanding atau lebih baik, tetapi juga pengalaman ‘tempatan’.

Sudah ada usahasama yang berjaya mendapat kontrak besar, sesuatu yang semakin biasa dilakukan.

Jenama Malaysia dalam sektor pembinaan kalau dinilai dari apa yang ada di Putrajaya dan pelbagai skandal penyelewengan mega lain sedikit sebanyak memberi gambaran negatif. Kita boleh belajar dari rekod kesilapan dan kelemahan yang ada dan memperbaiki keupayaan di luar negara.

Begitupun, tepuk dada tanya selera untuk syarikat Malaysia bersaing dan berjaya di gurun yang sedang berebut-rebut mencurah trilion dollar untuk mengubah lanskap kearah negara maju (dari segi lahiriah terutamanya)!

Yang pasti, kita perlukan jurujual yang lebih baik dari Rafidah Aziz, malah lebih baik dari bos besarnya sendiri yang seakan tidak berminat untuk makan angin ke rantau ini!

(Fudzail adalah ekspatriat Malaysia yang bermastautin di Dubai sejak tahun 2000. Berkelulusan sains komputer dari New Zealand. Pernah terlibat dalam pembangunan Dubai Internet City, Palm Jumeirah dan 15 projek mega lain. Kini menguruskan projek pembinaan prasana dan utiliti di Palm Jabel Ali. Beliau boleh dihubungi melalui fudzail@yahoo.com serta kerjadubai.blogspot.com)