Tuesday, January 15, 2008

Hujan






hujan menyimbah gurun
melitupi saujana pandangan
sebagai paparan
perjalanan
berselang seli
tidak monotonous






hujan membawa rindu
pada sekitar yang biasa
warna-warna rimba
wajah-wajah desa
di kejauhan ruang







hujan adalah peristiwa
memori nak muda
sentimental
perantau yang terkenang
ibu dan ayah



usahlah berhenti
walau sama menanti
wangi semarak bau
selepas hujan
yang membakar nostalgia!

Fudzail
Palm Jebel Ali
15 Januari 2008

Huru-Hara Dubai Kerana Bush dan MSE2008 menjadi MESS2008.













Kolum ‘Dubai Online 2.0’ oleh Fudzail
No.35


Hari Ahad 13 Januari 2008, tiba-tiba Dubai seakan berada dalam zon kecemasan. Begitu banyak jalan, terowong dan jambatan utama yang ditutup. Menimbulkan kekeliruan dan kegamatan buat pemandu sehingga kesesakan di mana-mana.

Dubai menjadi tempat letak kereta dan perjalanan yang biasanya 10 minit boleh mengambil masa lebih sejam.

Tiada pengumuman mengenai penutupan dan tiada pemberitahuan mengenai jalan alternatif. Kerana mungkin tiada jalan alternatif. Maklumat yang sedikit ditambah dengan hujan lebat menjadikan keadaan agak huru-hara.

Panggilan juga sesak ke serata stesen radio yang sama tidak dapat berfungsi baik untuk menghebahkan maklumat sebenar. Kemarahan penduduk yang terperangkap dalam kesesakan memang diduga kerana hari Ahad adalah hari pertama untuk minggu bekerja.

Banyak urusan, mesyuarat dan rundingan bisnes yang tergendala dan tertunda.

Keadaan ini memberikan gambaran mengenai kelemahan pihak berkuasa dalam menangani kegawatan yang berlaku. Mungkin pihak berkuasa tidak menjangka keadaan yang begitu huru-hara akan berlaku.

Hanya kerana menjaga keselamatan seorang Presiden Amerika.

Kabar angin mengenai hari cuti pada esoknya untuk Dubai, Isnin 14 Januari disambut dengan kegembiraan apabila diumumkan secara rasmi. Tetapi berita itu seakan parodi buat mereka yang terpaksa berjam-jam di jalan raya untuk pulang ke rumah.

Memberi cuti adalah keputusan terbaik kerana Bush akan membuat lawatan ke serata Dubai dan boleh menambahkan huru-hara.

Kadar Pengeluaran Dalam Negeri Dubai dalam tahun 2006 ialah AED157 bilion dan penutupan sehari membawa kerugian dalam AED1 bilion.

Dengan lebih 100 ribu syarikat beroperasi di Dubai sahaja, kerugian lebih adalah jauh lebih dari itu kerana cuti mengejut menyukarkan untuk membuat pindaan dan perubahan.

Itu tidak termasuk kerugian dalam bentuk lain yang tidak boleh ditaksir, seperti masa ratusan ribu yang terperangkap dalam kesesakan.

Ada beberapa insiden melucukan sewaktu kehadiran Bush di Dubai. Antaranya ialah kami tiba-tiba ditemani dua orang putih (Amerika) sewaktu makan pagi di sebuah restoran mamak Kerala. Restoran popular untuk rakyat Malaysia itu, selama ini hanya dilangani mereka yang tidak berkulit putih.

Manakala seorang sahabat yang keluar untuk sarapan pada hari Isnin tidak dapat pulang ke rumah sehingga petang kerana semua jalan ke rumahnya yang berhampiran lapangan terbang di tutup!

Pada hari Ahad juga saya sempat berkunjung ke Malaysia Services Exhibition 2008 (MSE2008) anjuran MATRADE, dirasmikan oleh Naib Emir Sharjah dan Rafidah Aziz yang berlangsung di pusat ekspo Sharjah hingga 15 Januari.

Tidak pasti sama ada kerana kesesakan jalanraya, hujan atau Bush, mahupun tarikh serta lokasi, yang menjadikan MSE2008 amat lengang sekali. Lebih ramai peserta dari 170 buah syarikat Malaysia berbanding dengan pengunjung.

Terdengar rungutan dari ramai peserta yang terasa tertipu. Seorang peserta yang sudah biasa dengan pelbagai ekspo dan pamiran di seluruh dunia sebegai peserta mahupun pelawat memberitahu, “Inilah ekspo paling BORING yang pernah saya sertai!”

Dengan ruang dewan pamiran yang luas, memang nampak hebat MSE2008. Lebih hebat lagi kalau dipenuhi pengunjung profesional. Pada hari Isnin, terdapat penambahan pelawat tetapi majoriti adalah mereka yang mahu menghabiskan cuti dengan membawa anak-anak. Tentunya bukan serius untuk urusan bisnes.

Termasuk golongan senior yang sama mengumpul cenderahati untuk memenuhi beg dari gerai pameran. Selain menikmati sampel makanan percuma.

Seperti ramai peserta memberitahu, kualiti pelawat yang datang juga tidak seperti yang dijangkakan atau dijanjikan oleh penganjur.

Kelihatan forum dan majlis taklimat dihadiri dalam 6 hingga 10 orang (wakil syarikat sendiri), walau ada lebih 40 kerusi yang kosong. Lebih ramai, terutama peserta MSE2008 sendiri yang berdiri menunggu untuk makan jamuan yang disediakan. Seperti biasa, berebut-rebut.

Ini adalah gambaran yang memalukan untuk Malaysia yang sudah berjaya mempromosikan ‘Truly Asia’. Kelemahan dari segi promosi dan pemasaran mungkin sebab utama kegagalan MSE2008 untuk menarik lebih ramai pelawat profesional yang berjumlah ratusan ribu di Dubai.

Dikatakan kos MSE2008 adalah RM11 juta dimana syarikat yang menyertainya tidak perlu membayar apa-apa, kecuali tiket penerbangan dan penginapan yang juga diberi subsidi. (Seorang peserta mencelah, itu belum lagi dikira jumlah yang BOCOR, amalan biasa yang setiap tahun didedahkan oleh lapuran Ketua Audit Negara)

Jumlah RM11 juta itu wang rakyat Malaysia boleh ditambah untuk kerugian Dubai dalam sehari dengan kehadiran Bush, biarpun Sharjah dan Dubai adalah dua emiriyah berbeda. Tetapi RM11 juta adalah besar untuk sesuatu yang sepatutnya mendapat pulangan bilion dalam urusan bisnes. Kalau dikira dengan masa lebih 300 peserta, tentunya lebih dari RM11 juta.

Barangkali Rafidah yang dikenali sebagai Ratu Parlimen kerana lebih banyak bermain golf di luar negara (seperti bos besarnya) dari menghadiri sidang parlimen, tidak perasan (tidak pasti sama ada dia bermain golf dalam hujan atau membeli-belah di pelbagai mall mega serata Dubai) atau tidak tahu yang MSE2008 boleh ditukar kepada MESS2008.

Ketua wanita montel itu mungkin kesibukan kerana sibuk melobi menantu PM dan dilobi oleh makcik-makcik dan nenek-nenek barisan kepimpinan wanita untuk pilihanraya ke 12 agaknya, tidak seperti Bush yang cukup dua penggal menjadi presiden dan makan angin di tahun terakhir menjadi badut popular dunia!

(Fudzail adalah ekspatriat Malaysia yang bermastautin di Dubai sejak tahun 2000. Berkelulusan sains komputer dari New Zealand. Pernah terlibat dalam pembangunan Dubai Internet City, Palm Jumeirah dan 15 projek mega lain. Kini menguruskan projek pembinaan prasana dan utiliti di Palm Jabel Ali. Beliau boleh dihubungi melalui fudzail@yahoo.com serta kerjadubai.blogspot.com)