Sunday, January 13, 2008

Musim Hujan dan Tetamu Panas

Kolum ‘Dubai Online 2.0’ oleh Fudzail
No.33

Musim Hujan dan Tetamu Panas

Presiden Bush sedang membuat lawatan ke negara-negara Teluk sebaik melawat sekutu utamanya, Israel. Beliau disambut dengan protes di Bahrain dan pada hari ini (Ahad 13 Jan 2008) akan tiba di UAE.

Hujan lebat dengan cuaca mendung berterusan di UAE mungkin kebetulan untuk menyambut seorang Ketua Polis, Ketua Pendakwaraya dan Ketua Hakim dunia yang dalam tahun terakhir berkhidmat sebagai proksi ‘Israel’.

Tiada protes jalanraya di sini untuk seorang manusia yang dikatakan paling berkuasa selagi tidak melawan kehendak pencatur Yahudi itu, kecuali artikel dan surat melalui akhbar. Sememangnya sebagai juga sekutu kebanyakan negara Arab, terutama Saudi Arabia, Bush mahu kelihatan sahabat kepada negara-negara Islam walau tidur sekatil dengan rejim pengganas Israel.

Taraf pemantauan dan kawalan keselamatan di tingkatkan. Delegasi Bush turut disertai ratusan pengawal peribadi, puluhan kenderaan SUV dan para pegawai perisikan. Bukan mudah untuk memberi perlindungan paling baik untuk lelaki yang popular dengan pelbagai aksi badut di youtube.

Dalam waktu yang sama, pengerusi OIC yang juga perdana menteri, menteri kewangan, menteri keselamatan dalam negeri dan bapa mertua mithali sebuah negara Hadhari yang mendapat cucu baru, dilapurkan terbang ke Madrid untuk sesi pertama jalan-jalan makan angin tahun ini. Selalunya pesawat peribadi yang dibeli khas itu transit di Dubai untuk ambil minyak.

Dengan demam pilihanraya yang dipenuhi spekulasi tarikh pembubaran parlimen dan lobi-melobi untuk menjadi calun, mungkin tidur beliau semakin lena untuk bermimpikan ilham tarikh pilihanraya.

Rahsia dan misteri pilihanraya adalah drama politik yang terjaga rapi. Walaupun pengerusi SPR yang dilanjutkan khidmat melalui pindaan parlimen mengumumkan yang dia juga tahu tarikh pilihanraya, hanya presiden parti melayu terbesar di dunia itu sahaja yang mempunyai prerogatif untuk menetapkan tarikh, tidak melalui teropong untuk melihat anak bulan.

DYMM Yang di Pertuan Agung juga sedang berada di Dubai untuk menyertai pertandingan Piala Endurance menunggang kuda sejak semalam. Tidak pasti ada program bersama rakyat. Baginda dikatakan selalu juga berada di Dubai, terakhir selepas menunaikan haji yang lalu.

Kalau Agung yang terdahulu ada juga program bersama rakyat seperti berkaraoke.

Hari ini juga menyaksikan, Rafidah Aziz merasmikan ekspo khidmat Servis syarikat-syarikat Malaysia di Sharjah. Dikatakan banyak sekali syarikat yang dibawa oleh Matrade menyertai ekspo ini. Dianggarkan seramai 200 orang delegasi akan memenuhkan bilik-bilik hotel Sharjah.


Ada rungutan mengenai lokasinya tidak begitu sesuai berbanding kalau di Dubai yang memang menjadi pusat ekspo dan bisnes. Untuk ke Sharjah, walau hanya dalam 5 km dari Dubai memang menyeksakan kerana kesesakan jalanraya yang tidak kenal masa dan hari.

Sharjah sendiri sebenarnya dalam proses pembangunan untuk menyaingi Dubai dan emiriyah jiran yang lebih kecil iaitu Ajman. Tetapi Sharjah yang mempunyai seorang Emir cerdas dengan dua PhD itu kelihatan sedikit perlahan dan lewat untuk bersama dengan gelombang pembangunan yang memenuhi bumi UAE.

Dalam hujan begini, tidak pasti Rafidah akan tetap turun padang untuk bermain golf seperti kebiasaan. Tetapi buat kaki golf seperti Rafidah, hujan atau panas tidak menjadi masalah. Apalagi sudah menjadi salah satu jadual kerja untuk bermain golf yang tentunya percuma untuk seorang VVIP veteran itu.

Dua hari lalu, Mat Sabu singgah dalam perjalanan pulang ke tanahair dan sempat ‘berceramah’. Seperti biasa, mendengar ceramah Mat Sabu memang menghiburkan dengan maklumat politik semasa tanahair.

Tetapi dengan audien yang sama, tidak begitu merebak maklumat yang disampaikan. Kebanyakan rakyat Malaysia di sini boleh dikatakan masih dalam suasana tanahair. Tidak mahu kelihatan bersama pembangkang kerana ada yang sampai takut masuk ISA bila pulang nanti.

Begitu berhasil indokrinasi kerajaan BN sehingga kalau berada di luar negara pun, rakyat terus dibayangi pelbagai ancaman dan ugutan. Malah dikatakan pelajar Malaysia di UK juga dipantau begitu hebat oleh MSD. Begitu jumud dan penakutnya tindakan membazir begini.

Memantau mereka yang menentang pemimpin yang rasuah, menyeleweng, zalim, bodoh dan tidak berguna sudah menjadi sebahagian dari kerajaan yang takutkan bayang-bayang sendiri. Apalagi dalam keadaan sekarang yang menyaksikan kesedaran semakin meningkat untuk proses demokrasi melalui pilihanraya yang lebih telus, adil dan saksama.

Begitupun, tidak dapat disangkal yang pihak pemerintah akan kembali berkuasa. Segala jentera akan diperkudakan, diselewengkan, disalahgunakan dan pilihanraya akan jadi sekadar mengesahkan kemenangan ‘demokrasi’ dari sistem yang korup sepenuhnya. Jadilah kita setaraf negara dibawah diktator yang mana setiap pilihanraya, para diktator menang 100% undi walau hanya seorang calun.

Kami juga bertemu dengan salah seorang sahabat lama, usahawan berjaya bertaraf jutawan yang pernah tinggal di Dubai dan datang untuk mengikuti ekspo di Sharjah. Dengan rangkaian bisnes dan sosialnya, kami dapat mendengar pelabagai jenaka terbaru politik Malaysia.

Ada baiknya jenaka politik yang bertebaran melalui youtube, SMS, emel dan blog ini dapat dikumpulkan sebagai bahan pembacaan menarik generasi akan datang. Jenaka yang melucukan, bukan sahaja mengenai Bush, mahupun mereka yang masih mahu mempertahankan lawak perdana seperti Paklah, KJ, Rafidah, Najib, Samy Velu, Soi Lek, ZAM, Nazri Aziz, Abang Zek dan lain-lain yang kurang popular bernama pemimpin, adalah relevan dalam konteks demokrasi.

Sekurang-kurangnya memberi gambaran betapa keadaan semasa memberikan banyak ilham kepada rakyat yang mungkin tidak dapat berbuat apa-apa untuk mengubah keadaan, hatta melalui peti undi yang kini sudah berkotak telus.

Begitupun, jenaka yang diilhamkan dari kepimpinan dengan prestasi buruk, yang dipenuhi skandal, masalah dalaman dan kebobrokan tidak dapat mengurangkan kengerian terhadap masa depan negara dan generasi akan datang.

Pilihanraya sudah semakin hampir dan bagi kami yang kemungkinan tidak dapat mengundi secara fizikal, apalagi melalui pos, hanya dapat membantu dalam bentuk sumbangan berbeda dari jauh.

Diharapkan, kami tidak akan menjelma sebagai pengundi hantu semasa pilihanraya nanti.

Dan harapan besar ialah untuk melihat parti-parti pembangkang bersatu untuk melawan seekor gergasi kerepot bermata tiga, bertangan lima dan berkaki empat yang mempunyai kuasa magik dan sihir bernama barisan nasional!

(Fudzail adalah ekspatriat Malaysia yang bermastautin di Dubai sejak tahun 2000. Berkelulusan sains komputer dari New Zealand. Pernah terlibat dalam pembangunan Dubai Internet City, Palm Jumeirah dan 15 projek mega lain. Kini menguruskan projek pembinaan prasana dan utiliti di Palm Jabel Ali. Beliau boleh dihubungi melalui fudzail@yahoo.com serta kerjadubai.blogspot.com)