Wednesday, January 09, 2008

Memperaga Pemimpin Pelapis



Kolum ‘Dubai Online 2.0’ oleh Fudzail
No.32

Memperaga Pemimpin Pelapis

Ribuan peminat bolasepak kehampaan apabila kesemua tiket perlawanan antara AC Milan dan UAE kehabisan, termasuk saya. Begitupun saya sempat menyelinap masuk setelah masa kedua bermula untuk menyaksikan kehebatan pemain terbaik dunia ketika ini, Kaka.

Malam Selasa 8 Januari menyaksikan Ronaldo, seperti biasa sekadar penumpang untuk separuh masa pertama. Manakala Cafu, Emerson dan Dida menunjukkan kehebatan dalam memastikan pasukan muda UAE yang sedang bersiap ke Piala Dunia sekadar menang sorak.

Dua gol AC Milan dijaringkan oleh Gilardino. Diantara 20 ribu penonton ialah Romario.

Malam sebelum itu, Internacional de Porto Alegre menewaskan Inter Milan 2-1 untuk memenangi Kejohanan Bolasepak Antarabangsa Sheikh Mohammad bin Rashid Al Maktoum dengan hadiah bernilai USD1 juta.

Stuttgart memenangi tempat ketiga setelah menewaskan Ajax 1-0.

Manakala pada Khamis dan Sabtu, Cabaran Dubai akan menemukan empat pasukan bola, iaitu pasukan kebangsaan UAE dan China, Hamburg SV dan Vasco da Gama dari Brazil.

Siri perlawanan ini, walaupun sekadar bercorak ‘latihan’ dan ‘persahabatan’ untuk para pemain superstar dunia sewaktu pertengahan musim, sekurang-kurangnya dapat memberi sedikit gambaran mengenai kehebatan mereka yang bertaraf jutawan ini.

Terserlah adalah pemain-pemain Brazil yang sentiasa membekalkan pemain-pemain handalan dunia. Romario, Ronaldo, Ronaldinho pernah menjadi pemain terbaik dan kini Kaka.

Melihat senario bolasepak di tanahair, tentunya kita masih berada jauh ke belakang dan sukar untuk bangkit sebagai pasukan kuat seperti zaman 70han. Saya sendiri tidak tahu siapa yang bermain untuk pasukan negara dan tidak peduli untuk ambil tahu.

Sememangnya, kita tidak mempunyai barisan pemain bermutu tinggi walaupun Liga M dianggap antara yang berjaya dari segi pengurusan. Di mana-mana, yang menang memang diingati, dan yang kalah, sekadar nota kaki sahaja.

Begitupun pemimpin FAM, sama ada presiden dan Timbalan terus dikuasai oleh orang lama dan orang politik, walau orang muda. Orang politik, tua atau muda, tentunya mahu menggunakan FAM sebagai batu loncatan untuk populariti kerana mudah akses kepada golongan muda.

Politik dalam sukan di Malaysia sudah menjadi darah daging yang sukar untuk dipisahkan walaupun diletupkan dengan bom C4.

Begitu juga sekiranya melihat senario politik yang terus dikuasai pemain-pemain veteran yang telah lupus tarikh kehebatan dan penggunaannya. Manakala pemain-pemain muda, terutama di pihak parti memerintah dikuasai oleh golongan elit yang mana sama ada bapa atau ibu pernah menjadi pemimpin atau bapa mertua sebagai perdana menteri.
Barisan pelapis dikalangan pembangkang juga kurang menonjol dan kita masih mempunyai nama-nama yang sama. Lim Kit Siang, Karpal Singh sudah sinonim dengan DAP, Tuan Guru Haji Hadi dan Tuan Guru Nik Aziz dengan PAS, manakala Anwar Ibrahim dengan Keadilan.

Dalam pilihanraya yang dikatakan akan diadakan dalam bulan Mac nanti, kabar angin mengatakan UMNO akan membariskan pemimpin pelapis yang kebanyakan dibawah umur 40 tahun. Mereka ini tentunya mempunyai kabel besar dengan pemimpin yang menumpang di kediaman rasmi perdana menteri.

Bagi saya, secara peribadi, biarpun mereka pemimpin baru dan pelapis, tiada banyak perubahan dalam segi politik dan kepimpinan. Masih dalam acuan sama dan boleh jadi lebih teruk dari kepimpinan peringkat nasional, negeri mahupun bahagian yang sedia ada.

Parti yang dikuasai oleh ‘warlords’, rasuah dan wang tidak akan berubah status quo kerana setiap dari mereka mempunyai kepentingan peribadi yang lebih besar dari kepentingan agama, bangsa dan negara.

Pemimpin mungkin baru tetapi sistem masih ditakuk lama. Maka perubahan yang diharapkan hanyalah dari segi wajah dan jasad, isinya sama sahaja buruknya.

Mendukacitakan yang pemimpin tertinggi seperti seorang perdana menteri dipilih oleh warlords ini. Lebih mendukacitakan yang perdana menteri semasa dikatakan sekadar boneka untuk perdana menteri muda yang sedang menanti.

Alangkah baiknya sekiranya ada pilihanraya seperti Amerika dan Indonesia di mana rakyat boleh mengundi secara langsung untuk memilih presiden. Manakala jemaah menteri dipilih bukan berdasarkan kaitan politik. Ini semua hanya impian semata-mata selagi jentera demokrasi yang ada masih boleh digunapakai (salahpakai) oleh mereka yang berkuasa.

Dengan pilihanraya yag sudah bermula gear kedua, mungkin ada baiknya kita dapat melihat barisan pemimpin pelapis di pihak alternatif yang boleh diketengahkan. Dalam jutaan warga Malaysia, kita mempunyai ramai cerdik pandai yang boleh menjadi pemimpin, berbanding senarai pemimpin terutama menteri yang ada.

Berbanding dengan parti memerintah, memang sukar untuk menjadikan kepimpinan politik sebagai karier untuk mereka yang menganggotai ‘parti pembangkang’. Memerlukan pengorbanan yang besar, tanpa media perdana, tanpa SPR, tanpa kontrak kerajaan, tanpa GLC dan syarikat korporat, tanpa polis, tanpa peguam negara dan hakim, serta tanpa amaran boleh dimasukkan ke Kamunting atau dihadapkan ke mahkamah bila-bila masa.

Lantas, kalau dalam analogi bolasepak, memang sukar untuk mencari Kaka atau Christian Ronaldo sebagai pemain baru politik dikalangan pihak alternatif. Barisan muda yang ada itulah yang kita harapkan akan menjadi pemimpin rakyat yang tahan dari segala ancaman, ugutan, kesusahan, kemiskinan dan tentunya mampu menahan diri walau ditawarkan RM, pangkat, kontrak dsbnya untuk bising mengistiharkan keluar parti beramai-ramai dengan menyertai parti BN seperti mana setiap kali pilihanraya!

Lihat dan tunggu sarkis pilihanraya yang akan masuk ke kampung dan bandar, adegan ‘keluar parti’ yang sama tentunya akan berulang!

(Fudzail adalah ekspatriat Malaysia yang bermastautin di Dubai sejak tahun 2000. Berkelulusan sains komputer dari New Zealand. Pernah terlibat dalam pembangunan Dubai Internet City, Palm Jumeirah dan 15 projek mega lain. Kini menguruskan projek pembinaan prasana dan utiliti di Palm Jabel Ali. Beliau boleh dihubungi melalui fudzail@yahoo.com serta kerjadubai.blogspot.com)