Wednesday, January 02, 2008

‘‘Produk kesihatan lelaki ini disahkan begitu efektif oleh Menteri Kesihatan Malaysia!”

Kolum ‘Dubai Online 2.0’ oleh Fudzail
klpos.com
No.31

‘‘Produk kesihatan lelaki ini disahkan begitu efektif oleh Menteri Kesihatan Malaysia!”

Sebaik 2007 berakhir dan 2008 bermula dengan sambutan meriah di sekitar Dubai, terutama percikan bunga api yang berlatarbelakangkan Burj Al Arab, tidak banyak perubahan baru buat kebanyakan penduduk.

Kerancakan pembangunan, terutama hartanah dan prasana yang terserlah dalam pelbagai bentuk dan saiz terus menjadi sebahagian dari kehidupan. Pertumbuhan ekonomi turus meningkat bersama kenaikan inflasi dan pertambahan ekspatriat baru juga berselang-seli dengan lapuran sedikit penurunan angka kematian di jalanraya.

Semua itu bukan lagi perkara luar biasa dan ganjil buat sebuah kota kosmopolitan yang dalam tempoh singkat dibariskan sebagai salah satu kota dunia yang menonjol. Klimaks dan unsur suspens dari ketinggian muktamad Burj Dubai sebagai struktur tertinggi di dunia sedikit sebanyak menjadi iklan cukup baik.

Menurut seorang teman yang menjadi ejen pelancungan, tiada lagi ‘musim’ di Dubai. Sepanjang tahun penerbangan dan hotel penuh. Bermakna, Dubai tidak lagi bergantung kepada musim dingin, ekspo dan promosi seperti Festival membeli-belah yang bermula tidak lama lagi.

Sesuatu yang boleh dianggap kejayaan buat pendukung kerajaan Dubai, Sheikh Mohammad Al Maktoum. Pada hari jumaat ini, beliau akan muncul di TV Dubai untuk mengumumkan langkah ke arah ‘Renaissance’ dunia Arab. Sesuatu yang sepastinya akan menjadi pembuka tahun 2008 buat seorang tokok besar abad ini.

Mungkin Sheikh Mohamed sepatutnya menerajui OIC yang keilhatan lembab dan tenggelam sepanjang di bawah pengerusi dari Tanah Melayu.

Tidak boleh dinafikan yang pembangunan membawa banyak kesan sampingan. Melalui keberkesanan dalam penguatkusaan, selain bebas dari korupsi serta penyelewengan boleh mengurangkan pelbagai masalah sementara kesemua perancangan menjadi realiti.

Begitupun, Dubai masih lagi aman dari kes-kes jenayah seperti di Malaysia. Rumah kami masih lagi tidak berjeriji dan hampir setiap masa tidak perlu mengunci pagar dan pintu rumah. Masih boleh tidur lena walau kereta ‘mewah’ diletakkan di luar pagar tanpa gajet sekuriti canggih untuk mengelakkan disamun perompak.

Masih ramai yang berani meletak kereta tanpa memberhentikan enjin sambil sementara pergi ke ATM, kedai makanan segera mahupun ke kedai runcit.
Sesuatu yang mungkin telah menjadi memori manis di Malaysia terutama kota-kota besar. Kes-kes pencurian kereta dalam pelbaai cara sudah menjadi rencah kehidupan. Saya sendiri pernah mengalami insiden kereta dipecahkan di sebuah taman lipur dua tahun lalu.

Namun, dengan pertambahan imigran luar dari seluruh dunia, memang ada insiden kecurian kereta berlaku di emiriyah lain dan baru-baru ini tersiar berita penemuan kereta curi dari UAE di Iraq.

Denga matahari 2008 yang bersinar, apakabar Malaysia di tahun 2008?

Melucukan pula, tiba-tiba bagai satu ‘rahmat’ buat Pelancungan Malaysia apabila hari kedua 2008, lapuran akhbar tempatan UAE dan berita radio memberi promosi yang bakal menggegarkan Malaysia setelah kempen Tahun Melawat 2007 berakhir.

Berita mengenai Menteri Kesihatan, Chua Soi Lek mengaku menjadi hero dalam sebuah DVD seks dan tidak mahu meletak jawatan terpampang. Berita seumpama ini memang sensasi apalagi seorang Menteri Kesihatan yang sedikit-sebanyak terlibat dengan kempen penggunaan kondom atau seks secara selamat!

Tidak pasti tanggapan umum mengenai berita yang amat memalukan ini kerana pembunuhan Bhutto masih menjadi berita besar. Tetapi kalau seorang pemimpin bertaraf menteri tidak dapat mengawal ‘anu’nya, bagaimana dapat dia mengawal keadaan kesihatan rakyat?

Kalau ada yang melihat peluang, terutama dikalangan para pengusaha produk herba kesihatan lelaki ‘Buatan Malaysia’ seperti tongkat ali yang boleh mengambil kesempatan ini untuk promosi lebih hebat.

Berdasarkan ‘kisah benar’ seorang menteri kanan, ahli politik berpengaruh yang berusia 60 tahun masih saja aktif dan gagah untuk aktiviti salah laku seks. Hebat dia membuat pengakuan secara selamba. Chua lebih hebat dalam melawan ‘konpirasi politik’ dari beberapa menteri dari UMNO yang pernah dikaitkan dengan kes serupa, terutama seorang bekas ketua menteri yang dikaitkan dengan gadis bawah umur dan beberapa wanita lain.

Begitulah jauhnya perbedaan antara mereka yang digelar pemimpin rakyat barisan nasional. Chua mengambil jalan paling berani dengan bersemuka dan mengaku secara terbuka. Dengan ini, perdana menteri boleh juga memaafkan Chua seperti isteri dan anak-anak Chua sendiri, lantas ‘membuktikan’ yang Hadhari adalah progresif dan telus.

Dalam dunia yang semakin global, video seks itu boleh dimuat turun untuk tatapan dunia dari youtube.com.

Chua Soi Lek pun secara naturalnya, boleh menjadi model iklan yang glamour dan berpengaruh untuk tongkat ali, seperti kata-kata azimat komersil, ‘produk kesihatan lelaki buatan Malaysia ini disahkan begitu efektif oleh Menteri Kesihatan Malaysia!”

Selamat Tahun Baru 2008 buat seluruh pembaca klpos.com dari kami di Dubai!

(Fudzail adalah ekspatriat Malaysia yang bermastautin di Dubai sejak tahun 2000. Berkelulusan sains komputer dari New Zealand. Pernah terlibat dalam pembangunan Dubai Internet City, Palm Jumeirah dan 15 projek mega lain. Kini menguruskan projek pembinaan prasana dan utiliti di Palm Jabel Ali. Beliau boleh dihubungi melalui fudzail@yahoo.com serta kerjadubai.blogspot.com)