Saturday, December 20, 2008

Siapa peduli akhbar Melayu?

Mingguan/Utusan Malaysia sekali lagi menyiarkan artikel berkaitan akhbar Melayu. Sekali lagi Utusan sengaja tidak mahu menonjolkan kesilapan besar kepimpinan United Malays National Organisation, parti Melayu yang berjiwa Inggeris dengan mengekalkan nama Inggerisnya.

United Malays National Organisation terus memperlekeh bahasa Melayu dengan bodoh sombong untuk mengekalkan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Sesudah berkuasa 53 tahun, masih lagi bangsa, bahasa dan akhbar Melayu ketinggalan walau pemimpin pelbagai peringkat United Malays National Organisation menjadi kaya raya dengan menyalahgunakan DEB dan slogan ketuanan.

Kesemua akhbar perdana Melayu dimiliki oleh United Malays National Organisation...kalau mahu orang Melayu mahupun bukan Melayu memperdulikan media Melayu, bebaskan cengkaman akhbar dari United Malays National Organisation, dan hentilah dari memperbodohkan orang Melayu, dulu, kini dan selamanya.

Siapa peduli akhbar Melayu?
Selepas Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU 12) Mac lalu, kedudukan politik Melayu kelihatan sedikit tergugat. Berikutan dengan itu beberapa isu yang melibatkan soal kepentingan orang Melayu seperti kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi turut dipersoalkan. Kelantangan pihak tertentu mempersoalkan banyak perkara yang berkaitan dengan orang Melayu semakin bertambah selepas PRU 12 dianggap sebagai indikator kelemahan politik Melayu.
Kita boleh memberikan apa saja alasan untuk menafikan hujah di atas. Tetapi pada masa yang sama kita terpaksa menerima hakikat bahawa politik Melayu adalah teras kepada sosio-politik negara ini. Bergolaknya politik Melayu, kesannya akan kelihatan kepada banyak perkara lain yang mempunyai kaitan secara langsung dengan politik dan kedudukan orang Melayu.
Bahasa rasmi negara ini dipelekehkan oleh pihak tertentu bukanlah perkara baru. Bahasa Melayu bukan bahasa orang Melayu tetapi bahasa rasmi yang sewajarnya digunakan oleh seluruh rakyat. Tetapi disebabkan ketidakupayaan politik Melayu menjadi teras sosio-politik negara ini, bahasa Melayu dilihat hanya bahasa orang Melayu. Dalam kalangan orang Melayu pula dipecahkan lagi apabila ada sesetengah Melayu elit yang mendakwa kedudukan mereka tidak sesuai dengan bahasa Melayu.
Media Melayu menjadi indikator paling jelas untuk melihat situasi sebenar kedudukan bahasa dan politik Melayu. Media Melayu khususnya akhbar mendepani masalah yang sangat serius berbanding akhbar bahasa Cina dan Inggeris. Pendapatan iklan oleh akhbar Melayu secara kolektifnya jauh lebih kecil daripada kolektif akhbar berbahasa Cina. Masalah yang dihadapi oleh akhbar-akhbar Melayu sewajarnya tidak berlaku apabila bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi yang memerlukan semua rakyat, tidak kira apa bahasa ibunda mereka akan menggunakan bahasa Melayu sebagai alat perhubungan. Tetapi malangnya teori ini tidak berlaku sama sekali.
Baiklah, cuba kita lihat dengan sewaras yang mungkin beberapa perkara yang sepatutnya meletakkan akhbar bahasa Melayu di barisan depan di segi pengaruh.
Bahasa Melayu telah diberi kedudukan penting dalam Perlembagaan sejak setengah abad lalu sebagai bahasa rasmi. Dengan kata lain tidak ada seorang pun yang mengaku rakyat negara ini tidak faham bahasa Melayu, selepas setengah abad diangkat sebagai bahasa rasmi. Secara teorinya kaum pendatang generasi pertama sudah tiada lagi. Generasi selepasnya dilahirkan di negara ini dipayung oleh Perlembagaan sebagai rakyat negara ini. Dan dalam Perlembagaan menyebut bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.
Kita lihat pula Dasar Pendidikan Kebangsaan yang sudah lebih 30 tahun dilaksanakan. Antara yang mendukung Dasar Pendidikan Kebangsaan ialah pengantar dalam bahasa Melayu dan subjek bahasa Melayu menjadi teras dalam peperiksaan. Ini juga menyokong hujah kita bahawa bahasa Melayu mesti difahami oleh semua peringkat dan kaum. Hujah ini ditambah pula dengan satu bancian yang menunjukkan negara ini dihuni oleh 13 juta orang Melayu.

Dihujah
Faktor-faktor yang dihujah di atas tadi menunjukkan tidak ada sebab akhbar Melayu tidak mampu menyaingi akhbar bahasa Cina misalnya untuk mencatat market share yang lebih besar dalam pendapatan iklan. Jualan akhbar Melayu secara kolektifnya (Mingguan Malaysia, Utusan Malaysia, Berita Minggu, Berita Harian, Harian Metro dan Kosmo) mencatatkan sekitar 1.4 juta naskhah sehari atau purata pembaca sebanyak 8.5 juta sehari. Sementara akhbar berbahasa Cina yang terdiri daripada Sin Chew Daily, Nanyang Siang Pau, Kwong Wah Yit Poh, China Press dan Guang Ming Daily mencatatkan purata edaran lebih kurang 900,000 naskhah sehari atau 2.5 juta pembaca. Tetapi adakah kalangan politik Melayu sedar bahawa kolektif akhbar Melayu hanya mencatatkan market share pendapatan iklan hanya lebih kurang 13 peratus daripada peruntukkan lebih RM2.3 bilion untuk media cetak?
Pertanyaan saya, selebihnya ke akhbar mana? Di mana kekuatan politik Melayu apabila akhbar Melayu dianggap kelas tiga di negara yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi? Media bahasa Melayu khususnya akhbar memikul tanggungjawab sosial yang sangat besar, bukan saja kepada orang Melayu malah semua kaum supaya menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian. Tetapi tugas besar ini tidak mungkin dapat dilaksanakan sekiranya tiada kesedaran daripada kalangan Melayu dan bukan Melayu untuk melihat bahasa Melayu melampaui bahasa semata-mata.
Untuk pengetahuan, bahasa Cina bukanlah bahasa rasmi atau bahasa kedua. Bahasa Cina tidak diperjuangkan kedudukannya dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan. Lalu, di mana peranan 60 peratus orang Melayu yang bertutur dan membaca dalam bahasa Melayu dalam konteks pengaruh akhbar Melayu? Pengedaran kolektif akhbar bahasa Cina jauh lebih kecil berbanding kolektif akhbar Melayu, begitu juga jumlah pembacanya. Persoalannya kenapa akhbar Melayu belum mampu menyakinkan pengiklan tentang pengaruhnya yang besar apabila hanya mencatatkan market share 13 peratus daripada peruntukkan kepada media cetak?
Di mana peranan kalangan politik Melayu untuk melihat permasalahan akhbar-akhbar Melayu secara mikro khususnya daripada perspektif sosio-politik? Kurangnya pengaruh akhbar Melayu kepada pengiklan memperlihatkan kurangnya pengaruh politik Melayu di negara ini. Akhbar dalam konteks perbincangan sosio-politik negara ini bukan lagi sama seperti produk sabun basuh atau pencuci lantai. Maka apabila akhbar Melayu tidak mampu memperlihatkan pengaruh menjadi agenda setter dalam ekonomi misalnya, kegagalan ini bukanlah ditanggung oleh syarikat yang menerbitkan akhbar berkenaan semata-mata. Ini sebahagian daripada kegagalan kuasa politik Melayu untuk meletakkan sesuatu yang ada kaitan langsung dengan kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan.
Peliknya sesetengah pihak pula mudah percaya dengan dakwaan para pengiklan bahawa akhbar-akhbar Melayu hanya dibaca oleh orang Melayu, terlalu Malay centric dan lebih malang lagi akhbar Melayu majoriti pembacanya orang kampung, atau dalam kata lain sifatnya kekampungan. Maka hujah mereka, akhbar Melayu tidak sesuai dengan urbanisasi yang menjadi sasaran pengiklan.

Statistik
Tetapi persepsi itu tidak benar sama sekali kerana statistik menunjukkan tidak sampai 30 peratus edaran akhbar-akhbar Melayu di kawasan luar bandar. Ini bermakna sekurang-kurang 70 peratus pengedaran akhbar Melayu di bandar terutama di Lembah Kelang. Urbanisasi yang bagaimana lagi dimahukan oleh pengiklan?
Penguasaan akhbar Melayu di kawasan bandar tidak boleh dinafikan lagi. Malah kalangan pembaca akhbar Melayu mempunyai profil sebagai kuasa pembeli yang tinggi. Tetapi pengiklan seolah-olah tidak yakin akhbar Melayu boleh menyampaikan mesej kepada khalayak tentang produk mereka.
Sebenarnya ini bukan perspektif perniagaan tetapi politik. Kalau daripada perspektif perniagaan, para pengiklan pasti memilih akhbar-akhbar Melayu sebagai keutamaan mereka kerana akhbar-akhbar Melayu memenuhi apa yang diperlukan pengiklan. Untuk menyebarluaskan produk yang hendak diiklan, pengiklan akan memilih media yang mempunyai edaran yang besar, pembaca yang banyak dan profil pembaca yang terdiri daripada mereka yang mempunyai kuasa membeli yang tinggi. Sayugia diingatkan kolektif akhbar-akhbar Melayu mempunyai semua perkara yang diperlukan oleh pengiklan. Tetapi pengiklan tetap juga memilih akhbar berbahasa Cina dan selebihnya Inggeris. Kenapa?
Maka jelaslah nasib akhbar-akhbar Melayu bukan saja tanggungjawab penerbitnya. Dilema akhbar Melayu mencerminkan keadaan sosio politik yang pengaruh Melayunya tidak menonjol. Malah seolah-olah kesulitan yang diredah oleh akhbar-akhbar Melayu tidak dipedulikan oleh sesiapa. Kita tidak mahu tragedi "penutupan" Utusan Melayu, satu-satunya akhbar aksara Jawi enam tahun lalu berlaku kepada akhbar Melayu aksara Rumi.
Sekiranya setiap pejabat kerajaan dan sekolah di seluruh negara melanggan dua naskhah akhbar Utusan Melayu Jawi setiap hari, jangka hayat Utusan Melayu pasti lebih panjang. Tetapi siapa peduli Utusan Melayu? Siapa tokoh politik Melayu yang berfikir tentang satu-satunya akhbar aksara Jawi itu di negara ini akhirnya terpaksa mengalah kerana tuntutan perniagaan?
Akhbar Melayu pula yang selalu dilihat dengan penuh prasangka apabila memperjuangkan isu-isu yang melibatkan kedudukan orang Melayu. Padahal perjuangan itu hanya menegakkan hak dalam Perlembagaan tanpa mengambil hak kaum lain. Tetapi ada pihak dengan mudah melabelkan akhbar Melayu sebagai perkauman apabila akhbar Melayu memperjuangkan Melayu yang tertindas. Tetapi akhbar Melayu tidak pernah mempersoalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) walaupun menerusi DEB orang bukan Melayu memperoleh ekuiti lebih tiga kali ganda daripada orang Melayu.
Kalangan ahli politik bukan Melayu tidak mempersoalkan akhbar bukan bahasa Melayu yang menyemarakkan sentimen kaum misalnya apabila RTM memendekkan siaran Berita Mandarin baru-baru ini. Dalam perkara ini orang Melayu juga mesti berubah sikap, jumlah penerbitan akhbar bahasa Cina jauh lebih besar dari akhbar Melayu dan mencatatkan pengedaran yang juga besar. Kita sendiri boleh bayangkan sikap sesetengah orang Melayu hingga satu akhbar aksara Jawi pun tidak mampu dipertahankan. Ketika Utusan Melayu ditutup, terbit sebuah akhbar bahasa Cina yang baru, Oriental Daily. Orang Melayu perlu menyalahkan diri sendiri bukan syarikat yang menerbitkan Utusan Melayu.
Politik Melayu mesti meletakkan dirinya sebagai agenda setter, bukan saja menyelesaikan kemelut akhbar Melayu tetapi yang penting semua yang melibatkan Melayu seperti dalam Perlembagaan. Media dan politik mesti berjalan seiringan untuk membetulkan persepsi serong bahawa apa saja kaitkan dengan "Melayu" hanya untuk orang Melayu. Sekali lagi pertanyaan saya, siapa yang mengendahkan semua ini?

4 comments:

aiman.arief said...

Yang menjatuhkan orang Melayu pun Melayu juga...

manlaksam said...

I hev no komeng!!

ceohud said...

Ya saya pun nak tahu juga mamat yg dlm blog ni melayu ker apa...kita kena tunjuk jalan bukan sekat jalan...bukan hebah tak tentu jalan..tentang kekurangan bangsa sendiri..

Shahrul Peshawar said...

Akhbar Melayu yang menyiarkan berita fitnah, mengajak orang bergaduh, letak iklan nombor ekor, cerita semua mengampu, gambar perempuan terdedah sana-sini MEMANG PATUT dibiarkan terkubur. Zuriatnya pun tak perlu dibiarkan tinggal. Pelik - Suratkhabar bahasa Melayu - tapi bila bahasa Melayu diinjak - dia yang tolong jatuhkan lagi bahasa Melayu - tak bela langsung... ada patut ke kita sokong suratkhabar tidak ada maruah sebegini?