Tuesday, November 11, 2008

Sehari Dalam Sejarah



ruang waktu sebagai muzium
merakam jejak-jejak sejarah
meniti hitam putih perubahan zaman
dari catatan orang biasa
yang kekadang mengulang korban
kemelut pertumpahan darah
atas nama nasionalisme
dan kebangkitan patriotisme
demi asakan survival kabilah

anak-anak adam dan hawa
dari generasi ke generasi
menyalahi mereka yang terdahulu
dalam merentas kemungkinan
bersama inovasi dan revolusi
masa depan pun mengepung realiti semasa
berdiri sayu monumen dan pusara
sebagai musim-musim kemanusiaan
dalam angka-angka bencana

kita masih sahaja berprasangka
dengan sengketa jiwa
melebar api bermusuhan
disebalik kecanggihan teknologi
setelah emosi diasak propaganda
saudagar dan pemimpin durjana
biar yang berbeda antara kita
selapisan warna-warna sejagat
memandu jasad ke satu kiblat!


Fudzail
11 Nov 2008

No comments: