Sunday, November 02, 2008

Perjalanan Dari Sebuah Kancil

yang bergerak dan meluncur
bersimpang-siur
ayam, itik, kijang, rimau, gajah
memburu dan diburu waktu
pagi ini, saujana perjalanan
dalam sebuah kancil
destinasi semakin jauh
walau terasa sama laju
menjejak setiap lorong
di rimba konkrit yang kelabu
dibalik topeng kemanusiaan
berasap oleh kapitalis jalang
kerdil berlari di tengah medan
ada gajah tidak kenal isyarat
ada rimau ganas menciluk
ada kijang tak henti menyibuk
ada ayam melintas terbang
ada itik terhegeh-hegeh merewang
tidak sedar diburu dan memburu
terlontar atau terpenyek
sama sahaja status
apabila tersadai
sebagai mangsa keadaan
di kemelut kitar semula peradaban
korban yang tidak ditangisi
sekadar mati katak

biarkan sahaja persaingan
dalam sebuah perlumbaan
di lebuhraya kehidupan
mengganas mencekik emosi
selagi kancil bukan kehinaan
imej dari kebendaan
walau sekadar penonton
dan tertinggal di belakang
sebagai penumpang yang asyik
memintas perjalanan turun naik
warna-warna dunia tanpa sempadan
berebut menuju ke satu noktah!


1 comment:

salam ukhwah fi sabilillah said...

Assalamualaikum Warahmatullah..

Wah, menarik puisi ini..Tahniah..