Thursday, November 27, 2008

Melayu dan Mitos Malam Jumaat


Buat orang Melayu, malam jumaat merupakan malam yang paling kudus mulus dan shahdu. Paling tentu buat mereka yang berkahwin. Malam Jumaat menjadi malam bulan madu setiap minggu. Mitos mengenai 'ibadah sunat' yang tidak pasti masuk dalam bab sunnah. Mungkin kena ada fatwa baru mengenai ibadah malam jumaat.

Ada suami yang walau bagaimana sibuk pun, malam jumaat akan segera balik rumah kerana dikatakan malam terbaik untuk aktiviti sunat. Lucu pun ada. Ada blog yang berkaitan:

Urusan seks tidak diperincikan oleh syara’. Dalilnya: alBaqarah: 223 (Isteri2 kamu adalah ladang tempat kamu bercucuk tanam, maka datangilah ladang kamu itu sebagaimana yg engkau sukai..) Mungkin jika panduan yg terperinci hanyalah petua sahaja dan petua ini mestilah disokong oleh dalil yg qat’iy (putus) untuk sah diterima sebagai syari’at. Myth malam Juma’at adalah suatu metos yg amat popular, di mana disebut sahaja malam Juma’at, semua orang mengaitkan dengan seks. Ini tidak benar. (Ustaz Ali Mahfudz, Sunan wal Mubtadi’at)Manakala kepercayaan jima’ pada malam gerhana atau malam bulan penuh dan kaitan dengan kacacatan janin, maka itu suatu kepercayaan khurafat yg tiada asalnya (Syaikh alGhazali, Laisa minal Islam) Allahu a’alam


Malam jumaat juga menjadi malam untuk membaca surah yasin. Ini perkara baik, tetapi kenapa hanya malam jumaat? Tidak malam Ahad?


Nabi SAW telah bersabda:
“Sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka bersinarlah cahaya daripada bawah kakinya hingga ke langit. Untuknya cahaya dihari kiamat dan diampunkannya antara dua jumaat” (HR. Ibnu Katsir)

Daripada Mandzur Ibnu Zaid, Ibnu Khalid Al Juhani dari Ibnu Al Hussein dari bapanya daripada Ali Marfu’an:
“Sesiapa membaca surah Al Kahfi pada hari Jumaat maka dia dihindari daripada segala fitnah selama lapan hari, dan jika Al-dajjal muncul, maka terhindar dia daripadanya” (HR. Ibnu Katsir)

Kesimpulannya, pada hari Jumaat disunatkan untuk umat Islam membaca Surah Al-Kahfi. Banyak kelebihan yang ada apabila kita membacanya.
Rasulullah SAW selalu membaca surah Al-Kahfi pada malam Jumaat. Oleh itu membaca surah Al-Kahfi merupakan salah satu sunnah nabi dan kita digalakkan untuk mengamalkannya. Pada kebiasaanya orang Melayu akan membaca Surah Yassin pada malam Jumaat sebagai adat. Perbuatan ini memang baik dan tidak salah. Sebagai seorang Islam kita mestilah berusaha meningkatkan amalan kita dari semasa ke semasa. Oleh itu cuba kita tukar bacaan dari surah Yassin kepada surah Al-Kahfi pada malam Jumaat. Kerana melakukan amalan sunnah nabi lebih utama daripada melakukan amalan sunat yang lain.

Setelah lama di sini, di bumi Arab ini, tiada pula masjid-masjid mengadakan bacaan surah Yasin beramai-ramai samada malam Jumaat atau malam-malam lain. Selalunya selepas setiap kali solat, imam dan makmum terus angkat punggung, sama ada untuk solat sunat atau balik rumah.

Lalu apabila membaca artikel dalam Utusan Malaysia, ternyata kita masih terlalu kebelakang dengan perkara remeh temeh dan tidak memajukan minda, sebab itulah parti yang sama terus memerintah dengan memperbodohkan bangsa 'ketuanan' sendiri.
Hentikan budaya momokan Jumaat



Malam Jumaat yang penuh kemuliaan untuk umat Islam semakin dicemari. Daripada momokan mitos, cereka layar panggung hinggalah ke kaca televisyen, sentimen malam Jumaat sering disalah ertikan. Malam barakah yang sepatutnya dihiasi dengan amal ibadah, yasin dan tahlil, tampak lebih mesra di kalangan umat Islam khususnya Melayu sebagai malam yang seram lagi menakutkan.

Bergenerasi lamanya mungkin datuk, nenek kita telah menjadikan cerita-cerita seram berkaitan malam Jumaat ini sebagai mekanisme untuk menakut-nakutkan kita yang nakal semasa kecil dulu. Sedar atau tidak, cerita-cerita ini semakin mengakar dalam hidup orang Melayu, hatta hendak melintas pokok besar pun masih hendak meminta izin pada 'datuk' yang menjaganya.
Syarikat-syarikat produksi filem yang mengeluarkan lambakan cerita-cerita 'hantu' dan seram kepada syarikat televisyen perdana juga menyumbang kepada budaya negatif ini.

Menambahkan lagi perisa dan rencah kepada 'penghayatan' cerita ini, sudah tentu slotnya ditayangkan pada malam Jumaat, malam yang kononnya amat 'misteri' bagi penggemar-penggemar alam mistik. Amat malang sekali apabila malam yang sepatutnya diisi dengan fadilat kebesaran hari Jumaat, siri-siri diskusi ilmiah dan slot-slot tazkirah diganti dengan pengisian mitos dan melalaikan.

Makhluk

Islam tidak pernah menafikan akan kewujudan makhluk halus dan alam ghaib. Islam dari awal lagi telah meletakkan garis yang jelas untuk kita percaya akan kewujudannya dan dalam masa yang sama melarang kita takut kepadanya. Ketakutan kita yang paling hakiki hanyalah mutlak kepada Allah SWT.

Minat yang mendalam kepada perkara ghaib ini jelas berlaku di kelas-kelas agama di sekolah, bila membincangkan tentang bab alam ghaib dan makhluk halus, yang menjadi perhatian pelajar adalah bagaimana rupa bentuk makhluk yang mengerikan itu (khususnya jin dan syaitan) dan bukannya kepada hal-hal yang memberitahu kenapa Allah SWT menjadikan 'mereka' dan perihal bahawa 'mereka' juga wajib beriman kepada-NYA.

Kecenderungan inilah juga yang dipercayai menjadi penyelesaian mudah bagi guru-guru menayangkan 'sajak kematian' kepada pelajar naif semuda 7 tahun di beberapa buah sekolah baru-baru ini.

Kesan langsung akibat pendidikan dan rangka bina kehidupan seseorang yang selama ini diisi dengan elemen-elemen seram dan tahyul, tidak dapat tidak akan melahirkan generasi yang penakut.

'Ketakutan buatan' inilah yang menjadikan generasi muda kita pada hari ini seakan-akan takut mencuba, takut gagal, takut ke depan, hatta mahu memberi cadangan pun takut.

Justeru, budaya memomokkan anak bangsa kita dengan ketakutan wajar dihentikan segera. Ia harus bermula dengan kesedaran ibu bapa yang mendidik anak-anak dengan kasih sayang dan ketegasan dan bukannya dengan momokan ketakutan dan tahyul.

Pihak Kementerian Penerangan juga wajar mengeluarkan arahan tegas agar setiap syarikat televisyen menghentikan menyiarkan tayangan berunsur seram pada setiap malam Jumaat demi menghormati hari yang mulia itu.

Tidak dinafikan 'hit' atau respons penonton muda terhadap rancangan seperti ini memang tinggi, serta slot iklan di celah-celah cerita seram itu juga menyumbang kepada 'pengayaan' dana syarikat televisyen gergasi negara. Sedarlah, setiap satu saat tayangan yang sarat dengan budaya negatif ini akan memberi kesan langsung kepada pembentukan akhlak generasi muda kita.

1 comment:

Fazrul Shahril said...

Salam Bro,

Sejak dari kecil kita diajar begitu..so begitulah jadinya. bila dah besar..pula tak nak menerima dan tidak menggunkan akal..

Nampaknya..agenda...tersebut telah sebati dalam diri orang melayu..