Sunday, October 19, 2008

Palm Jumeirah - Catatan Profesional (Tujuh)

"Houston, we have problem!"

Pejabat syarikat konsultan Lubnan di Crowne Plaze lengang. Mengejutkan. Hanya Roy dan beberapa jurutera yang sedang berehat.

"Mana bos?" Tanya saya pada Roy yang sedang bermain tetris.

"Kesemua ke hospital, Khalid masuk wad, kena serangan sakit jantung!"

Khalid adalah konsultan Lubnan yang angkuh dan tidak mesra pelanggan langsung. Saya memang tidak suka berbincang dengan dia kerana dia jarang sekali melayan, mahupun tersenyum.

Tetapi mendengar dia dimasukkan ke wad kecemasan, hati segera terasa hiba. Khalid hanya menjalankan tugas berat dan terpaksa melayan pelbagai karenah kontraktor yang kebanyakannya, mata duitan dan menyusahkan. Saya faham masalah Khalid dan tidak mengejutkan dia kena sakit jantung, apalagi dia kuat merokok. Tidak putus merokok dan satu pejabat konsultan itu berbau asap rokok.

"Ada apa-apa arahan dari Khalid?"

Roy menggeleng. "Dia kena serangan dalam perjalanan ke pejabat!"

Hati saya bertambah gusar. Saeed menelefon bos Khalid, Dr. MK yang sepatutnya mengarahkan Khalid untuk menyiapkan drawings dan dokumen tender dengan saya.

Saya segera menelefon Dr. MK yang menjawab dia sedang dalam perjalanan ke hospital.

"Saeed ada beritahu apa-apa mengenai drawings prasana telekomunikasi?"

Dr. MK menjawab dengan sombong. "Kami perlukan arahan dari Palm Jumierah dalam hitam putih. Tanpa arahan rasmi dan V.O. yang kami setujui harga ditawarkan, kami tidak akan buat apa-apa!"

Terdiam saya. Dalam hati mengungkit yang syarikat konsultan Lubnan ini memang tidak sedar diri, kontrak untuk merekabentuk prasana utiliti bernilai jutaan dirham dan walau terlewat siap, masih diberi muka oleh Saeed.

Sudah banyak kali kena maki hamun, masih mahu berlagak yang mereka tidak boleh di buang sahaja. Begitupun, ada kebenarannya kata-kata Dr. MK kerana ada unsur liabiliti.

Sekali lagi saya menghubungi Dr. Osama.

"Houston, we have big problem!"

No comments: