Sunday, October 12, 2008

Palm Jumeirah - Catatan Profesional (Satu)


Pada hari Jumaat lalu (10 okt) sempat membawa keluarga bersiar ke Palm Jumeirah, projek pertama bertaraf mega dan global (bukan glokal) Dubai. Destinasi ialah Atlantis. Ada terasa kebanggaan dan kepuasan melihat sebuah pulau yang dibina dengan bilion USD akhirnya menjadi kenyataan.

Begitu cepat masa berlalu.
Masih teringat setiap kali dalam perjalanan ke pejabat di Dubai Internet City dalam tahun 2001 sebaik pengumuman mengenai projek Palm Jumeirah di buat, saya membayangkan untuk menjadi sebahagian dari projek 'gila' ini.
Memang setiap pagi melalui Al Sufouh road dan menatap pasir yang sedang disembur untuk menjadikan pulau buatan ini, rasa keinginan menjadi semakin meluap. Doa pun dipanjangkan.
Setahun kemudian, satu pagi dalam bulan Oktober 2002, saya bersama bos projek 'IT and Telecom system and network integration' untuk Dubai World, Dr. Osama Ali menaiki kereta pacuan empat roda ke bahagian 'trunk' Palm Jumeirah yang sudah separuh siap.
Mimpi pun menjadi kenyataan. Saya bertugas secara rasmi dan meninjau Palm Jumeirah untuk mengetahui saiz sebenar projek. Tidak dapat digambarkan perasaan.
"It is amazing and unbelievable on sheer size of the Palm!" saya memberitahu Dr. Osama yang sama kagum. Bermulalah kerjasama kali kedua dengan Dr. Osama.
Mungkin saya adalah rakyat Malaysia yang pertama menjejak Palm Jumeirah, sayangnya tiada kamera yang dibawa. Kami berdua ketika itu ditugaskan untuk merekabentuk keseluruhan sistem dan rangkaian prasana IT & Telekomunikasi untuk Palm Jumeirah berdasarkan teknologi IP!
Bos hebat - Dr. Osama Ali
Dr. Osama Ali adalah bos pertama saya di Dubai Internet City (DIC). Sebaik DIC dirasmikan oleh Sheikh Mohamed Al Maktoum pada Oktober 2000, beliau habis kontrak perkhidmatannya sebagai CIO dan enggan meneruskan kontrak atas beberapa perkara peribadi.
Dr. Osama Ali pulang ke Amerika dan beliau adalah bos yang paling banyak membantu saya dalam menyesuaikan diri. Sewaktu menyertai DIC, saya bersama Dr. Ali dan anak emirati, Farid (sekarang top gun di syarikat telco kedua UAE, du). Dr Osama bukan sahaja bijak, malah amat mesra dan cukup kuat bekerja.
Kami berempat (seorang lagi Ali dari Canada), adalah 'pioneer' jabatan IT & Telecom di DIC dan berjaya membina rangkaian kampus DIC berdasarkan teknologi IP, yang juga dianggap pertama di dunia.

Kerja keras selama 8 bulan sebelum perasmian DIC menghasilkan sesuatu yang diluar dugaan. Bukan tiada masalah sepanjang projek dan saya belajar banyak perkara, bukan sahaja dalam teknikal, tetapi juga persahabatan serta politik untuk survival antara pelbagai bangsa dan agama.
Kebetulan, bekas CEO DIC berhijrah ke Dubai World sebagai orang nombor dua. Kami masih berhubung dan dia meminta saya untuk menjadi pembantu Dr. Osama Ali dalam projek sulung beliau untuk mengintegrasikan kesemua rangkaian dan sistem IT & Telekom dalam sebuah konglomerat dunia yang mempunyai banyak pejabat di luar UAE.
Tiada temuduga kecuali bertemu dengan pihak Sumber Manusia dan orang nombor tiga Dubai World untuk menandatangani kontrak yang tiada had masa. Selagi belum selesai kerja, kontrak akan disambung.
Ketika itu ada dalam 30 buah anak syarikat, seperti DP World, JAFZA, Dubai Customs dan yang terkini waktu itu, o la la....Palm Jumeirah.
Saya dan Dr. Osama cukup teruja dengan projek yang diberikan (bukan sahaja kerana bayaran), tetapi memberikan kami peluang untuk bertemu dengan pengerusi dan semua pengarah Dubai World, kemudian kesemua CEO dan pengurus IT anak-anak syarikat Dubai World.
Kami mewancara mereka mengenai sistem yang ada dan wawasan mereka. Saya menjadi pencatat minit dan menulis lapuran. Memperbaiki bahasa Inggeris kerana dua bos besar memang cukup hebat bahasa Inggeris mereka. Bukan mudah untuk menulis lapuran kepada lembaga pengarah syarikat.
Kemudian, rezeki datang menggolek. Oleh kerana Palm Jumeirah tiada staf yang mempunyai pengalaman dalam merekabentuk dan membina rangkaian sistem IT & Telekomunikasi yang canggih berdasarkan teknologi IP, saya diarahkan, sebagai sebahagian dari tugas untuk menjadi konsultan untuk Dubai World dan kemudian ketua projek mewakili Palm Jumeirah!
Alhamdulillah, doa saya termakbul tanpa memohon kerja tersebut. Setelah meninggalkan TV3, rezeki saya semakin bertambah dan sesungguhnya Allah juga tempat berlindung.
Bermulalah sejarah baru yang penuh memori manis dan pahit, profesional dan peribadi!
(Bersambung....)

2 comments:

Pp said...

syabas....now am waiting for part 2.

pp

dasuki_tmc said...

Syukur Alhamdulillah
Tahniah dan syabas, atas kejayaan rakyat Malaysia, saya berbangga.
harap dapat jadi tauladan dan contoh kepada jemaah kita umat Islam di Malaysia khususnya dan umat Islam seluruh dunia.

masih belum agak terlewat, saya ucapkan selamat hari raya aidilfitri maaf zahir dan batin, kepada saudara dan keluarga semua.