Tuesday, October 14, 2008

Palm Jumeirah - Catatan Profesional (Lima)

'Steering Committee'

Mesyuarat mingguan 'steering committee' projek integrasi rangkaian sistem IT & Telekomunikasi Dubai World bermula sebaik solat magrib yang diimamkan oleh Hamid selesai.

Ahli-ahli dalam 'steering committee' yang dipengerusikan oleh Hamid sebagai COO/CFO, ialah Adel (Secretary General), Suhail (CIO- Dubai Ports, customs and Free Zone Corp), Jamal (pengarah khidmat korporat), Dr. Osama (ketua projek - IT specialist), Viviek (Ernst & Young) dan saya sebagai, hmm, konsultan telekomunikasi.

Di bawah 'steering committee' ini adalah kumpulan projek yang terdiri dari dua pengurus Dubai World, seorang penganalisa kewangan dari Ernst & Young dan tiga orang mamat Jerman sebagai pereka rangkaian telekomunikasi.

Dalam mesyuarat 'steering committee' kali ke 4 tersebut, dua perkara utama dirumuskan. Pertamanya, projek ini akan menjadi asas kepada penubuhan sebuah syarikat IT & Telekomunikasi baru yang dengan kod, 'babytel'.

'Babytel' akan memberi khidmat kepada semua anak-anak syarikat Dubai World.

Dr. Osama akan menjadi perancang organisasi dan strategi. Manakala saya membantu dari segi ko-ordinasi dengan pasukan projek serta memantau jadual. Selain menulis lapuran untuk lembaga pengarah.

Untuk tujuan itu, satu presentation korporat akan dibuat kepada lembaga pengarah Dubai World dan saya diarahkan untuk menyiapkannya dalam masa seminggu. Hanya 5 slides untuk pengerusi, tetapi saya kena menyiapkan sebanyak 20 slides untuk Hamid membuat suntingan.

Hamid ini memang digeruni, garang, cerdas, cekap dan cukup tajam otaknya. Waktu di DIC, sebagai CEO yang dipinjamkan dari Arthur Andersen (dia pengarah urusan serta tuanpunya untuk Arthur Andersen Dubai, selepas itu Ernst & Young), dia membuang tiga orang sekretari kerana mereka tidak dapat mengikut rentak kerjanya.

Tidak semena-mena, dia melantik saya sebagai 'sekretari' sementara selama 2 bulan, walau ketika itu saya menjadi pengurus IT & Telekomunikasi dibawah Dr. Osama.

Katanya kepada saya, "Sekarang kamu sekretari saya, ini kunci pejabat saya, kamu mesti datang sebelum saya datang dan hanya balik rumah selepas saya balik!"

Barulah saya faham kenapa sekretari beliau sebelum itu tidak boleh ikut rentaknya. Hamid datang kerja jam 6 pagi tepat (selepas subuh, sempat joging dan baca quran lagi) dan memang punctual dalam jadualnya, pernah menghalau mat saleh yang datang lambat untuk mesyuarat.

Dia balik jam 10 malam, bekerja selepas solat jumaat walau hari cuti. Dia mengajar saya buat kopi yang mesti sama rasanya setiap pagi atau setiap kali diminta dan menyediakan sarapan (buah-buahan) yang segar sebelum dia masuk, juga menempah makan tengahari dan malam dengan penghantaran mengikut menu yang dia sediakan. Untungnya pula, saya makan apa yang dia makan, jadi jimat belanja makan.

Dia cukup serius sepanjang waktu rasmi bekerja, iaitu 7.30 pagi ke 4 petang. Sebaik 4 petang 1 minit, Hamid jadi seorang kawan, bukan bos, siap boleh letak kaki atas mejanya!

Saya banyak belajar dari Hamid dan sebagai 'sekretari', mengenal dia secara peribadi. Selama bertugas dibawah Hamid di DIC, kami berkongsi banyak suka duka, termasuk krisis korporat yang menyebabkan dia meninggalkan DIC. Kemudian, Dr. Osama juga mengikut beliau dan kami kembali dalam satu pasukan untuk projek di Dubai World.

Keduanya, kami diberitahu yang syarikat Palm Development akan jadi sebuah syarikat gergasi dunia hartanah bernama Nakheel. Bermakna, saya ditugaskan sepenuh masa di Palm Jumeirah dan membantu perancangan masterplan untuk lain-lain projek baru yang akan dilancarkan.

Lantas saya teringat drawings tender prasana telekomunikasi Palm Jumeirah yang mesti disiapkan besok, by hook or by crook.

(Bersambung)

2 comments:

Pentilium5 said...

from my observations...consultants from the big 4 accounting companies are from another planet!

th said...

so much inspirations and motivations even just by reading it..