Thursday, October 16, 2008

Palm Jumeirah - Catatan Profesional (Enam)

(Ramai yang hantar emel mahu mencari peluang dalam 'babytel' - cerita ini berkisar dalam tahun 2002 dahulu....kena baca dari awal)

The Apprentice Strikes Back.

Saya hanya dapat berbincang mengenai drawings yang terbengkalai dengan Dr. Osama pagi esoknya kerana beliau bergegas pulang sebaik mesyuarat 'Steering Committee' berakhir. Tidak juga sempat berjemaah solat isyak bersama yang lain.

Selalunya Dr. Osama tiba dalam pukul 10 pagi di pejabat kerana beliau ada urusan lain yang berkaitan projek dengan vendors. Walau apapun, tetap berkomunikasi melalui telefon 24 jam sehari.

Kami berdua kerap bermesyuarat sambil sarapan atau makan tengahari di Starbuck Emirates Towers. Tentunya dia belanja setiap kali.

"Doc, tahukah banyak perbedaan antara buat tender untuk sistem IT dan kerja-kerja kejuruteraan awam?"
"Apa bezanya?"
Saya menerangkan apa yang saya pelajari selama 2 minggu melalui pembacaan dokumen kontrak, tender, mesyuarat dengan konsultan prasana dan kena herdik dengan konsultan Lubnan.

Memang tender IT seperti mana sistem IP di DIC dahulu jauh lebih mudah. Tender yang bernilai USD22 juta itu dimenangi oleh Siemens sebagai kontraktor utama. Tender yang kami buat juga tidak perlu terperinci kerana vendor yang akan buat cadangan mereka secara terbuka.

"Jadi, kita perlu menambah skop kerja konsultan Lubnan tersebut dengan menyediakan drawings untuk tender prasana telekomunikasi Palm Jumeirah! Konsultan Lubnan yang menyediakan semua rekabentuk prasana lain marah sebab mereka kehilangan 500 ribu dirham. Jadi dengan memberi dalam dua tiga ribu dirham mengupah buat drawings tentu berbaloi!"

Dr. Osama memang mudah untuk memahami apa yang perlu dia lakukan. Dia membaca apa yang berada dalam fikiran saya.

"Jadi, kamu sarankan kita bercakap dengan Saeed untuk menambah skop sebagai variation order untuk konsultan Lubnan?"

"Ia juga berkaitan liabiliti dari rekabentuk prasana telekomunikasi. Kita tidak boleh dipertanggungjawabkan dengan liabiliti sebab kita bukan syarikat konsultan, kita konsultan individu!"

Dr. Osama bersetuju dan segera menelefon Saeed dan selepas beberapa minit berbincang dalam bahasa Arab, maka Saeed juga bersetuju setelah mendengar dengan rasional. Menurut Dr. Osama, Saeed segera mengarahkan konsultan Lubnan untuk menyediakan drawings prasana telekomunikasi seperti yang saya rekabentukkan hari itu juga. Ini untuk menyiapkan dokumen tender agar dapat dihantar ke kontraktor esoknya.

Sewaktu berjalan kaki menuju ke pejabat konsultan Lubnan di seberang jalan Shekh Zayed, tiba-tiba henfon saya berdering.

Operator CAD, Roy, yang semalamnya tidak boleh menyiapkan drawings menelefon.

"Sir, I get 2 hours off, I can prepare your drawings before 2 pm today!"

"OK, but this time I don't have to pay you!"

Roy terdiam.

"Your company will pay you with more over time and see you in 5 minutes!"

(bersambung)

No comments: