Sunday, October 12, 2008

Palm Jumeirah - Catatan Profesional (Dua)


CEO Palm Jumeirah.

Tugas untuk projek Dubai World tetap diteruskan dengan siri mesyuarat untuk bertemu CEO pelbagai syarikat. Saya menjadi tukang atur mesyuarat dan menghubungi para CEO tersebut secara terus dari 'Corporate Office' dengan salinan emel kepada pengerusi, COO dan Secretary General.

Tentunya juga para sekretari CEO tersebut yang membantu untuk membuat pengesahan masa, tempat dan agenda. Selalunya CEO akan memanggil CIO, CTO atau pengurus IT bersama.

Beberapa pertemuan awal menampakkan kurang senang ramai CIO, CTO dan pengurus IT kerana ada pihak yang sedang meng'audit' kerja-kerja mereka. Cerita ini untuk lain kali.

Pertemuan pertama dengan CEO Palm Jumeirah waktu itu, Saeed dengan dua agenda. Pertamanya mengenai sistem yang ada dan tiada serta wawasan beliau.

Keduanya, mengenai tugas saya sebagai ketua projek merekabentuk sistem dan rangkaian prasana IT & Telekomunikasi Palm Jumeirah.

Tugas kedua ini memang menggemparkan untuk saya sendiri. Saeed bertanya mengenai pengalaman yang ada dan Dr. Osama menjadi jurucakap saya yang baik sebagai 'tukang recommend'. Dr. Osama bercakap dalam bahasa Arab.

Saeed nampak garang sekali dan tegas dengan soalan-soalan teknikal mengenai kerja-kerja awam. Saya dan Dr. Osama dari latarbelakang IT, dia mempunyai PhD dari sebuah universiti ternama USA, manakala saya sekadar ijazah sains komputer dari New Zealand.

Saya agak resah dan gementar melihat karektor Saeed. Mungkin dia dalam tekanan kerana projek Palm Jumeirah dipantau oleh Sheikh Mohamed. Mungkin juga kerana dia memang sedemikian.

Lantas saya mempunyai satu lagi pejabat 'sementara' di ibu pejabat Palm Jumeirah, selain yang sedia ada di ibupejabat Dubai World, di ibupejabat 'Cisco' timur tengah (DIC) dan satu lagi di pejabat Yusuf Islam, di mana saya bertindak sebagai pengurus.

Pejabat yang banyak ini memudahkan saya untuk berada di mana-mana secara virtual, termasuk rumah sendiri!

Para Konsultan.

Tugas pertama saya di Palm Jumeirah ialah untuk mengkaji apa cadangan yang telah dilakukan oleh konsultan. Beberapa fail besar diberikan oleh Saeed. Tugas selanjutnya menyediakan tender untuk prasana IT & Telekom yang tercicir dan sudah terlambat untuk fasa 1.

Segera saya memanggil para konsultan, para kulit putih yang nampak terperanjat kerana seorang Mamat dari Malaysia tiba-tiba diberi tugas besar. Begitupun, mereka memberi kerjasama dan kebetulan, syarikat konsultan perekabentuk masterplan tersebut dalam peralihan sebaik diberhentikan kontrak.

Masalah hanya dari konsultan perekabentuk prasana awam dari Lebanon yang begitu angkuh dan memperkecilkan kemampuan saya.

Sebenarnya, saya sendiri tidak mempunyai pengalaman dalam kejuteraan awam kecuali belajar di peringkat SPM dahulu. Termenung seketika untuk mencari ilham.

Saya meminta dari ketua projek prasana semua dokumen tender yang berkaitan, terutama untuk elektrikal. Mahu belajar terutama terma teknikal kejuruteraan awam. Memang saya 'buta' dalam perkara ini kerana berbeda dengan dunia IT.

Bantuan Cisco

Sebelum prasana disediakan, saya terpaksa merekabentuk sistem dan rangkaian IT & Telekomunikasi untuk seluruh pulau Palm Jumeirah.

Setelah bekerjasama dengan Cisco untuk DIC, saya meneruskan kerjasama untuk Palm Jumeirah. Dua minggu diperlukan untuk membuat rekabentuk yang 'bertaraf dunia' sebelum tender dikeluarkan.

Dengan tenaga lima jurutera Cisco sepenuh masa, saya dan Dr. Osama berkurung di pejabat Cisco yang kebetulan berhampiran pejabat Yusuf Islam. Tugas kami berdua lebih banyak kepada memberi idea dan membetulkan rekabentuk mengikut apa yang kami faham mengenai keperluan Palm Jumeirah berdasarkan data pembangunan dan pemasaran.

Perkara terperinci mengenai teknikal menjadi kerja-kerja jurutera yang hebat-hebat. Ada dari US, Afrika Selatan, India dan UK.

'Trial and error' menjadi model kami.

Cisco mahu menjual produk manakala saya dan Dr. Osama lebih berminat kepada penyelesaian terbuka. Ada sedikit krisis. Tetapi prioriti kami berdua ialah untuk menyiapkan rekabentuk dan tender, lantas krisis tidak menjadi masalah.

CEO Palm Jumeirah Melenting

Proses rekabentuk mengalami sedikit gangguan. Tiba-tiba ada data terkini dari konsultan arkitek yang menyebabkan data sebelum ini menjadi luput. Kami terpaksa mengemaskini dan memerlukan masa. Kerja-kerja sebelum ini mungkin terpaksa dibakulsampahkan.

Saya dan Dr. Osama dipanggil oleh Saeed, CEO Palm Jumeirah untuk mesyuarat mingguan kejuruteraan dan memberi lapuran status terkini.

Sewaktu masuk ke bilik mesyuarat, nampak muka Saeed semakin berang dengan beberapa konsultan yang 'tidak buat kerja betul' dan terlambat dari jadual. Suaranya meninggi. Mesyuarat boleh berlangsung selama satu hari!

Saya belum biasa dengan mesyuarat 'panas' dan cuba melihat suasana secara positif. Di DIC dahulu, saya lebih banyak membuat kerja-kerja belakang tabir untuk CEO dan Dr. Osama, kalau mesyuarat mereka berdua sahaja yang hadir. Kalau hadir pun sebagai pencatat nota untuk tindakan selanjutnya.

Bilik memang dingin, tetapi terasa panas serta kecut juga perut dalam menanti giliran saya setelah Dr. Osama keluar untuk urusan lain.

Saeed pun memandang ke arah saya.......merenung.
(Bersambung..)

No comments: