Monday, September 22, 2008

Kenapa Pak Lah Enggan Berundur?

Dengan kenyataan-kenyataan yang menyalahkan Anwar Ibrahim dengan situasi ekonomi dan politik negara, Pak Lah dan kaki goreng media perdana cuba memberikan sedikit ruang bernafas dalam kemelut semasa.

Begitulah keparatnya, kepimpinan BN tidak boleh dipersalahkan walau mereka berkuasa dan menyalahgunakan kuasa untuk survival diri. Menggunakan akta drakonian dan Polis untuk mempertahankan diri yang sudah reput dimamah penyakit dalaman yang kronik seperti rasuah dan penyelewengan amanah rakyat.

PRU12 dan pilihanraya kecil Permatang Pauh menyaksikan rakyat sudah muak, jelak dan benci dengan kepimpinan Pak Lah yang lemah dan tidak berwibawa. Malah ahli-ahli United Malays National Organisation juga sudah memberontak mahukan peralihan kuasa segera bagi memulihkan parti perkauman terbesar negara itu.

Langkah untuk bertukar jawatan Menteri Pertahanan dan Menteri Kewangan dengan Najib juga dianggap melucukan, apalagi Pak Lah tidak melepaskan jawatan pengerusi Khazanah. Sepatutnya dalam tempoh peralihan kuasa yang hanya dua tahun, Pak Lah sudah melepaskan semua jawatan menteri dan pengerusi kepada Najib, kecuali jawatan Perdana Menteri.

Selama ini pun, Pak Lah lebih banyak terlelap dari menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan rakyat dan melepaskan tanggungjawab kepada Timbalan Menteri atau Menteri Kedua sahaja. Tugas Pak Lah yang nampak jelas ialah membaca teks ucapan, merasmikan apa-apa majlis rasmi dengan acara memotong tali tas bunga.

Jadi lebih baik dia menumpukan perhatian sebagai PM sahaja, kerana dengan memberikan notis berhenti kerja sehingga tahun 2010 sendiri, Pak Lah hanyalah 'lame duck PM' yang makan gaji buta dan menghabiskan wang rakyat semata-mata.

Apakah yang boleh Pak Lah lakukan dalam dua tahun setelah gagal selama lima tahun?

Kejayaan terbesar Pak Lah ialah dalam lelapnya serta pengaruh anak-beranak dan kroni yang mendapat laba besar dari sikap acuh tidak acuhnya, memberi keyakinan kepada rakyat bahawa BN dan UMNO tidak lagi relevan untuk bekerja demi negara, apalagi bangsa dan agama.

Persoalannnya, walau didesak dan dicemuh, kenapa masih Pak Lah enggan meletak jawatan?

Mungkin kerana kalau dia tidak lagi menjadi PM, pencen dan tiada kerja lain, dia terpaksa berada dibawah Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP).

Bermakna dia berada dibawah bekas bos lamanya yang menjadi Pengerusi YKP dan berkongsi segala kemudahan yang diberikan, termasuk kapalterbang peribadi Petronas!

Bayangkan kalau Pak Lah terpaksa mengadap Mahathir dan diberikan arahan itu ini. Mahu jatuh ego Pak Lah. Tentunya Mahathir juga tidak sabar untuk membalas dendam dan mengerjakan Pak Lah sebagai budak suruhan seperti Saifool dalam masa minggu orientasi YKP.

He he he. Itu agakan saya sahaja.

No comments: