Saturday, September 20, 2008

Bayang-Bayang 1998 - Malaysiakini

Perjalanan itu menongkah arus
melingkar pada setiap simpang
sebagai imej-imej perjuangan
kami anak-anak jalanan
yang meronta dalam kekeliruan
mencari seribu jawaban
diantara kekaburan media
dan perundangan jalang
membakar jiwa marhaen

Tersentak dari kealpaan
yang membalut keselesaan
menyongsang kebebasan berfikir
kami anak-anak jalanan
bangkit dalam kehilangan
kepunyaan dan masa depan
di rompak oleh kebobrokan
satu kepimpinan machiavillian

Sedekad yang terus bergelora
masih harapan baru berbunga
mengubah kemelut suasana
kami anak-anak jalanan
tidak lagi bermimpi dalam bayangan
kerana langkah-langkah patriot
semakin cepat dan dekat
bersama mentari meratah kabut
ke Putrajaya!

Fudzail
20 September 2008
Dubai, UAE

No comments: