Wednesday, September 03, 2008

ARAFAH, SELEPAS ASAR

(Dewan Budaya Mac 2004)

"Route 66, gurun Arizona!”
Sekilas minda Rozita menyimpulkan pandangan.
Debu-debu nampak berterbangan ke udara Arafah. Meneropong fatamorgana dari kacamata menyilau. Bagai berada dalam ruang berbeda-beda. Antara gurun yang terbentang dan saujana ruang minda.

Antara dia, manusia, peristiwa dan alam.Sendiri melayar imej-imej sebuah perjalanan. Kembara peribadi di hutan realiti.

Dari Route 66 dan musim remaja. Valentine day 14 Februari.

Kini Arafah dan musim haji. Hari Wuquf 9 Zulhijjah.

Perlahan menaiki tangga-tangga Jabal Al-Rahmah yang sesak, matanya menjejak musim-musim yang mengubah suasana.

Tahun-tahun beredar.Setelah sebuah musim cinta yang berbunga di kampus. Romantik. Indah. Mengasyikkan.

Dan sebuah perkahwinan yang merentas gurun usia.Menjadi isteri di tahun kedua pengajian. 20 tahun dahulu. Era lapanpuluhan yang menyambar imaginasi. Dan masih memberi rekfleksi di cermin hari.
Dia bahagia. Walau pernah juga merasa mahu lebih bahagia. Mahu lebih sempurna dengan seorang suami dan seorang anak perempuan. Karier yang mencapai kemuncak. Segalanya kini nampak begitu sempurna. Cukup sempurna setelah mengharung badai dan duri-duri emosi. Bagai bab-bab sebuah novel Mills & Boon. Bagai gambar-gambar perayaan di kad Hallmarks.
Seindah panaroma Arafah. Jutaan manusia bergerak di mana-mana. Memenuhi setiap ruang. Memutih. Gamat. Seragam pakaian. Tiada beza keturunan dan warna kulit. Semuanya sama dalam satu misi sekali seumur hidup.
”Ya, tunggu di Jabal Al-Rahmah, selepas Asar……!” Janjinya pada Junid, suaminya sejak 20 tahun lalu. Melalui pesanan SMS. Seperti biasa, Junid membalas untuk mengesahkannya secara rasmi.

Mereka berpisah sebaik tiba di Makkah. Membawa haluan masing-masing. Mudah begitu. Telefon bimbit menjadi alat komunikasi. Sekiranya perlu. Makkah terlalu sendat untuk sentiasa bersama.
Lagipun mereka telah terlalu biasa begitu. Berjumpa pun sekadar malam, itupun sekiranya tiada temujanji lain dengan klien atau rakan korporat. Pertemuan suami isteri juga seperti urusan bisnes.

Burung-burung berterbangan. Terdengar sahutan. ‘Sabil! Sabil!” di mana-mana. Rozita terus mengasak bersama jemaah yang tidak putus- putus bergerak ke semua arah.”

Apa hadiah 20 tahun perkahwinan nanti?”Sejenak ke tahun lalu. Hari Kekasih dan ulang tahun perkahwinan. Makan tengahari di Hard Rock Café.

Soalan yang membawa mereka berdua ke Arafah. Tradisi dari Route 66. Valentine day dan hari perkahwinan yang sama. Disambut serentak. Walau adakalanya dengan kesibukan, sekadar ‘belated’ atau sejambak ros ke pejabat. Atau kad elektronikdan pesanan SMS.

Junid tersenyum, memegang tangan Rozita. Romantis.”Jangan lupa juga, sama-sama juga memasuki gerbang usia 40….kena buat satu yang istimewa!”

Rozita terdiam. Bukan dia tidak ingat tentang hakikat itu. Satu perkara yang menjadi igauan sejak memasuki usia tigapuluhan. Dia cuba bersedia. Terutama dari segi mental, bukan fizikal.

Fizikalnya, dia masih berjaya bertahan. Masih tidak banyak berubah. Masih seperti 10 tahun dahulu. Hasil diet, aerobik dan pil-pil kesihatan yang konsisten. Belum ada uban, belum ada kedutan. Anggun. Profesional. Wanita Melayu baru era korporat.

Malah ramai mengatakan yang dia dan anaknya seperti adik beradik. Satu pujian yang cukup memberikan dia kepuasan. Anaknya, Farah memang seiras. Sama cantik. Putih melepak.

Farah dihantar menuntut di England sebaik masuk sekolah menengah, sewaktu Junid membuat kursus peringkat kedoktorannya. Balik hanya untuk cuti musim panas.

”Tiket kelas pertama, hanya kita berdua, ke sebuah gurun…….!”
Segera Rozita melemparkan apa yang selama ini menjadi angan-angan setiap ulang tahun perkahwinan. Mengulang kemanisan satu musim. Menjejak memori yang masih terasa segar. Indah. Memang dia amat perlukan suntikan itu kembali.

”Wau, kembali ke Route 66, merentas gurun Arizona, Valentine day?”Junid ketawa. Menggeleng-geleng. Memang Junid tahu apa yang diangankan oleh Rozita. Mereka berjanji untuk kembali menjejak Route 66. Mengulang satu kembara. Bulan madu ke dua. Bukan lagi fantasi remaja.

”Hampir tepat…..cuba lagi, jangan guna talian hayat!”

Rozita tergelak sambil menatap tepat ke wajah Junid. Karektor Junid memang tidak berubah. Suka mengusik. Walau fizikalnya sudah nampak berusia. Masih berambut panjang ke bahu, tetapi sudah jarang-jarang.

Manakala jambang dan janggut sedikit putih. Imej stereotaip seorang profesor madya dalam bidang seni. Sedikit selekeh tetapi masih menarik.

Kalau dibuat analisa, ada perbedaan ketara yang menampakkan kejanggalan. Rozita seorang ahli korporat bertaraf Naib Presiden Kanan sebuah konglomerat tempatan. Mengetuai Jabatan Perhubungan Awam dan Komunikasi Korporat. Glamor kerana sentiasa saja mendapat liputan media.”Wau….apa dia?””Rahsia….tunggu sampai ketikanya…..tungguuuuuu!”Rasa suspen begitu memuncak tetapi menjadi sejuk beberapa hari kemudiannya. Kembali kepada rutin. Mesyuarat. Temujanji. Sidang akhbar. Gosip pejabat. Gimnasium. Golf. Aerobik. Kelab kebajikan korporat. Internet. Emel. SMS.
Rutin yang mungkin monotonous tetapi sudah menjadi satu kehidupan eksklusif. Untuk mengisi satu karier menaiki tangga korporat dan memenuhi masa terluang. Junid memang memberikan dia kebebasan.
Memahami peranan seorang wanita korporat. Tidak pernah memberi masalah. Malah memberi galakan sepenuhnya.
”Optimumkan keupayaan…..kita perlukan wanita Melayu yang boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi….menggantikan para pemimpin dan tokoh korporat wanita masa kini yang akan pergi…..mungkin saja boleh muncul sebagai menteri dan ketua wanita…..!”

Pernah Johari berkata begitu sewaktu Rozita terpaksa hilang dari majlis hari ulang tahun Farah, satu masa lalu, kerana urusan kerja di luar kota. Yang sedikit meretakkan hubungannya dengan Farah.
Rozita tidak ingat bila kali terakhir dia memasak untuk Junid. Atau memasak bersama Farah. Mungkin sejak dia dinaikkan pangkat sebagai pengurus, sepuluh tahun lalu. Segala urusan rumah dilakukan oleh orang gaji yang banyak kali bertukar ganti.

Junid juga banyak menghabiskan masa di kampus dan kegiatan seni. Farah pula mempunyai
kehidupan sendiri di Cambridge. Berkomunikasi pun melalui emel dan SMS. Pastinya, Farah lebih rapat dengan Junid.

Kerana itu, selain kesibukan karier, Rozita lebih banyak menghabiskan masanya di padang golf. Hebat dengan handikap 15. Hobi yang sejak lima tahun lalu memberikan dia satu escapisme dan ruang baru.
”Betul ke kau ada skandal dengan Pengerusi Eksekutif sendiri?”
Sepatah pertanyaan dari Roshidah, teman seuniversiti di kelab golf sempena pertandingan golf majlis tahunan reunion dalam bulan Rejab itu bagai halilintar menyambar minda.
Kebetulan Junid tidak hadir kerana terlibat dengan satu festival seni di luar kota. Sepertiselalu, ahli akedmik yang turut aktif dengan kegiatan seni untuk masyarakat. Untuk memasyarakatkan seni.
Rozita bungkam seketika.”Apa, kau dengar dari mana?”
Tanyanya agak kuat.
”Itulah yang aku dengar…..cerita-cerita dari padang golf ke Internet……!”
Rozita tidak segera menjawab soalan itu. Matanya melilau ke arah lounge kelab.
Kelihatan ramai kawan-kawan lama yang seakan berbisik- bisik. Seakan bercerita sesuatu sambil mengerling-ngerling ke arahnya. Debarannya semakin kencang. Begitu betapa cepatnya kabar angin boleh bertiup di zaman canggih dengan teknologi.

Mungkin kerana itu ada yang bertanya kabar tentang Junid secara sinis. Seakan menyindir. Rozita tidak begitu perasan sehingga Roshidah membuka mulut lasernya. Roshidah memang tidak boleh menyimpan rahsia. Suka memanjangkan gossip sejak dari universiti.

Bagusnya pula tidak berselindung dan tidak menikam kawan sendiri.

Itulah yang juga ingin dijelaskan kepada Junid. Di Jabal Al Rahmah padang Arafah, bukan gurun Arizona, bukan Route 66.
Kali pertama Valentine day tidak disambut meriah. Kali pertama juga ulangtahun perkahwinan ditangguhkan. Di padang Arafah yang membawa refleksi tentang padang mahsyar.

Manusia membawa diri masing-masing setelah dihidupkan kembali. Berdepan dengan kenyataan dan menerima hukuman dengan apa yang telah diperlakukan.

Junid memang tidak pernah bertanya apa-apa. Mungkin dia tahu dan tidak peduli. Mungkin juga dia memang tidak tahu langsung. Dia juga tidak mencuba untuk berdepan dengan Junid secara terbuka.

Perasaan takut dengan segala imaginasi mengenai menjadi janda, turun naik mahkamah dan diperkatakan semua orang. Termasuk membayangkan berita dan gambar terpampang dalam media memang menakutkan sekali.

Walau diatahu walau apapun, dia mesti bersemuka dengan Junid. Seperti nasihat Roshidah, seorang janda yang turut menjadi ustazah dan konsultan rumahtangga dikalangan teman-teman alumni.

”Ingat janji ulang tahun perkahwinan ke 20?”Tanya Junid sebaik bermaafan secara streotaip dan adat di pagi Aidilfitri.

Seperti biasa, hanya mereka berdua di banglo besar kawasan perumahan elit ibukota. Banglo yang hampir tiga suku menggunakan wang Rozita. Rozita mempunyai pendapatan dua kali ganda lebih besar dari Junid.
Selain mendapat kemudahan seperti kereta Volvo, pemandu, kelab golf dan elaun hiburan.Mendengar itu, tiba-tiba airmata Rozita cukup murah. Mengejutkan juga Junid.
Mereka berpelukan. Rozita bukan seorang yang murah dengan airmata. Dia agresif dan tidak mudah mengaku kalah. Wanita besi. Keras kepala.
”Kita akan ke gurun…..Route 66 ke gurun arafah!”
Mendengar itu airmata Rozita semakin lebat. Memang tidak terfikir sekali untuk dia mengerjakan haji. Tidak dalam usia bawah lima puluh tahun. Tidak sebelum dia pencen. Tidak juga sebelum dia mahu memakai tudung seperti yang dipakai oleh anaknya, Farah.

Tidak sekali membayangkan dia untuk berubah secara pakaian tiba-tiba. Membayangkan memakai tudung sahaja sudah cukup menakutkan. Sudah punya imej makcik. Tidak sesuai untuk seorang bertaraf Naib Presiden kanan sebuah kongolomerat besar.

Tut! Tut! Tut!

Mesej SMS dari Junid mengejutkan Rozita. Agak kepenatan setelah berjalan dari kemah dan menaiki anak tangga.Telah tiba di kawasan kutbah terakhir Nabi Muhammad SAW. Di situ dia berjanji untuk bertemu dengan Junid.
Selepas asar.
Dia bertekad untuk berterus-terang kepada Junid sebelum berangkat ke Mina.
Membayangkan Jamrah AlAqabah terasa menyeramkan Rozita. Seperti kata Roshidah, “Bayangkan yang dilempar batu itu adalah kau….!”
Junid menepuk bahunya. Tersenyum. Keadaan agak sesak.”Sebelum you nak cakap apa-apa, biarlah I berterus-terang dengan you dahulu…..!”
Rozita yang sedikit sebak melihat wajah bercahaya Junid, tiba-tiba menangis. Dia jadi serba-salah. Junid terlalu baik. Seorang suami yang cukup memahami dan memberikan dia kebebasan. Sedangkan dia bukan isteri terbaik. Malah menyalahgunakan kepercayaan Junid terhadapnya selama ini.
Di puncak Jabal Al Rahmah di tengah Arafah, dia kinibersedia untuk menerima apa saja tindakan Junid.”I tahu perasaan you Rozita…..tidak baik menyimpan rahsia terlalu lama…..!”

Junid merenung wajah Rozita. Suaranya terpaksa dikuatkan sedikit dengan suasana yang agak gamat. Rozita mendongak, terkejut.
Rozita belum berkata apa-apa, sukar untuk bersuara bila rupa-rupanya Junid sudah tahu rahsia yang mahu dijelaskannya. Airmatanya makin lebat.Suara Junid begitu lembut, seakan telah menerima hakikat, telah memaafkan kecurangannya.
Tidak dapat digambarkan perasaan Rozita. Airmatanya terus lebat, mahu saja dia sujud di kaki Junid. Meminta dihalalkan apa saja, asalkan dia terus menjadi isteri. Dia telah bertaubat. Arafah cukup memberikan keinsafan. Cukup mengesankan emosi dan kerohanian. Dia mahu berubah.
Mahu jadi isteri yang terbaik dan sempurna. SepertiKhadijah, Aishah dan Fatimah Azzahrah. Bukan seorang wanita korporat yang menjadi isteri secara part-time. Mahu juga menghabiskan lebih banyak masa dengan Farah.
Dan seketika mereka berpandangan. Teringat padangan pertama di Route 66. Valentine day. Merentas gurun Arizona dengan Harley Davidson. Bermalam di sebuah motel. Memadu asmara. Kebebasan di bumi Amerika.

Sentimental sekali suasana.Sambil memegang bahu Rozita, Junid tiba-tiba melambai ke arah seorang wanita muda yang sedang berdiri tidak jauh. Wanita itu datang sambil segera memeluk Rozita yang terkejut.

”Rozita, ini I perkenalkan, isteri I yang seorang lagi……!”

No comments: