Sunday, September 28, 2008

Aminudin Baki - Arkitek Pendidikan Negara

Pada hari pertama bulan Ramadan bersamaan 24 Disember 1965 negara ini kehilangan puteranya yang muda dan banyak berjasa dalam bidang pendidikan. Aminuddin bin Baki meninggal dunia pada usia baru mencecah 39 tahun.

Mengenang arkitek pendidikan negara

Oleh ROOSFA HASHIM

PADA 9 Disember 2004 telah diadakan suatu majlis perasmian bangunan di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim. Dalam majlis tersebut, salah sebuah pusat di kampus itu diberikan nama Pusat Global Pendidikan Aminuddin Baki.
Nama 'Aminuddin Baki' begitu menyengat dalam otak Rozeman Abu Hassan, anak muda berusia 37 tahun yang hadir dalam majlis itu. Siapa gerangan Aminuddin Baki yang disebut-sebut itu sehinggakan banyak institusi yang memakai namanya? Bermulalah penggalian beliau akan diri tokoh yang dikatakan amat berjasa kepada sistem pendidikan negara itu.
Pengabdian diri Rozeman keluar masuk arkib dan perpustakaan menemukan beliau dengan pelbagai dokumen yang memukau minatnya. Semua bahan itu berkaitan sumbangan Aminuddin berupa artikel, syarahan, catatan, gambar, sijil dan yang paling autentik adalah buku harian saku milik Aminuddin antara 1961 - 65 dan diari peribadi beliau yang juga catatan perjalanannya ke United Kingdom.
Kebanyakan buku dan tulisan yang ditemui Rozeman sebelum ini tentang Aminuddin lebih tertumpu kepada aspek agenda pendidikan yang diperjuangkan oleh tokoh pendidikan itu. Hal peribadinya, latar belakang keluarganya dan kehidupannya yang membentuk jati dirinya hampir tidak ada sama sekali.
Rozeman pun menukar arah penggaliannya daripada arkib dan perpustakaan kepada kampung halaman Aminuddin di Chemor, Perak menemui ahli keluarga dan saudara mara Allahyarham. Demikianlah bermulanya projek penulisan buku Biografi Aminuddin Baki: Arkitek Pendidikan Negara yang baru saja diterbitkan. Rozeman menyodorkan buku barunya ini kepada saya dua hari lalu.
Aminuddin Baki lahir di sebuah perkampungan Mandailing di Chemor, Perak. Keluarganya, orang Mandailing berasal dari Sumatera dan Aminuddin dibesarkan dalam sebuah keluarga tujuh adik beradik. Beliau mendapat pendidikan awal dalam suasana sekolah atap dan mengikuti kelas agama Islam sebelah petang dan malam di bawah bimbingan Ustaz Dahlan.
Sekolah Anderson di Ipoh kemudian memberi tempat kepada Aminuddin menduduki Special Malay Class. Sepanjang belajar di Sekolah Anderson, Aminuddin mengayuh basikal sejah 20 km tiap hari antara Chemor dengan Ipoh.
Kedatangan tentera Jepun telah menghantar pula beliau ke Sekolah Convent, Jalan Gopeng di Ipoh bagi mempelajari Kamigayo, iaitu pelajaran bahasa Jepun sehingga melayakkan beliau menjadi guru bahasa Jepun.
Kemudian Aminuddin menjalani latihan perguruan di Hyoin Yosei Jo, di Brewster Road. Di sinilah Aminuddin mula akrab dengan tokoh-tokoh pendidikan lain seperti Hamdan Sheikh Tahir dan Abdullah Ayob. Dalam kalangan teman-teman akrabnya, Aminuddin dikenali dengan sikap dirinya yang jujur, mempunyai keazaman tinggi, berprinsip dalam tindakannya dan berpegang kuat dengan mengamalkan setiap ajaran Islam.
Selepas tamat perang, Aminuddin kembali menyambung pengajian dan memperoleh School Certificate pada 1946 dan menyambung pengajian di Raffles College, dan kemudian ke Universiti Malaya, Singapura. Dalam masa itu juga Aminuddin menimba pengalaman menjadi guru dengan mengajar di Anglo-Malay Evening School di Singapura antara 1949-1951.
Bersama Abdullah Majid, Aminuddin mengaturkan pelbagai kelas bahasa Inggeris untuk anak-anak Melayu di beberapa tempat di Singapura dengan Aminuddin sendiri mengajar di Sekolah Telok Belangah. Selain seorang pemidato dalam bahasa Melayu yang baik, Aminuddin boleh bertutur dengan fasih dalam bahasa Inggeris, Jepun, Cina dan Arab.
Dalam biografi ini sikap bencikan sistem penjajah amat kental pada diri Aminuddin. Beliau dipetik berkata "Saya tidak tahan lebih lama lagi menuntut di sekolah penjajah, saya tidak mahu menjadi anak jajahan. Bagaimana saya boleh belajar dengan sistem pelajaran penjajah sekarang ini? Bagaimana saya boleh menimba ilmu dari perigi yang kotor?"
Aminuddin bertekad melanjutkan pengajiannya di Universitas Gadjah Mada di Indonesia. Beliau mahu menjadi pelajar Melayu pertama di universiti tersebut. Sahabat beliau, Abdullah Hussain memberi nasihat kepada Aminuddin, "Memang benar perigi itu kotor, tetapi di dasar perigi itu ada mutiara. Apa salahnya kalau saudara menyelam mengambil mutiaranya tanpa menggunakan airnya yang kotor itu? Walaupun tubuh saudara akan kotor tetapi mutiara yang saudara peroleh di dasarnya dapat membersihkan kotoran itu."
Bakat kepimpinan Aminuddin jelas apabila ketika baru berusia 20 tahun beliau menubuhkan dan memimpin Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu Insaf (PERMI) di Ipoh pada April 1946. Beliau memperkenalkan perjuangan PERMI dengan slogan "Belajar terus belajar!"
PERMI yang diterajui Aminuddin kemudian berjaya menghimpunkan pemimpin pelajar Melayu dari seluruh Semenanjung pada 14 dan 15 Ogos 1948 bagi menubuhkan Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).
Aminuddin tidak menerima pelantikan sebagai Yang Dipertua GPMS yang pertama, tetapi selepas itu beliau dilantik dua kali menerajui GPMS. Kepimpinan GPMS terpaksa ditinggalkan oleh Aminuddin apabila beliau menerima Queen Scholarship bagi melanjutkan pelajarannya di peringkat sarjana di London. Beliau kemudian dilantik menjadi Penasihat GPMS sehinggalah beliau meninggal dunia.
Selepas pulang dari London, Aminuddin menjadi pensyarah di Sultan Idris Training College, Tanjong Malim. Pengalaman beliau dalam PERMI dan GPMS digunakannya bagi menggerakkan persatuan penuntut di SITC pula.
Ketika berusia 36 tahun pada 1961, Aminuddin merupakan pegawai kerajaan yang termuda dilantik sebagai Ketua Penasihat Pelajaran bagi Persekutuan Tanah Melayu. Beliau berusaha kuat memastikan bangsa Melayu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa lain di Tanah Melayu.
Jawatan Ketua Penasihat Pelajaran bukanlah diterimanya tanpa cabaran dan salah satu ujian getir yang dilalui oleh Aminuddin ketika itu ialah dalam menghadapi mogok pelajar Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) di Tanjong Malim yang menuntut penukaran guru besarnya. Mogok ini merebak sehingga selama satu setengah bulan sebelum SDAR diarah tutup.
Sebagai salah seorang yang menggubal Laporan Razak beliau memastikan wujudnya sekolah menengah aliran Melayu. Keputusan ini membuka laluan dan peluang yang luas kepada pelajar Melayu mendapat pendidikan tinggi di universiti. Bagi memajukan lagi perkhidmatan pendidikan negara, Aminuddin memujuk pegawai Melayu menyertai profesion perguruan. Antaranya termasuklah Abdul Rahman Arshad dan Murad Mohd. Nor yang kedua-duanya kemudian menjadi Ketua Pengarah Pelajaran.
Dasar Pelajaran Kebangsaan yang digubal seperti termaktub dalam Akta Pelajaran 1961 menjadikan tugas Aminuddin semakin berat. Beliau menyusun dan menggerakkan jentera pelajaran dengan amat berkesan. Beliau merancang beberapa dasar pelajaran dalam negara untuk digubal dan digunakan sebagai dasar pendidikan kebangsaan.
Dua cabaran yang diatasinya ialah bagi mewujudkan aliran Melayu peringkat sekolah menengah dan meyakinkan ibu bapa akan keupayaan anak-anak mereka maju dalam aliran Melayu yang ketika itu tidak diyakini akan dapat memberi peluang kerjaya yang baik.
Satu lagi sumbangan Aminuddin Baki yang penting ialah bagi mewujudkan aliran sains di sekolah menengah Melayu bagi memperbanyak lulusan aliran ini dalam kalangan anak Melayu pada peringkat yang lebih tinggi di universiti.
Usaha beliau ini telah berjaya melahirkan graduan Melayu daripada aliran Melayu dan aliran sains yang sebelum ini dinafikan oleh sistem pendidikan penjajah. Justeru, sesuailah jolokan 'Arkitek Pendidikan Negara' diberikan kepada beliau.
Secara keseluruhan, buku ini telah berjaya mendokumentasikan dengan lengkap sumbangan yang telah diberikan oleh Aminuddin dalam sistem pendidikan negara. Buku ini harus dibaca oleh setiap kita khususnya yang terlibat dalam profesion pendidikan dan perguruan.
Pada hari pertama bulan Ramadan bersamaan 24 Disember 1965 negara ini kehilangan puteranya yang muda dan banyak berjasa dalam bidang pendidikan. Aminuddin bin Baki meninggal dunia pada usia baru mencecah 39 tahun.

- ROOSFA HASHIM, Pensyarah
di Pusat Pengajian Umum,Universiti Kebangsaan Malaysia.

No comments: