Wednesday, July 30, 2008

Harakah Sepatutnya Menjadi Akhbar Harian

Dalam salah satu hasil 'kejayaan' misi muzakarah antara UMNO-PAS ialah Harakah akan kembali muncul dua kali seminggu. Tidak lagi dua minggu sekali seperti selepas Pak Lah menjadi PM.

Akhbar politik milik parti pembangkang lain yang tidak bermuzakarah dengan UMNO akan tetap muncul dua kali sebulan. Begitu manjanya layanan UMNO kepada PAS demi ketuanan dan perpaduan Melayu dengan umpanan kepada hak penerbitan Harakah.

Tidak pasti selepas ini, tertera amaran di muka depan Harakah, "Untuk Ahli PAS dan UMNO sahaja!"

Saya menulis agak aktif untuk Harakah dalam tahun 1998 melalui genre cerpen yang boleh dikatakan agak regular tersiar dengan menggunakan nama pena MFMNor.

Arkib kumpulan cerpen tersebut boleh dibaca di Dotkomania.

Begitupun, saya kira sepatutnya mereka yang berusaha mendapatkan kembali hak Harakah di cetak dua kali seminggu sepatutnya mendapatkan lesen Harakah sebagai akhbar harian bertaraf media perdana.

Barulah hebat makna ketuanan Melayu dan sahlah UMNO jujur untuk bermuzakarah dengan PAS, parti yang dianggap sesat oleh ramai pemimpin UMNO sendiri.

Sememangnya kita memerlukan akhbar harian baru yang jauh lebih hebat dari akhbar serta media kepunyaan UMNO. Harakah pernah memohon untuk berbuat demikian diatas nama akhbar PURNAMA rasanya.

Lagi baik kalau PAS mendapat lesen TV dan radio sekali dibawah Harakah. PAS tentunya telah mampu untuk menubuhkan syarikat media konglomerat seperti Media Prima.

Kita juga akan dapat menyaksikan lebih banyak iklan yang bermutu, tidak seperti iklan-iklan merapu yang menghiasi Harakah, terutama iklan-iklan 'kesihatan untuk lelaki' dsbnya. Syarikat-syarikat sekutu UMNO akan berani untuk mengiklan secara besar-besaran.

Tidak mengejutkan bank-bank Islam yang banyak sekarang akan menawarkan fasiliti perbankan khas pada ahli-ahli PAS termasuk sistem pinjaman Ahlong dan kad kredit.

Cuma barangkali apabila Harakah atau PURNAMA atau apa saja nama lain akhbar (juga media)terbitan syarikat kepunyaan atau bersangkut-paut dengan PAS selepas berpakat dengan UMNO, akan sama sahaja dengan Utusan, Berita, NST, Sun dan Star mahupun Sinar serta lain-lain tabloid yang bersekutu dengan UMNO.

Iaitu, menghentam mereka yang dianggap pembangkang kepada UMNO dan kawan-kawan sekatil.

Walauapapun, masih belum terlambat untuk PAS mendapatkan hak menerbitkan Harakah dalam bentuk akhbar, TV, radio dalam muzakarah berikutnya!

No comments: