Sunday, June 08, 2008

Perihal Kasut



Lupakan sebentar isu harga minyak dan politik semasa. Terlalu ramai yang sudah memberi pendapat dan juga penjelasan. Minyak naik dan naik minyak.

Mari bercerita pasal kasut.

Kasut adalah salah satu aksesori 'pakaian' yang penting dalam kehidupan seharian. Kasut juga boleh melambangkan status, kelas, citarasa dan stail individu. Sememangnya sejak tercipta kasut, industri kasut berkembang untuk melengkapkan pakaian manusia.

Kisah paling popular ialah mengenai Imelda Marcos dan kasut-kasut yang dimilikinya. Kini kasut-kasut yang berjumlah ribuan itu menjadi koleksi muzium untuk tatapan rakyat yang mungkin ramai tidak mampu untuk membeli kasut.

Saya tidak mempunyai koleksi kasut yang hebat, tidak pernah membeli yang lebih dari RM100 atau AED100. Selalunya dalam RM80/AED80 sahaja. Selalunya selepas setahun, lunyai dan beli baru. Tidak pernah memilik lebih dari dua kasut, satu untuk kerja dan satu lagi untuk sukan. Bukan kedekut, kata orang, "Pakai apa yang perlu, bukan apa yang dimahukan...!"

Baru-baru ini kasut yang dibeli dua tahun lalu dan diperbaiki di Malaysia tahun lepas terus lunyai. Terpaksa membeli sepasang kasut baru.

Terlalu banyak pilihan dengan pelbagai fesyen. Masih saja konservatif. Suka fesyen lama seperti gambar di atas. Yang berkenan sepasang kasut berharga AED25 di sebuah pasaraya terkemuka.

Bukan kasut kulit, PVC sahaja. Nampak macam kulit, buatan India.

Sebenarnya, majikan ada memberi dua pasang kasut 'mahal' percuma. "Safety shoes" yang digunakan untuk melawat tapak projek dan selalunya digunakan di pejabat juga. Kadang macam koboi pula.

Tetapi kasut baru AED25 ini berbunyi bising kalau melangkah di lantai kayu dalam pejabat portacabin. Membuatkan ramai menjeling atau menjengok, siapa gerangan yang berkasut bunyi terompah. Bunyi yang agak kuat.

Walau ramai yang kasut mereka sama berbunyi kuat sewaktu melangkah, tetapi apabila kasut sendiri yang berbunyi memang tidak menyenangkan hati dan perasaan. Terasa ramai yang mengutuk. Perasan....



Lantas setelah sebulan memakai 'terompah', saya mencari-cari sepasang lagi kasut baru kerana terasa malu pula jadi perhatian. Mungkin kasut murah membuat bunyi kuat. Tiada masalah dengan kasut sebelum ini yang dibeli di kedai 'Discount'.

Kebetulan Jun ini, kedai "Sun and Sand" mengadakan jualan murah sehingga 50%. Segera menjenguk di Deira City Centre. Nah, ada sepasang kasut kulit cantik bergaya diberi diskaun hebat, dari AED400 turun ke AED100. Iaitu 75%!

Tiada saiz sesuai, yang tinggal saiz besar sedikit. Itu sahaja yang ada dan tiada pilihan. Terus membeli setelah mencuba dan berpuashati.

Hari ini saya memakainya ke pejabat dengan perasaan gembira. Diharapkan tiada lagi bunyi terompah. Boleh berjalan dengan aman tanpa menarik perhatian orang.

Sebaik melangkah perlahan dalam pejabat, memang tidak berbunyi apa-apa. Sehingga dua tiga langkah berikut, tiba-tiba bunyi dush dush macam keluar angin membuatkan saya terhenti seketika.

Masalah kasut berbunyi berjalan di atas lantai portacabin belum selesai...tetapi kami akan berpindah ke pejabat baru Ogos nanti...kawan-kawan di pejabat terpaksalah terus bersabar mendengar bunyi bising dari sepasang kasut!

3 comments:

Roti Kacang Merah said...

hahahaha.

boleh bayangkan.

mesti kejap bunyi dush dash, kejap lagi bunyi shprett shprett macam orang buang angin. tension, tension...

Lagi tension ada jenis kasut kalau pakai mak datuk bau material dia buat kaki punyala berbau, Labu Labi pun lari! Tak gurau, ni! Bayangkan kalau nak cabut kasut depan orang pula! Terus dah tak pakai dah kasut tu. Mujur murah aje, dari Ba-Aliff-Ta-Aliff.

katakbesar said...

teringat kisah yang diceritakan
oleh Aziz Satar pasal tabiat PRamlee
yang suka ajak orang yang baru dikenali
but dalam kesusahan - tiada tempat tinggal
untuk bermalam di rumah beliau

esoknya, kasut beliau hilang
lalu, berkata la PRamlee
(yang pernah belajar sufi, sebelum jadi pelakun)
"mungkin dia takde kasut, tu sebab dia ambil
dan memang rezeki dia agaknya"

Abu Saif said...

tenang seketika berbicara soal kasut. terkenang sabaruddin