Tuesday, June 24, 2008

Biasan


Pasir-pasir di jalanan jiwa
sepanjang lebuhraya minda
telah lama menjadi ketulan emas
sinarnya mewah mengubah lanskap
dari warna kontang gurun sejarah
ke wajah-wajah kosmopolitan semasa


Debu-debu berterbangan jauh
menguak peralihan musim kehidupan
suasana membentuk perspektif jinak
ruang fikir mengorak imaginasi liar
masih hayat terkurung meniti memori
dalam rindu musafir menghirup perubahan

Imej-imej dari struktur menerojah langit
pecah bersilauan memecah setiap ilusi
antara gerak hitam putih emirati
terkedu mengukur saujana jejak realiti
masih superfisial mempertahan tradisi
kelabu berkabut di mamah globalisasi

Hari-hari beredar deras ke masa depan
jurang material merentas wawasan perdana
bersama ganas kren-kren menguak terus
sempadan kemanusiaan sejagat
melakar untung rugi peradaban
sebagai nota kaki biasan pembangunan!


Fudzail
Dubai, 24 Jun 2008

1 comment:

Op said...

salam bro. apa khabar perantau di dubai :)