Wednesday, May 14, 2008

UMNO (Lama) 62 tahun, Israel 60 tahun

Mei nampaknya bulan yang ada keistimewaan sendiri. UMNO (Lama) ditubuhkan, 13 Mei menjadi catatan hitam di minda rakyat dari propaganda berterusan UMNO (Baru) dan Israel lahir dari kekejaman Barat terhadap bangsa Palestin.

(Selain, 29 Mei juga tarikh kelahiran saya....:)

Dengan UMNO (Baru) tidak meriah meraikan keujudan UMNO (lama) 62 tahun lalu, ramai di tanahair yang lupa mengenai keujudan Israel yang sama menyambut ulang tahun ke 60. Kebetulan atau suratan?

Sememangnya UMNO (Lama) mempunyai sejarah sendiri dan jasa yang banyak, biarpun bukan hanya UMNO (Lama)yang berjuang untuk kemerdekaan. Seperti yang ditanya dan tidak dapat dijawab di Dewan Rakyat, siapakah pemimpin UMNO (LAMA) yang pernah ditangkap atau ditahan British, UMNO (Baru) bukan sahaja mahu melupakan mengenai keujudan dua UMNO dalam sejarah tanahair, malah mahu rakyat melupakan jasa-jasa mereka di luar UMNO (Lama) yang berjuang untuk kemerdekaan negara.

Pada hari ini, Israel juga mahu dunia melupakan yang tanah bernama Israel dahulunya adalah tanah milik Palestin ribuan tahun. Mereka yang kini mempunyai ketenteraan yang gagah meraikan 60 tahun keujudan sebuah negara teroris sambil terus menafikan hak rakyat Palestin untuk sebuah negara sendiri.

UMNO (Baru) kini dalam terumbang-ambing setelah pilihanraya ke12 menyaksikan rakyat membuat kejutan. Biarpun proses pilihanraya masih kotor, tidak terbuka dan tidak bebas, UMNO (Baru) lemas dalam gelombang tsunami yang menyaksikan lima buah negeri bertukar tangan.

Ada yang menyamakan banyak tindak-tanduk UMNO (Baru) dengan rejim Zionis Israel. Itu terpulang kepada penafsiran dan penilaian masing-masing, sesuatu yang boleh diperbahaskan secara adil. Bagi saya yang membesar dibawah propaganda UMNO (Lama dan Baru), sukar untuk melihat persamaan kecuali dalam beberapa perkara tertentu, tetapi tidak sama taraf kekejamannya.

Keduanya memang racist (perkauman) tetapi yang pastinya Israel mempunyai sistem demokrasi yang lebih telus dan terbuka. Selain Israel, berbanding dengan negara-negara Arab dan Malaysia sendiri jauh kedapan dalam mengamalkan kebebasan media dan undang-undang.

Tiada sistem kuota undi untuk jawatan tertinggi parti yang membaculkan demokrasi UMNO (Baru). Malah mantan Presiden UMNO (Baru) sendiri mendakwa tiada kebebasan bersuara dalam parti yang pernah diasaskan, dipimpin dan dibedah sesuka hati demi survivalnya sendiri itu.

Perbedaan ketara yang tidak menyenangkan selama ini, ialah UMNO (Baru dan Lama) menangkap, menyeksa, menghukum malah membunuh (seperti Memali) rakyat atau bangsanya sendiri dibawah pelbagai akta drakonian, manakala Israel hanya melakukan kekejaman demikian kepada bangsa Palestin sahaja sebagai musuh azali.

Jadi, siapakah yang lebih kejam?

Walau apapun, sukar untuk mengucapkan selamat ulang tahun kepada entiti yang sudah berkubur seperti UMNO (Lama) kepada entiti yang lain UMNO (Baru) kerana keduanya tidak sama dan tidak serupa dari segi sejarah dan kepimpinan.

Diharapkan, UMNO (Baru) akan bertukar haluan dan pengisian agar menjadi lebih baik dengan mengembalikan demokrasi dalam proses parti dan menghapuskan pemimpin yang sebenarnya bertaraf PETUALANG kepada agama, bangsa dan negara!

No comments: